Thursday, 31 December 2009

Awal yang bermula..


Hari ini hari terakhir tahun 2009. Kini tahun 2010 bakal menjelang dalam masa beberapa jam lagi.. Buat mereka di tanahair waktu ini aku percaya sudah mula masuk ke tahun 2010 dengan beza 8 jam terdahulu dari kami di sini.

Menulis entri ini aku teringat tarikh hari ini.. 31 Disember.. Setiap tahun pastinya ada yang menyambut hari ini dengan agenda istimewa.. Mungkin juga waktu ini masih ramai insan manusia di dataran merdeka atau dimana sahaja untuk menyambut datangnya tahun baru.. Walau dimana jua kita berada.. Semoga ia memberikan kekuatan seterusnya untuk kita hadapi nanti..

Sekejap sungguh masa berlalu.. Kini 3 tahun aku berkelana di bumi asing ini.. Laluan hidup masih panjang InsyAllah.. Kini tahun hadapan adalah tahun perjuangan seterusnya.. Harapan masih tebal untuk digapai.. Masih lagi kekal dengan impian dan azam yang sama seperti 3 tahun yang lalu.. Cuma kini mimpi lewat di tanahair sudah semakin menjadi igauan rindu yang tidak tertahan.. Cuma hati sahaja masih gagah meneruskan dengan menahan segala rasa yang terbelenggu di jiwa..


Buat Sahabat baik 'Tiny'
Selamat Hari Lahir buatmu.. Moga semua impian menjadi kenyataan..

31 Disember sentiasa dalam ingatan aku..
Ada pertemuan pada tarikh ini.. Kini sudah 5 tahun sejak pertemuan itu..

Selamat tahun baru 2010..
Yang penghujung kini bakal berakhir..
Yang awal kini bakal bermula..
Semoga ia memberikan sinar kekuatan dan kebahgiaan buat kita semua..

Monday, 28 December 2009

Paras rupa atau budi bahasa?


Beberapa hari ini aku ditanya dengan persoalan ini?? Tentang realiti kehidupan masa kini yang lebih mementingkan paras rupa dan kemewahan dunia.. atau mungkin dilihat juga pada budi bahasa dan sikap peribadi.. Yang mana lebih penting antara keduanya??..

Dari mata turun ke hati.. itu kata pujangga cinta.. cinta bermula dari mata.. lantas keindahannya dirasai meresapi ke hati.. Tapi benarkah begitu hakikatnya?? Ya kita melihat menggunakan deria penglihatan 'mata' yang dianugerahkan oleh Allah S.w.t tetapi selain dari deria mata yang kita ada.. kita juga melihat dengan mata hati.. dan di sinilah kadangkala kita mampu melihat lebih jauh seseorang itu.. yang tidak hanya terlihat secara fizikal.. tapi jua menerobosi jiwa dan peribadinya jua..

Pada aku tidak ada yang lebih penting dari 'kejujuran dan keikhlasan'. Paras rupa itu satu anugerah.. tapi tanpa kecantikan peribadi ia tidak membawa makna sama sekali.. biarlah ia cacat sekali pun.. Apa maknanya jika ia tidak mampu membuatkan aku selesa.. gembira.. tenang dan bahagia.. Apa ertinya punya banyak duit berjuta.. kemewahan dunia yang nyata.. kacak.. lawa dan bergaya tapi jauh di sudut hati.. peribadi yang terlihat amat keji.. ahh.. rasanya semua orang begitu pada pandangan aku.. tapi kadang ada juga yang mengaburi mata peribadi.. untuk semata terus gembira dengan deria mata paras rupa.. yang indah terlihat lebih nyata dari yang indah tersembunyi..

Aku kira setiap yang serba kekurangan dari segi fizikal mungkin mengandaikan dan menganggap semua manusia akan begitu.. memandang diri mereka dengan kecacatan yang ada.. menghina atau paling tidak bersimpati dengan apa yang mereka miliki.. Tapi sayang kadangkala mereka juga terlupa.. tidak semua manusia begitu.. tidak semua mereka yang bergelar sahabat begitu hina pemikirannya.. tidak semuanya melihat dengan hanya mata paras rupa.. adakalanya.. mereka juga melihat dengan mata hati.. melihat jauh ke dalam sifat peribadi.. Ya mungkin mereka tidak tahu.. dan mungkin juga mereka tidak mahu ambil tahu..

Bagaimana aku?? Rasanya aku tidak mahu menegaskan pendirian aku.. Aku tidak mahu memberikan satu janji.. Aku juga tidak mahu mengucapkan sesuatu hanya semata untuk menyedapkan hati.. Aku juga tidak mahu memujuk dengan berkata.. "Ya aku terima apa sahaja tentang dirimu."

Keikhlasan dan kejujuran itu kadangkala tidak perlu diucapkan.. kadang tidak perlu diperlihatkan.. tidak perlu ditonjolkan.. nilailah sendiri dari perbuatan dan tindakan.. kerana dari situ kita tahu yang mana benar dan yang mana palsu..

Antara paras rupa dan budi bahasa... Aku sentiasa ingat pesanan bonda.. "Tidak ada yang lebih penting dalam dunia ini.. Hanya sifat manusia yang mencerminkan peribadi.. walau semiskin dan sehina mana pun manusia itu.. Siapalah kita untuk menghina ciptaan Tuhan Yang Maha Kaya"

Semua kita punya kekurangan diri.. Ada yang terlihat secara fizikal.. Ada yang terlihat secara peribadi.. Ada juga yang terlihat tanpa disedari.. Ada juga terlihat dek sesuatu yang tidak dapat kita miliki.. Apa beza kita semua ini.. Setiap kita ada kelebihan dan kekurangan diri..

Saturday, 26 December 2009

Tik Tok


Tok.. Tok.. Tok..
Dia ketuk pintu hati
Tok.. Tok.. Tok..
Pintu hati terbuka sendiri
Tok.. Tok.. Tok..
Dia jengahkan mukanya sambil bersembunyi
Tok.. Tok.. Tok..
Dia pandang dengan mata yang sepi
Tok.. Tok.. Tok..
Dia merayu minta simpati
Tok.. Tok.. Tok..
Aku memandang dengan seribu rasa hati

Tik.. Tik.. Tik..
Kedengaran detik hati berbunyi sendu
Tik.. Tik.. Tik..
Ku pejam rapat kelopak mataku
Tik.. Tik.. Tik..
Fikiran melayang sepintas lalu
Tik.. Tik.. Tik..
Hati berkata aku rindu
Tik.. Tik.. Tik..
Airmata jatuh berlenangan pilu
Tik.. Tik.. Tik..
Layar fikiran menayang kisah dulu
Tik.. Tik.. Tik..
Cepatnya masa berlalu
Tik.. Tik.. Tik..
Ingin aku lalui detik itu
Tik.. Tik.. Tik..
Ya aku amat rindu.. terlalu..

Tik Tok.. Tik Tok..
Kedengaran bunyi masa
Tik Tok.. Tik Tok..
Perginya tanpa berhenti sesaat cuma
Tik Tok.. Tik Tok..
Hati hanya mampu merasa
Tik Tok.. Tik Tok..
Fikiran pula mampu teringat detiknya
Tik Tok.. Tik Tok..
Jiwa berkata perasaan menghiba
Tik Tok.. Tik Tok..
Rindu sayang dan cinta
Tik Tok.. Tik Tok..
Terlalu istimewa buatnya
Tik Tok.. Tik Tok..
Sahabat,teman, rakan dan kenalan yang ada
Tik Tok.. Tik Tok..
Menjadi anugerah terindah sentiasa
Tik Tok.. Tik Tok..
Hati lalu berkata

Tik Tok.. Tik Tok..
Aku rindu kalian semua
Aku rindu.. aku rindu
Aku sayang.. aku sayang
Aku cinta.. aku cinta
Dulu.. kini dan buat selamanya..

Tinggal beberapa hari sahaja menjelangnya tahun 2010..
Kini aku sudah di sini hampir 3 tahun lamanya..
Dulu datang dengan harapan..
Kini masih lagi menaruh harapan yang sama..
Dulu aku pegang tanah ini dengan janji setia..
Kini masih aku pegang tanah yang sama dengan janji yang sama..
Di sini juga aku temui pelbagai cerita..
Pelbagai kisah.. pelbagai ragam.. pelbagai rasa..
Kejujuran.. keikhlasan.. tipu muslihat.. fitnah dusta..
Itu adalah lumrah hidup sebagai manusia..
Aku terima dengan senyuman..
Kadangkala diterima dengan terbit airmata kecewa..
Tapi itukan namanya cabaran dan dugaan..
Di sinilah terbinanya kekuatan jiwa..
Di sini jua kecekalan hati dibawa..
Untuk aku.. dia.. mereka dan kita semua..

Wednesday, 23 December 2009

Bila sejuk bersalji bermula...

Dataran George Square yang dipenuhi salji
Selasa(22 Disember 2009)


Sebenarnya semenjak khamis minggu lepas lagi bumi Glasgow sudah mula dihujani kepingan salji.. tapi hujung minggu lepas kepingan salji yang turun lebih lebat dan kali ini mampu kekal lama hinggalah ke hari ini..

Semalam kepingan salji turun dengan lebatnya lagi.. kali ini hampir semua permukaan alam dipenuhi salji memutih.. lewat petang hinggalah membawa ke malam hari, kepingan salji itu masih turun perlahan-lahan..

Seronok!!! Sudah tentunya bila melihatkan kepingan salji yang turun dengan lebatnya.. dan putihnya alam bila kepingan itu saling bertindihan antara satu sama lain..

TAPI!!! yang tak seronok.. mengharungi kesejukan yang kini sudah melebihi takat beku.. jalan yang licin dengan ais yang keras.. kasut boot yang aku pakai sudah beberapa kali hampir membuatkan aku terlentang di jalan (tidak ada pilihan kasut lain sebab kasut itu yang tahan lasak menahan sejuk) dan entah berapa kali juga aku tergelincir.. Sakit kaki usah dikatalah sebab terpaksa menahan hentakan kaki yang lebih perlahan supaya setiap langkah yang dihayun lebih kemas dan berjaga-jaga..

Semalam adalah hari yang sungguh meletihkan.. Keluar dari CIS pada pukul 4.00 petang. Selepas singgah membeli sedikit makanan di Tesco.. Aku berjalan kaki menuju ke perhentian bas.. Jalanan kaki lima di sepanjang Argle Street mula basah dengan ais yang mencair dan ribuan tapak kaki manusia.. Di situ juga aku entah berapakali tergelincir.. rasa nak buka kasut pun ada masa tuh.. Berjalan dengan rasa nak tergelincir sepanjang masa adalah sungguh menakutkan.. bahu kanan menyandang beg sekolah.. tangan kiri pula memegang barangan yang baru dibeli.. Nasib juga aku tidak memegang payung di tangan kanan memandangkan waktu itu salji turun dengan amat lebatnya.. Risaukan andai aku tidak dapat mengimbangkan badan..

Menunggu bas sungguh menyeksakan.. Bas no 66 yang aku tunggu tiba selepas 20 minit menunggu tidak berhenti langsung di hentian bas itu. Bas itu sendat dan amat penuh dengan penumpang. Hampir kebanyakan bas tertangguh perjalanannya dek salji yang turun petang semalam.. Perkhidmatan keretapi juga tergendala hingga ramai pengguna terpaksa menggunakan perkhidmatan bas untuk pulang ke rumah.. Aku menunggu bas hampir sejam semalam.. badan dah mula mengigil menahan kesejukan.. kaki juga dah mula kebas beku..

Hampir setiap hentian bas penuh dengan manusia.. Bayangkan bila hampir sebahagian pengguna yang selama ini menggunakan keretapi turut sama menggunakan bas.. Sudah tentu bilangan pengguna bas bertambah.. hentian bas pun sudah sendat dan padat dengan manusia hingga beberapa meter daripada hentian bas itu sudah mula berderet dengan manusia.. Nak menjengah melihat no bas yang lalu pun susah.. kepala terpaksa ditinggikan.. itupun tak nampak-nampak juga..

Akhirnya setelah hampir sejam menunggu aku ambil keputusan untuk ke hentian bas yang lain untuk mengambil bas no 44.. Rezeki aku.. kerana sampai sahaja ke hentian bas tersebut.. terdapat 3 buah bas no 44.. manusia yang berebut nak naik pun amatlah ramai.. ketiga-tiga bas itu padat dan sendat dengan manusia.. Syukur aku berjaya juga mendapat tempat duduk di bahagian belakang bas.. berhimpit-himpit dengan orang lain di kiri dan kanan.. Jadilah.. setelah berdiri di bawah hujan salji selama 1 jam.. dapat duduk selesa sedikit pun dah kira baik..

Perjalanan yang selalunya mengambil hanya 10-15minit ke hentian bas berhampiran rumah semalam mengambil masa hampir 45 minit.. Jam jem teruk kerana banyak jalan yang terpaksa ditutup dan kebetulan juga waktu balik kerja.. Kaki juga dah mula kebas kerana terpaksa menahan himpitan orang di kanan dan hadapan.. Serik sekejap rasanya bila tergolong antara manusia yang terpaksa bersesakan semalam..

Harapnya hari ini.. kejadian semalam tidak terjadi lagi.. Apatah lagi petang ini aku bakal balik lewat lagi.. Salji memang indah.. tapi kesan dan akibatnya pada masa panjang amatlah menyeksakan...

Oh ya.. Hingga kini.. Sakit kaki aku masih terasa lagi..

Esok aku mula bercuti X'mas hingga awal tahun 2010..
Universiti tutup hampir 2 minggu.. ;)

Sunday, 20 December 2009

Salji Penghujung 2009

Salji turun lagi minggu ini..

Di penghujung bulan Disember 2009..

Indah dan mempersonakan..





Aku tukar photo header lagi..

Salji kini ada dimana-mana ;)

Rakaman gambar pada hari Ahad..
Pukul 10.45 pagi (20 December 2009)
Taman Permaisuri, Glasgow


Monday, 14 December 2009

Dewasa


Kedewasaan.. Kematangan.. Ketuaan..

Sering ia dikaitkan dengan usia dan pengalaman.. selalunya yang muda belia dilihat sebagai masih mentah dan tidak tahu apa.. Benarkah begitu?? Tidak semestinya.. kematangan itu tidak hanya terhasil dari pertambahan usia.. atau kedutan di muka.. Kematangan terhasil dek pengalaman yang pernah dilalui.. pemikiran yang terbit dalam laluan pengalaman itu.. Matang.. itu suatu yang tidak hanya seiring dengan usia semata..

Dewasa.. ya ramai yang mengatakan kedewasaan juga terhasil dari pertambahan usia.. makin bertambah umur manusia.. maka makin dewasalah dia.. Ya itu teori pembesaran yang diberikan makna.. Budak-budak menjadi orang dewasa.. orang dewasa.. lama-lama jadi orang tua.. emmm.. kedewasaan.. juga hadir semasa usia muda

Semua itu bermula dengan pengalaman yang ada.. ada mereka yang terpaksa melalui pengalaman pahit kehidupan seawal usia 2 tahun lagi.. dan ini menjadikan mereka lebih matang dan dewasa yang tidak sepadan dengan usia.. ada yang sudah pun 30an usianya.. tapi kematangan kehidupan masih agak jauh dari dilihat di kepala mereka.. Pada mereka tindakan mereka itu sudah cukup dewasa.. ya dewasa dari segi tingkahlaku.. tapi masih budak-budak pada pemikiran yang matang..

Apa sebenarnya yang hendak dikaitkan??? Dewasa.. matang.. tua?? semuanya saling berangkai bersimpul berbelit bertali arus kadangkala..

Muda tidak semestinya budak-budak dan mentah..

Tua juga tidak semestinya matang dan dewasa..

Matang tidak semestinya tua dewasa..

Dewasa tidak semestinya untuk mereka yang tua usianya..

Pengalaman dan pemikiran.. pengukur segalanya..

Selalunya pemikiran melambangkan diri dan perbuatan..

Cara bertutur.. cara berkata.. cara gaya bahasa.. gaya tubuh badan..

Cukup untuk menyatakan.. kedewasaan dan kematangan..

Wednesday, 9 December 2009

Degupan itu..


Aku letakkan tanganku di tengah dadanya.. Terdengar dengan perlahan degupan jantungnya.. berdegup mengikut saat.. dup dup.. Telapak tanganku sengaja dibiarkan di situ buat beberapa ketika.. Selama ini aku tidak pernah pun ambil peduli dengan bunyi degupan itu walau entah berapa ribu kali pernah aku letakkan tanganku di situ... Cuma malam ini aku mahu mendengarnya sendiri dengan deria rasa yang aku ada.. Ya dengupan itu masih ada.. turun naik nafasnya juga masih terasa.. matanya sudah lama dipejamkan.. lena tidurnya juga sudah agak lama.

Aku gerakkan sedikit telapak tangan itu.. sekadar meninggikan jari jemari dan mengusap perlahan dadanya.. Halus dan lembut kulitnya.. Kembali aku luruskan tapak tangan itu.. Aku mahu mendengar kembali bunyi degupan itu... ya masih berdegup perlahan.. indah sungguh bunyi dengupan jantungnya.. Ya sijantung hati.. bak bait lagu-lagu yang pernah berkumandang dulu..

Terfikir sejenak.. andai satu hari dengupan itu tidak lagi berbunyi seperti ini.. Dapatkah aku menerima hakikat itu.. Mati.. itu sudah tentunya suatu yang cukup pasti dan akan dilalui.. Hanya masa sahaja yang tidak kita ketahui.. Aku matikan fikiranku tentang mati itu.. Aku tidak mahu memikirkannya.. Biarlah aku nikmati bunyi degupan jantung ini.. ibarat laguan istimewa dari dia untuk aku.. Akan aku ingati bunyi degupan satu per satu itu.. Indah.. ya sungguh indah.. Istimewa.. ya amat istimewa.. Sayang.. ya aku sayangi dia.. Cinta.. ya aku cintai dia..

Hati.. ada apa pada hati kita?? Di situ letak segalanya.. pelbagai rasa mampu berkumpul di hati.. terluka hati dek emosi dan perasaan lebih pedih dari terluka hati secara fizikal.. Terasa hati dek perbuatan dan sikap manusia.. juga amat pedih sekali.. ibarat ditusuk sembilu yang paling tajam berduri..

Namun bila hati dibuai dengan rasa gembira.. tenang dan bahagia.. serasa dunia ini dipijak dengan kemewahan dan kenikmatan yang tiada tolok bandingnya dengan dunia yang sedia ada.. Bila kegembiraan memenuhi ruangan hati.. rasa tidak ada apa yang mampu merobek dan merosakkan hati itu.. Ya siapa yang tidak suka dengan gembira.. siapa juga yang suka sentiasa sedih dan berduka..

Semoga hati dan jantung itu akan terus berdegup dengan irama yang senada.. Semoga kita juga diberikan kesihatan diri yang baik untuk terus mengharungi kehidupan.. Semoga hati kita juga akan sentiasa gembira dan berbahgia.. Walau sehebat mana dugaan dan cabaran yang perlu dilalui.. baik perit.. pahit.. sakit.. duka.. laluilah dengan hati yang penuh rasa redha.. tenang dan tawakal..

Buat mereka yang tidak pernah mendengar dengupan jantung si dia yang disayangi.. lakukanlah.. bunyi itu sungguh istimewa.. ;)

Monday, 7 December 2009

Sayang, ciuman dan kerinduan..


Aku diminta untuk memakai selendang yang cantik.. Berwarna keemasan yang bersulam indah dan berkilauan.

Bila aku lilitkan selendang itu sekemasnya, selendang itu terletak indah di kepala.. Seolah aku bakal menghadiri satu majlis istimewa.. Aku pula berjalan diiringi sekumpulan manusia.. tua.. muda dan anak-anak.. Tidak ada seorangpun daripada mereka aku kenali..

Aku dibawa ke sebuah dewan kecil yang dikelilingi oleh golongan lelaki dan wanita.. Ada si anak-anak kecil.. ada makcik-makcik tua.. ada pakcik tua jua..

Di tanganku ada sebekas tabung tembaga.. Aku pegang erat entah mengapa dan tidak aku tahu darimana aku perolehinya.. dan untuk apa..

Wanita pertama yang aku temui dalam dewan itu mendekatiku dan berkata dengan lemah lembutnya padaku.. "Sayang.. Sayang" lantas dengan perlahan mengucupi pipi kiri dan kananku.. Aku sambut dengan senyuman dan ciuman kecil kembali.. Lantas dia masukkan kepingan duit siling ke dalam bekas tembaga yang aku pegang..

Aku masih terpinga-pinga di situ.. Apa sebenarnya yang terjadi ini?? Kakiku masih lagi melangkah perlahan ke hadapan.. menyusuri barisan manusia yang berdiri seolah seperti menunggu giliran.. Laluan jalanan berkapet merah di dewan itu terasa amat panjang sekali.. Sekali lagi aku disapa seorang lagi makcik tua yang lain di sebelah kananku.. seperti makcik yang pertama tadi.. dia juga berkata "Sayang.. sayang" dan mengucupi pipiku kiri dan kanan.. Aku terima ciuman itu dengan senyuman kecil.. Dia juga memasukkan kepingan siling ke dalam tabung tembaga yang dipegang erat di tangan.

Pakcik tua yang berdiri di sebelah kiri laluan itu pula tersenyum manis.. terlihat kepingan siling di tangan mereka.. ketika aku lalu menghampiri mereka.. mereka turut memasukkan kepingan duit siling itu ke dalam bekas tembaga yang masih aku pegang erat dengan kedua-dua tanganku.. cuma mereka tidak mencium pipiku seperti makcik-makcik tua tadi.. sekadar menguntumkan senyuman manis tanpa berkata apa-apa.. Aku bertemu lagi seorang lagi pakcik tua.. Dia seolah menunduk hormat padaku dengan sebuah senyuman manis.. di tangannya juga ada kepingan duit siling.. menanti untuk dimasukkan ke dalam bekas tembaga di tanganku..

Entah berapa kali agaknya pipi aku ini dicium oleh makcik-makcik tua (seingat aku dalam lingkungan umur 50 dan 60an). Malah anak-anak kecil turut mencium pipiku dan memasukkan duit siling ke dalam bekas tembaga itu..

Bila aku menghampiri penghujung barisan manusia itu.. aku jadi semakin hairan atas yang terjadi sebenarnya.. Untuk apa majlis ini?? Untuk akukah?? Untuk majlis apa?? Kelihatannya seolah seperti sebuah majlis perkahwinan.. Aku bakal dinikahi?? Dengan siapa?? Siapa suamiku?? Aku kenalkah dia??

Entah dari mana aku ditanya oleh seseorang tentang bakal suamiku.. Yang hairannya aku menjawab aku sendiri tidak tahu.. Hanya aku ketahui ianya anak kenalan rapat ayahandaku.. Rakan baiknya.. Aku tidak pasti bagaimanakah rupanya.. dan yang mana satukah orangnya??

Aku terhenti pada seorang wanita tua yang cukup aku kenali.. Dia duduk menyandar di atas sebuah kerusi.. Berbaju kurung berpetak hitam putih dan berselendang putih.. Tubuhnya agak kurus sedikit.. Matanya tertutup rapat.. tapi tangannya mula terkapai-kapai cuba untuk memegang bahuku.. Kelihatannya dia juga mahu mencium pipiku dan memelukku... Aku cium pipi nenek itu dengan penuh kasih sayang.. Aku peluk erat tubuh badannya berulangkali.. Aku menangis dengan penuh linangan airmata.. Nenek!!! Ya Allah.. Nenek!!! Hanya itu yang keluar dari mulutku.. Sudah lama aku tidak bertemu dengannya... Aku jerit namanya.. Kali ini serasa aku benar-benar rindu padanya.. Aku peluknya dengan luahan kerinduan yang tidak dapat aku ungkapan dengan kata-kata.. Hanya linangan airmata sahaja yang menjadi sedu sedan aku..

Tiba-tiba jantungku berdebar dengan kencang sekali.. Seolah aku bakal menghadapi satu peristiwa yang mencemaskan.. Realitikah ini?? Mimpikah?? Mainan apakah??

Seolah tidak masuk diakal akan semua ini..

Aku terjaga dengan penuh tanda tanya.. Otak aku kembali memikirkan mimpi itu dengan terperinci, seolah detik-detik cemas tadi benar-benar terjadi kerana dadaku sememangnya berdebar dengan kencang.. Ciuman dan linangan airmata tadi jua terasa masih hangat lagi.. Adakah aku bertemu dengan arwah nenek tadi?? Ini masih menjadi tanda tanya aku...

Menoleh ke kanan.. Terlihat dia sedang tidur dengan lena.. Aku bangun dari tidur menuju ke bilik air untuk persediaan menunaikan solat subuh..

Ingatan pada mimpi itu masih jelas gambarannya..

Wednesday, 2 December 2009

Berempat lebih baik..


Andai waktu begini sentiasa dilalui setiap hari..
Pastinya gelak ketawa takkan habis kedengaran nadanya..

"When true friends meet in adverse hour;
'Tis like a sunbeam through a shower.
A watery way an instant seen,
The darkly closing clouds between."

- Sir Walter Scott

Game, Kanako, Aku dan Suthanya..
30 November 2009-Princess Garden Edinburgh


Tuesday, 1 December 2009

Makan-makan Aidiladha




Walaupun jauh di rantau orang..

Bila berkumpul begini..

Terasa meriahnya..

Rumah Terbuka 15 Albert Road, 28 November 2009 (Sabtu- 11 Zulhijjah 1430)

Thursday, 26 November 2009

Korban


Bak kata Tan Sri P Ramle dalam lagunya..

"Berkorban apa sahaja.. Harta ataupun nyawa.. "

Kata lembu dan kambing pula..

"Janganlah jadikan aku korban ini tahun"

Kata manusia

"Tahun nie raya nak buat korban tak ekkk"

Tak kiralah apa yang nak dikorbankan.. seharusnya berlandaskan sesuatu yang benar dan tidak menyalahi agama dan akhlak..

Pengorbanan juga perlu dilakukan dengan keikhlasan dan kejujuran serta bukan atas dasar kebanggaan dan keegoan..

Buat semua rakan yang berada di rantau orang.. ya kita berkorban meninggalkan keluarga dan sanak saudara demi sebuah perjuangan.. demi mencari ilmu pengetahuan..

Kita adalah musafir dalam mencari kembara keilmuan..

Buat semua rakan baik di mana sahaja..

Salam Aidiladha.. Salam Pengorbanan.. Salam Perjuangan.. Salam Pencarian..

Jemputlah datang rumah terbuka sabtu nie ya ;)

Tuesday, 24 November 2009

Deria itu


Suatu ketika dahulu

Dia sedang menangis.. Hati dia terlalu sedih kecewa.. Rasa sedih itu begitu menusuk hati.. Airmata mengalir dengan deras tanpa di pinta..

Telefon berdering secara tiba-tiba.. Dengan berat hati dia capai gagang telefon itu..

Telinga didekatkan pada kepala gagang itu.. Suara serasa tersekat.. Belum sempat berkata apa-apa.. Terdengar suara yang cukup dia kenali..

"Kenapa sedih nie??.. Tadi menangis kenapa??? Cuba beritahu apa yang terjadi??"

Dia terkejut!! Bagaimana dia tahu apa yang sedang dilalui ketika itu??

Suatu tidak berapa dulu..

Hari ini dia sedih lagi.. Terasa kesedihan terlalu pedih untuk ditanggung lagi.. tapi hati masih terus menahan seribu rasa itu..

Tiba-tiba.. dia terima satu mesej online..
"Aduh.. kenapa hati ini rasa begitu sedih nie?? You sedih ke?? You menangis ya??"

Dia memandang skrin komputer dengan seribu tanda tanya..

Bagaimana dia tahu apa yang dia rasa waktu ini?? Dia masih mendiamkan diri..

Sekali lagi.. dia terkejut..

Dulu dia pernah lalu insiden ini..

Masih wujudkah rasa-rasa telepati sebegini??

Ya suatu yang cukup misteri...

Tapi pernah terjadi.. pernah dialami.. mungkin bakal dialami lagi..

Siapa??

Untuk siapa??

Mengapa??

Bagaimana??

Penjelasannya??

Sebab musababnya??

Entah aku sendiri pun tak tahu...

Kerna itu ia amat misteri sekali..

Ini satu kisah benar.. dan pernah terjadi.. pernah dilalui.. pernah diceritakan.. pernah juga dibincangkan..

Kebenaran deria itu kadangkala wujud bila ada ikatan istimewa antara keduanya..


Friday, 20 November 2009

Semai kasih sayang bersama kebijaksanaan


Di suatu petang yang teduh, seorang anak muda sedang berihat di bawah pohon, tidak jauh dari tebing sebatang sungai.

Saat sedang khusyuk berfikir sambil menutup matanya, tiba-tiba perhatiannya itu terganggu apabila terdengar percikan air yang sungguh kuat berkali-kali.

Perlahan-lahan, dia membuka matanya.

Pemuda itu segera mengalihkan pandangannya ke arah tepi sungai di mana bunyi percikan itu kedengaran kuat.

Pandangannya terhenti pada seekor ketam yang sedang berusaha keras mengerahkan seluruh kemampuannya untuk memegang tebing sungai agar tidak hanyut dibawa arus sungai yang deras.

Melihat kejadian itu, hati pemuda itu merasa amat kasihan.

Dengan segera dia bingkas berdiri dan berjalan dengan pantas ke arah tebing sungai itu dan segera mengulurkan tangannya ke arah sepit ketam itu dengan tujuan untuk membantunya.

Melihat tangan yang terjulur, dengan pantas si ketam menyepit jari si pemuda itu.

Meskipun jari pemuda itu terluka karena sepitan ketam yang amat kuat, dia merasakan satu kepuasan karena mampu menyelamatkan si ketam.

Kemudian, dia pun menyambung semula waktu rehatnya di bawah pokok yang sama.

Belum lama duduk berehat dan memejamkan mata, terdengar lagi bunyi percikan air yang sama dari arah tepi sungai.

Ternyata ketam tadi mengalami kejadian yang sama.

Maka, si pemuda kembali mengulurkan tangannya dan membiarkan jarinya disepit oleh ketam demi untuk membantunya.

Selesai membantu untuk kali kedua, ketam itu terseret arus lagi.

Pemuda itu menolongnya kembali sehingga jari tangannya makin membengkak karena terkena sepitan ketam.

Melihat kejadian itu, seorang tua datang menghampiri dan menegur si pemuda itu.
"Anak muda, perbuatanmu yang suka menolong adalah cermin hatimu yang baik. Tetapi, mengapa demi menolong seekor ketam engkau membiarkan sepit ketam itu melukaimu hingga bengkak seperti itu?"

"Pakcik, seekor ketam memang menggunakan sepitnya untuk memegang benda. Saya sedang melatih mengembangkan rasa belas kasih. Pada saya tidak ada salahnya jika jari tangan ini terluka asalkan dapat menolong nyawa makhluk lain, walaupun itu hanya seekor ketam" jawab si pemuda dengan kepuasan hati karena telah melatih sikap belas kasihnya dengan baik.

Mendengar jawapan si pemuda itu, orang tua itu terus memungut sebatang ranting.

Dia lantas menghulurkan ranting itu ke arah ketam yang sedang memaut tebing melawan arus sungai.

Dengan Segera, si ketam menangkap ranting itu dengan sepitnya.

"Lihat Anak Muda. Melatih mengembangkan sikap belas kasih memang baik, tetapi harus pula disertai dengan kebijaksanaan. Bila tujuan kita baik, yakni untuk menolong makhluk lain, bukanlah dengan cara mengorbankan diri sendiri. Ranting pun boleh kita manfaatkan, betul kan ?"

Seketika itu, si pemuda tersedar.

"Terima kasih, Pakcik. Hari ini saya belajar sesuatu. Mengembangkan cinta kasih harus disertai dengan kebijaksanaan. Di kemudian hari, saya akan selalu ingat kebijaksanaan yang Pakcik ajarkan."



Adakalanya, kita sering menghulurkan bantuan pada sesiapa sahaja baik keluarga, sanak saudara, rakan-rakan atau mereka yang tidak dikenali, namun tidak menyedari pengorbanan yang kita lakukan dalam proses untuk membantu mereka itu turut menyebabkan kita terluka dan makin menyulitkan keadaan.

Biarlah dalam membantu seseorang itu.. walaupun niat asalnya benar-benar ikhlas dan jujur.. pastinya cara bantuan itu seharusnya dilakukan dengan kebijaksanaan. Adakalanya bila membantu tidak seharusnya dibantu sepenuhnya hingga menyebabkan ruang untuk dia berdikari dan bertanggungjawab tidak ada langsung.

Kadang kerana kita merasakan terlalu kesian dengan melihat kesusahan dan kemiskinan seseorang itu.. kita bantu dengan cara memberikan dia sejumlah wang yang banyak dengan harapan itu sudah cukup untuk mengeluarkan dia dari kesulitan itu. Ya, mungkin semasa kali pertama atau kedua dia susah.. bila kita berikan bantuan itu, dia terima dengan kesyukuran tetapi tidakkah kita terfikir bila terlalu kerap bantuan yang sama diberikan, si penerima mungkin mengambil kesempatan dari kebaikan hati kita dan mula berfikir untuk terus meminta dan terus meminta. Bukankah lebih baik jika kita membantu dengan mencarikan dia pekerjaan yang tetap atau memberikan jalan serta sokongan yang dapat mengubah cara kehidupannya. Dengan itu, bukan sahaja dia mampu keluar dari kesusahan tetap juga dapat membina kehidupan yang lebih baik dengan berusaha menggunakan kemampuan dirinya dan tidak semata-mata bergantung pada pemberian dan belas kasihan orang.

Dalam mendidik anak-anak juga sama, sering kita dengar keluhan ibu bapa yang mengatakan telah banyak bantuan dan sokongan yang diberikan pada mereka terutama melibatkan wang ringgit, keperluan sekolah dan sebagainya, tetapi terdapat sebilangan anak-anak yang langsung tidak menghargai sedikitpun pengorbanan yang dilakukan. Ini kerana mereka merasakan apa juga kehendak mereka akan sentiasa dipenuhi oleh kedua ibubapa mereka. Lantas apa yang terjadi?? Mereka menjadi manja, malas, endah tak endah, tidak bermotivasi dan segala perkara yang mampu menjerumuskan mereka pada aktiviti yang tidak sihat. Masih ingat cerita arahan Tan Sri P Ramlee.. Anakku sazali?? pastinya ramai masih ingat iktibar yang boleh diperolehi dari filem itu kan..

Begitu jugalah dalam mendidik pelajar sama ada di sekolah atau di institusi pendidikan tinggi. Adakala bila pelajar terlalu sering diberikan dengan segala nota-nota dan bahan pembelajaran yang banyak. Masih ada pelajar yang mengambil kesempatan dari apa yang diberikan. Mereka merasakan tidak perlu untuk menelaah dan mencari ilmu tambahan kerana cukuplah dengan apa yang diberikan oleh pensyarah berkenaan. Pernah dengar istilah "spoon feeding?", kita bagi semuanya.. tapi hasilnya masih tidak seberapa. Bukankah lebih baik turut diselitkan dengan kaedah pengajaran yang juga bercorak kendiri.. berfikir secara kritis.. kreatif.. mengaplikasikan apa yang telah dipelajari dengan tugasan yang diluar persekitaran universiti atau sekolah?

Itu belum lagi bila pensyarah itu kelihatannya begitu ramah, baik hati, boleh dipujuk rayu.. Maka ada pelajar yang mengambil kesempatan dengan meminta markah kasihan hingga sanggup untuk berbuat apa sahaja, asalkan markah atau gred yang diperolehi lulus walaupun hakikatnya mereka itu selayaknya gagal atau diberhentikan pengajian.

Ohh kisah begini banyak sekali.. baik dari pengalaman aku sendiri yang telah mengajar selama 10 tahun.. dari mengajar di peringkat sijil dan diploma hinggalah ke peringkat sarjana.. Ada sahaja kerenah pelajar yang begini. Pujuk rayu itu sudah terlalu biasa.. teringat kisah sahabat aku dulu.. Ada pelajar merayu untuk lulus hingga sanggup untuk membersihkan dan mengemas bilik kawan aku itu semata-mata untuk tujuan itu. Ya, jika kita ini berniat baik dan kasihan pastinya penyelesaian segera dan mudah untuk itu adalah dengan memberikan markah lulus dan kita mendapat apa yang kita mahukan daripada pelajar itu. Tapi?? Adakah itu tindakan yang wajar??

Prinsip aku dari dulu.. Kita mengajar bukan untuk memberikan dia kesenangan dan keselesaan.. tapi mengajar kerana mahukan mereka terdidik dengan sifat yang baik serta berilmu bijaksana.. Seandainya dia tidak layak menerima sesuatu gred kerana kemampuannya yang tidak mencapai tahap sepatutnya, adakah kita harus memberikannya semata-mata kerana belas kasihan?? Pastinya jawapan untuk persoalan ini punya banyak perpekstif dan caranya.. terpulang pada kita untuk mencorak dan menyelesaikannya.

Aku masih ingat seorang pelajar pernah datang berjumpa dengan aku. Tujuan dia datang berjumpa denganku untuk meminta markah kasihan. Dia turut melahirkan rasa kesalnya kerana dia tidak berminat untuk menjadi seorang guru. Katanya dia mengikuti pengajian itu semata-mata kerana mahu mengikuti kehendak ibu bapanya sedangkan minatnya pada bidang yang berlainan menyebabkan banyak subjek yang dia ikuti sering mendapat gred gagal. Mungkin pada pelajar berkenaan, caranya menceritakan delimanya pada aku adalah dengan harapan dapat meraih markah kasihan berkenaan.. tetapi malangnya aku tidak berpandangan begitu sama sekali. Dalam memberikan dia nasihat.. aku hanya berikan 2 pilihan sahaja. Berhenti terus dari mengikuti pengajian itu atau teruskan juga pengajian dengan menukar pada bidang atau subjek yang dia minati. Aku tidak akan semudah itu untuk memberikan dia markah kasihan semata-mata kerana itu.

Aku tidak mahu nanti bila dia habis pengajian dan dihantar untuk menjadi seorang guru kursus berkenaan.. pengajaran dibuat dengan sambil lewa dan menyusahkan orang lain. Jika tidak minat mengajar adalah lebih baik berhenti daripada menyeksa hati dan perasaan sendiri dan kelak di masa depan menyeksa dan menyusahkan mereka di persekitaran.. Apatah lagi dia bakal menjadi seorang guru.. bayangkan nasib anak muridnya apabila mendapat guru sebegini?? Itu adalah antara isu yang aku perjelaskan pada pelajar berkenaan. Dia akhirnya akur untuk bertukar kursus pada bidang yang dia minati.. Aku tak nafikan.. kursus yang sedang diikutinya melibatkan banyak subjek-subjek yang memerlukan kemahiran matematik dan pengaturcaraan. Mungkin atas sebab itu dia merasakan ketakmampuannya dalam meneruskan pengajian itu. Aku sendiri tak pasti apa jadi dengan nasib pelajar berkenaan.. Yang pastinya mungkin dia telah pun menjadi seorang guru di salah sebuah sekolah di tanahair.. Harapanku.. biarlah dia terbina menjadi seorang guru yang baik.

Dengan adanya niat dan tindakan untuk berbuat baik, seharusnya dilakukan dengan cara yang tepat dan bijak. Supaya dengan bantuan yang diberikan tidak hanya terlihat positif bagi yang dibantu, tetapi turut membahagiakan dan memberikan kebaikan kepada kita yang membantu.

Monday, 16 November 2009

Cerita pasal cuaca


Bila kita terjumpa seseorang yang tidak dikenali.. Dia pulak senyum manis kat kita.. Tengok gerak mulut macam nak beramah mesra.. Agak-agaknya topik apa yang sesuai untuk kita bualkan?? Nak-nak pulak kita tengah tunggu lif atau dalam lif..

Level mana ya?? Ok soalan yang paling bernas.. lepas tuh nak tanya apa lagik?? lif baru tingkat 1.. kita nak p tingkat 15.. dia tingkat 25..

Hari ini masak apa?? Takkan kot dah sah-sah tengah jinjing bungkusan makanan..

Hari ini hari apa?? Takkan hari pun tak ingat.. dah hilang ingatan ke??

Dah makan ke?? Aikk takkan pasal dia dah makan ke belum sibuk nak tahu.. apa nak belanje ke??

Sekarang pukul bape ekk?? Oklah soalan nie nampak cam sesuai sikit walaupun jelas kat tangan kita jam baru berkilat-kilat lagik..

Keje kat department mana??? Cam ayat nak mengorat jek nie.. kalau pompuan sama pompuan oklah tanya begini.. kalau kena sijejaka bertanya si pompuan aihh.. lain makna je..

Apakhabar.. Ok hari nie?? Ini selalu gak soalan aku.. terutama bila jumpa staf yang aku dah kenal.. dan selalu nampak muka mereka.

Tak pernah nampak sebelum nie?? Staf baru ke?? Ahhh satu lagi soalan cepumas nak mengorat gak.. tapi boleh gak guna pakai bila kita betul2 nak mulakan perbualan..

Cuaca hari nie sejuk betullah.. hujan lagi.. Hehehe ini ayat aku selalu bila jumpa orang tak kenal.. senang sebab topik selamat.. kena pula duduk tempat 4 musim begini.. setiap musim leh cerita pasal cuaca.. masa panas.. cakaplah best cuaca hari ini.. panas leh keluar lepak-lepak.. bila sejuk dan hujan.. buat-buat merungut dengan keadaan cuaca (tak baik tau tak bersyukur dengan anugerah tuhan)..

Cerita pasal cuaca nie rasanya suatu yang cukup biasa di sini.. setiap perubahan cuaca dan musim sentiasa menjadi topik hangat tak kira bila pun.. dan mudah untuk dijadikan bahan perbualan dengan orang.. sebab topiknya mudah nak dijawab.. dan difahami. Paling tidak.. sejuk.. panas.. hujan.. ribut.. angin kuat.. dan seterusnyalah boleh jadi panjang berjela kalau cerita pasal cuaca nie..

Kalau naik lif.. selalunya kalau mood aku baik hari itu.. aku akan buka topik pasal cuaca.. hahaha.. senang.. sebab lepas tuh akan kedengaranlah bebelan orang yang aku tanya pasal cuaca.. kalau panas.. wah kemain puji lagi.. siap dah ada plan nak buat apa kalau hujung minggu tuh panas.. kalau sejuk mengigil tambah ada angin kuat dan hujan pulak.. semua merungut.. jaket basahlah.. kasut basah.. payung patahlah.. macam-macam lagi.. dan jawapan aku selalunya sekadar senyuman.. dan kadang-kadang aku pun menambah bagi panas lagik wakakakah..

Satu lagi topik yang sering ditanya pada aku dan best juga jadi bahan untuk perbualan.. tentang cuti hujung minggu.. buat apa?? kemana?? selalunya aku jawab duk umah.. paling tidak pergi bershopping.. idak pun beli barang-barang mentah.. Dari situ boleh jadi topik yang panjang juga... bercerita macam-macam..

Satu lagi soalan kegemaran aku.. "Hari yang sibuk ke hari nie??" best jek nak tau orang tuh sibuk ke idak hahaha.. nampaklah bukan kita jek yang sibuk buat keje.. orang lain pun sibuk juga..

Kalau korang.. biasa tanya soalan apa??

Sunday, 15 November 2009

Kenapa berblog?


Soalan ini pastinya satu soalan yang biasa ditanya. Kenapa kita nak berblog ekk?? Jika ditanya pada setiap blogger pastinya jawapan yang diberikan berbeza.. dan mungkin juga ada yang kedengarannya sama..

Kebiasaannya setiap penulis blog mesti mempunyai 1 blog.. kadang ada yang punya 2.. kadang ada yang punya 3 blog.. atau 4 atau 5.. ikutlah.. dimana setiap blog itu mempunyai fungsi yang berbeza-beza.. Aku sendiri punya 2 blog di blogspot.. blog kedua dilahirkan atas permintaan seorang rakan.. sebuah blog perjalanan kembara aku.. mudah untuk aku coretkan semua kisah pengembaraan yang telah, sedang dan bakal aku lalui..

Aku berblog sebenarnya dah lama.. sejak 5 tahun yang lalu.. tetapi lebih bersifat peribadi.. tidak pernah aku jadikan ia sebagai bacaan awam.. cukup untuk bacaan sendiri.. tiap kali aku tensen.. ingin meluah rasa.. di situ aku menulis.. kini 'blog provider' itu juga telah ditamatkan riwayatnya..

Aku mula berblog secara suka-suka selepas 6 bulan kembali ke bumi UK ini.. tahun 2007. Seingat aku sehari sebelum hari lahir aku rasanya.. Sebenarnya tujuan berblog ketika itu lebih untuk berkongsi aktiviti yang aku lalui.. terutama bila ada aktiviti bergambar.. bukan apa sekadar untuk berkongsi dengan rakan-rakan seperjuangan yang ada di merata dunia ini.. selalunya kami sering menghantar email untuk bertanya khabar dan menghebahkan apa yang kami lakukan.. Sebenarnya aku berblog setelah melihat blog seorang rakan di Sheffield.. hahaha.. rasa teruja nak mencuba blog dengan lebih terbuka..

Awal aktiviti berblog aku hanya sekadar membuat laporan aktiviti.. lama kelamaan.. aku mula menulis lebih bersifat peribadi.. banyak juga perkara yang aku luahkan.. hinggalah satu insiden pahit yang aku lalui pada pertengahan tahun 2008.. atas sifat terbukaan aku dalam menulis.. Blog ini dijadikan bahan untuk sasaran beberapa individu.. Heboh jugalah ketika itu.. dan masa yang sama pengunjung blog bertambah dengan mendadak sebab ramai yang nak tahu apa yang jadi hahahaha... Pernah juga terlintas untuk berhenti menulis.. tapi aku masih percaya hayat blog ini masih panjang.. Alhamdullilah.. berkat sokongan beberapa rakan blogger dan pembaca senyap.. aku masih terus menulis hingga kini.. walaupun sudah tidak lagi sekerap seperti dulu..

Aku rasa sesiapa pun pernah melalui insiden begini.. kadang orang menilai kita hanya berdasarkan apa yang kita tulis.. bak kata sahabat aku Tiny.. kadang kita enak menulis dengan nada kita.. tapi bila dibaca orang.. orang itu membaca dengan nada dia.. dan mengundang satu kesimpulan yang jauh berbeza dengan apa yang hendak kita sampaikan.. so hasilnya silap tafsiran.. salah dugaan.. dan sebagainya.. aku dah cukup masak dengan insiden begini..

Untuk apa kita berblog?? Untuk aku.. sekadar suka-suka.. cuma ia dijadikan sebagai satu platform untuk aku meluah rasa.. selalunya aku suka menulis secara simbolik untuk mengambarkan apa yang aku rasa.. sebab maknanya boleh menjadi apa sahaja.. selalunya sering aku nyatakan dalam kebanyakan sajak atau puisi yang aku hasilkan.. kadangkala aku menulis monolog hati.. dalam coretan "Semalam.. Hari ini.. Esok" itu adalah luahan aku secara tidak langsung.. mudah menulis dalam gaya monolog begitu dari menulis secara terus terang..

Dalam blog aku jarang sangat aku coretkan aktiviti memasak seperti kebanyakan blog-blog wanita yang lain.. hahaha.. kadang-kadang ada jugalah terselit sekali sekala.. bila ada resepi tertentu yang ingin aku kongsikan.. ini bukan bermakna aku tak masak atau tak pandai masak ya!!! hehehehe.. cukuplah pakwe aku di rumah itu tahu sejauh mana kepandaian aku memasak.. dan tidak ketinggalan dia juga pandai masak.. kiranya kami setanding lah.. ;)

Walaubagaimanapun.. walaupun blog itu kepunyaan kita.. tapi sudah lama aku akui.. ada yang perlu dan ada yang tidak perlu kita tulis dalam blog itu.. ada perkara yang perlu dirahsiakan atau disimpan.. Sebab kadang bukan semua orang dapat memahami apa sebenarnya hasrat yang cuba disampaikan.. Biasalah.. sedangkan bila kita berbual dengan orang pun.. dengan nada suara dan gaya badan yang jelas kelihatan di depan mata pun.. masih boleh disalah ertikan oleh orang.. apatah lagi menulis di blog yang tidak punya nada suara dan gaya tubuh badan yang jelas kelihatan..

Namun yang pasti.. ramai yang kadang singgah ke sini kerana mahu mendengar lagu-lagu yang berkumandang di sini.. Ini aku akui dan ketahui sangat sebab sudah ramai rakan-rakan di sini yang berkata begitu dengan aku.. Aku hargainya.. sebab itulah aku.. aku sememangnya suka mendengar lagu.. dan kebanyakan lagu itu dipilih berdasarkan mood dan citarasa aku..

Kenapa anda semua berblog?? Mesti ada jawapan yang menarik untuk soalan ini kan?

Saturday, 14 November 2009

Malam di sini


Malam di sini..
Aku renung melepasi jendela
Terlihat cahaya kilauan berkelip-kelip indahnya
Langit malam berwarna gelap berona
Deretan lalu lintas kenderaan bergerak sekata
Dari jauh kelipan cahaya berbalam-balam di mata

Malam di sini
Aku pandang kiri dan kanan sisi
Aku lihat ke depan sambil berdiri
Aku letakkan tangan sambil menumpang dagu sendi
Aku renung kaca jendela sambil mengeluh sendiri
Aku terasa terbang membelah langit gelap menari-nari
Ingatan melayang pergi ke bumi yang disayangi

Malam di sini..
Gelap pekat berbalam suka duka rindu
Dingin alam serasa bersatu
Suhu jatuh menyembah takat beku
Mencengkam tulang temulang setiap satu
Bicara turut menjadi kelu
Dek rasa-rasa nan syahdu

Hoping that tonite is a good good nite..
Just like the song that I keep on hearing now and then.. "I've got a feeling"
Yeah.. I've got a feeling..
Tonite gonabe a good good nite..
A good nite sleep..
and sweet dream all nite..
eventhou it's friday 13th..


Thursday, 12 November 2009

Jangan percaya!!


Di suatu petang yang hampir gelap.. Jumaat minggu lepas.

"Haslina.. you know.." pembuka kata kawan sebilik aku.. Si Suthanya

Lalu aku jawab dengan selambanya "Yeah.. 2 pound!!" sambil menadah tanganku meminta duit. Dia terus tergelak besar bila dengan aku berkata begitu..

Lantas aku sambung dengan kata-kata yang lebih serius "Yes.. you want me to know about what??"

Dia mengeluh perlahan.. Dia sambung kata-katanya..

"You know.. (kata hati aku; yeler aku nak tahu ler nie).. when I go back to Thailand.. I will tell my friends or my junior or my students, only trust people from Thailand or Malaysia or Japan but don't trust people in UK"

Wahh.. aku terkejut.. topik hangat nie.. satu kenyataan yang kedengarannya agak keras. Ini mesti ada pe-pe nie.. kata hati aku..

Aku dah mula pelik.. dan dia mula bercerita mengapa dia punya perasaan sebegitu dengan mereka di sini.

Kesnya begini:

Memandangkan kami ini pelajar Sains Komputer sudah tentu sahaja kami banyak membuat kajian dan tugasan yang berkaitan dengan koding, pengaturcaraan dan pembangunan sama ada sistem atau laman web. Rakan aku ini kajiannya berkaitan dengan pembangunan semula sebuah laman web perpustakaan digital era victoria. Dia dikehendaki untuk mengubahsuai rekabentuk, fitur, antaramuka laman web berkenaan. Sebenarnya laman web asal perpustakaan itu telah dibina beberapa tahun yang lalu di bawah satu kumpulan kajian di jabatan tempat pengajian aku. Namun projek ini telah lama selesai dan rakan aku telah ditugaskan untuk mengubahsuai rekabentuk dan antaramukanya serta menjalankan soal selidik pengguna berkaitan laman web berkenaan. Rakan aku nie lebih awal telah mendapat kebenaran dari ketua projek berkenaan untuk menggunakan data-data yang terdapat di laman berkenaan.

Beberapa minggu yang lalu.. Laman web asal itu telah berhenti beroperasi kerana masalah yang tidak diketahui. Semua koding dan data laman web berkenaan hilang dan tidak dapat dipulih semula. Walaupun projek ini telah tamat kajiannya.. Laman web itu masih beroperasi seperti biasa bagi membolehkan pengguna membuat capaian ke laman itu untuk mendapatkan bahan yang dikehendaki. Oleh kerana laman web itu terhenti operasinya secara tiba-tiba tanpa sebab yang diketahui, salah seorang daripada ahli kumpulan projek ini telah berjumpa dengan rakan aku untuk mendapatkan semula data-data yang telah disimpan olehnya. Sebagai manusia biasa sudah tentu rakan aku ini dengan sukarelanya memberikan data berkenaan.. memandangkan dia juga memperolehi data itu daripada laman web asal. Tetapi pada masa yang sama juga, individu itu juga telah meminta semua koding yang telah dibina bagi membolehkan laman web itu beroperasi buat sementara waktu. Pada masa yang sama individu ini bagi mewakili kumpulan projek berkenaan telah berjanji untuk memberikannya ruang storan data pada server dimana laman web asal itu diletakkan.

Oklah.. bagi koding dan data.. diorang janji nak bagi storan.. maksudnya boleh simpan data-data atau bahan-bahan berkaitan pembangunan laman web itu di situ. So kawan aku ini tanpa sebarang kecurigaan.. dia bagi semua koding berkenaan (termasuk yang sedang dia bina) serta data-data yang ada kepada mereka. Esoknya laman web itu beroperasi seperti biasa tapi menggunakan rekabentuk yang sedang dibina oleh rakan aku (tanpa sedikit pun pengubahsuaian.. kiranya ciplak terus ler nie). Masalahnya mereka hanya copy paste sahaja koding yang telah dibuat oleh rakan aku.. dan lebih malang.. ruangan storan yang dijanjikan lebih awal telah ditarik semula penggunaannya dan semua data-data serta bahan yang telah diletakkan diminta untuk dipindahkan atau dimusnahkan serta merta.

Dipendekkan cerita.. penat ahh nak terang panjang-panjang nie.. lenguh menaip tau.. Rakan aku ini begang gila.. sebab dia siang malam menyiapkan koding berkenaan untuk kajian dia.. tapi dengan sesenang hati jek mereka boleh mengambil koding berkenaan (walaupun diberi dengan kebenaran oleh kawan aku sebab ingatkan mereka sekadar nak buat ujian sahaja) dan menggunakannya terus sebagai rekabentuk laman web itu. Yang paling menyedihkan mereka sibuk mewar-warkan kejayaan mereka menghidupkan semula laman web itu sedangkan bukan mereka yang buat rekabentuknya.. ambil koding yang dah separa siap.. terus publish.. laman web pun on dengan rekabentuk baru. Mereka yang dapat nama.. tapi rakan aku pula tak dapat apa-apa.. dapat penat jelah sebab siang malam buat rekabentuk laman web itu untuk tujuan kajian dia.. tup-tup kena sabotaj untuk kepentingan individu yang ambil jalan mudah.

Lebih malang janji pun tinggal janji jek.. Siap dapat arahan untuk pindahkan semua data-data yang diletakkan oleh rakan aku di server mereka.. udahlah dapat koding... masa tak dapat merayu-rayu datang minta tolong.. dah tolong.. rupanya kena sabotaj pula.. Emmm... Kiranya cam kes kita yang buat keje.. orang lain yang dapat pujian dan orang lain juga dapat nama..

Komen aku.. ada 2 perkara yang aku highlight pada rakan aku bila insiden ini diceritakan pada aku..

1. Adakah insiden ini akan memberikan kesan yang besar pada kajian dia?

2. Bagaimana pula isu copyright data-data dan rekabentuk yang sedang digunakan oleh kawan aku itu?

Panjang lebar jugalah perbincangan aku dan dia petang itu tentang isu copyright dan impak maksima yang sedang dan bakal dihadapi oleh rakan aku..

Kesimpulan aku.. Perangai manusia begini ada dimana-mana jek.. tidak terhad di UK nie jek.. di Malaysia pun ada juga manusia begini juga.. yang suka ambil kesempatan atas kerajinan orang lain.. untuk kepentingan diri dia.. Banyaklah insiden-insiden dan contoh-contoh yang mungkin kita sendiri alami.. atau melihat kawan-kawan kita hadapi..

Aku perbetulkan kembali persepsi pemikiran kawan aku ini semula.. tak semua orang UK begitu.. sebab aku percaya ada gak orang Thailand yang begitu.. orang Malaysia yang begitu dan orang Jepun pun begitu.. Yelah rakan sebilik aku semuanya dari negara Asia.. Malaysia, Thailand & Jepun.

Bak kata orang dedulu.. Kalau mengajar anak murid.. biasanya cikgu tuh takkan bagi semua.. ada sebahagian yang dia akan simpan sikit untuk diri dia.. so memang ada kebenarannya.. sebab ada ilmu yang kita boleh bagi semua.. tapi ada juga yang perlu disimpan untuk sebaran di masa yang sesuai.. Bukan apa takut nanti bila anak murid lebih pandai dan mula pijak kepala guru.. guru tak mampu nak tepis dan elak sebab semua ilmu tuh dah dia bagi?? Boleh pakai ke pendapat nie ek??

Aku rasa bab-bab orang guna pakai kerja dan hasil tangan kita nie dah banyak.. rasanya sepanjang aku bekerja 10 tahun nie.. dah macam-macam pengalaman yang aku dapat tentang niat budi orang. Ada yang suka puji.. ada yang suka minta tolong.. ada yang kita tolong.. tup-tup dia yang kena puji sakan.. walhal kerja dia tuh.. 3/4 darinya adalah benda yang aku dah buat.. tapi dia ubahsuai sikit jek.. contoh dedulu masa kita buat tugasan untuk kerja kursus.. Bila kita bagi tugasan kita kat kawan kita untuk disalin.. pernah terjadi kes orang yang salin tugasan tuh dapat A tapi kawan yang disalin tugasan tuh dapat B. Sebabnya bila rakan itu tadi menyalin.. dia akan mengubahsuai tugasan itu dan menambah lagi mana yang dilihatnya kurang.. sebab itu dia dapat A.. Sepatutnya.. rakan yang menyalin itu bagilah feedback.. untuk sama-sama memperbaiki kekurangan.. ini tidak.. dah dapat yang lebih baik simpan diam-diam untuk kepentingan diri.. Tak adilkan.. dan salah kawan itu jugalah.. kenapa bagi pinjam kan kan..

Satu lagi bila kita kena buat persembahan dalam sesuatu kursus atau kelas.. Biasanya kita lihat kumpulan terakhir yang buat persembahan itu (kalau topiknya lebih kurang sama) biasanya akan mempunyai persembahan yang lebih mantap dan baik?? kenapa?? sebab mereka terlebih dahulu telah menganalisa hasil persembahan rakan-rakan yang lain dan bila tiba giliran mereka dalam membuat persembahan.. hasil analisa mereka itu akan digunapakai untuk menambah apa yang kurang dalam persembahan mereka. Perasan tak akan perkara ini?? Aku belajar tentang ini semasa sedang mengikuti kuliah di peringkat Master dulu.. bila pensyarah aku boleh komen setiap hasil persembahan pelajar-pelajar dalam kelas. Dia highlightkan isu ini kepada kami.. dan aku dapati ianya amatlah benar. Oleh itu bila aku melihat persembahan pelajar.. selalunya isu ini akan menjadi perhatian aku bagi memastikan markah atau point yang seimbang diperolehi oleh setiap kumpulan.

Oleh itu.. Kalau ada orang meminta sesuatu dari hasil kerja yang kita buat.. janganlah sekali-kali bagi semua.. bagilah separuh jek.. sebab kadang kita tak tahu apa niat dia..

Korang setuju tak dengan pendapat aku nie??

Tuesday, 10 November 2009

Nilai Sahabat



Aku rasa jika topik ini dijadikan satu perbincangan pastinya banyak isu yang akan diketengahkan. Pasti juga banyak perkara yang akan dibangkitkan.. Pengalaman sendiri.. pengalaman orang.. pengalaman keluarga sendiri.. sudah tentu menjadi asas pada diri untuk menilai sebuah ikatan persahabatan.

Kita mula berkawan sejak dari kecil.. bermain bersama.. belajar bersama.. ada yang kita suka berkawan.. ada yang kita tak suka.. ada yang kita kejap suka dan kejap tak suka.. Tapi nyatanya.. semasa kecil dulu.. kita berkawan dengan orang kiranya kita ikhlas jugalah.. bila suka kita cakap terus terang.. tak suka pun kita cakap juga.. kalau tidak takkan ada ungkapan 'tak nak kawan awak' kedengaran setiap kali kita merajuk atau tak suka dengan seseorang itu..

Best jek kan sebut 'tak nak kawan' hahahahha... bila mendengar ungkapan tersebut dari mulut anak-anak kecil.. kedengarannya sungguh melucukan.. merajuk dalam nada mengada-ngada.. mahu dipujuk.. bila rajuk itu berjaya dipujuk.. yang tak nak kawan tadi.. terus boleh jadi kawan.. bermain dan bergelak ketawa kembali bersama-sama..

Itu kisah budak-budak.. jiwa mereka halus dan lurus.. takde rasa selindung atau tersembunyi.. dan takde juga rasa memendam dan berdendam.. ikhlas.. jujur.. dan telus..

Tapi berbeza pula bila nilai persahabatan di kalangan orang dewasa.. Bersahabat pada usia begini sungguh mencabar sekali.. Bila dia kata suka.. kadang-kadang itu maknanya dia tak suka.. kadang dia kata tak suka.. tapi rupanya dia suka pulak.. payah nak tafsirkan kejujuran hati manusia.. kadang kejujuran hati sendiri pun susah nak nilai juga kan..

Ada sahabat yang telah menjadi rakan baik bertahun lamanya.. kini sudah pun menjadi lawan.. dulu baik bukan main.. kini tak baik pun bukan main juga.. Dulu tak kisah.. sekarang amatlah kisah.. dulu tak berkira.. sekarang amat berkira hatta beberapa ringgit pun berkira ya amat.. ohhh ini antara salah satu kisah sedih.. hingga hari ini pun masih ada kesan-kesan luka itu.. Tak sangka kan.. Semua itu bila difikir-fikir balik.. memang tak pernah terlintas dalam fikiran dan hati.. kesanggupan dan kejadian sebegitu boleh terjadi.. tapi tidak ada yang mustahil di muka bumi ini.. semuanya mustahil.. tidak ada yang muskil..

Kadang susah kita nak nilai keikhlasan hati orang.. Kadang yang tak pernah baik dengan kita.. tiba-tiba jadi amat baik.. Ahhhh.. ini kadang kena hati-hati sikit.. sebab ditakuti mempunyai niat yang lain.. Ada juga yang dulu memang baik... sekarang dah tak berapa baik.. Pada aku mudah.. siapa nak berkawan kita kawan.. siapa tak nak kawan.. Takpe.. mungkin esok-esok jelah kita kawan.. kalau esok-esok pun tak nak kawan.. kita kawan lusa-lusa.. lusa-lusa pun tak nak kawan.. takpe tulat ada.. kalau tulat pun tak nak kawan.. tahun depan jelah dan tahun-tahun akan datang.. takkan nak paksa hati dan perasaan orang nak kawan pada hari ini juga.. Mana aci camtu kan.. so let it be fair and square..

Kawan datang dan pergi.. Kalau diingat-ingat kawan-kawan yang kita ada sejak kecil hinggalah usia kini.. berapa orang agaknya yang masih kekal menjadi sahabat baik.. walau bertahun usia kita bertambah hingga kini masih jadi sahabat baik.. Best ada sahabat yang begini. Dia kenal kita dari kita kecil.. hinggalah kita berubah seperti sekarang.. Walaupun telah berkeluarga.. bercucu dan cicit.. tapi tetap setia.. Alhamdullilah masih kekal mahu bersahabat.. Namun ada juga sahabat yang baru kita kenal.. tapi dah baik cam bertahun kita kenali dia.. pun Alhamdullilah juga.. cuma kita pandai-pandai menjaga hati.. dan menjaga persahabatan..

Pada aku ikatan persahabatan itu tidak ada batasan... walaupun agama.. bangsa.. negara.. warna kulit.. kita bebas berkawan dengan sesiapa sahaja.. Seorang tidak mahu berkawan dengan kita.. tak perlulah kita risaukan.. kerana masih ada jutaan kawan-kawan lain di muka bumi ini yang menunggu peluang untuk berkawan dengan kita yang mungkin kita akan temui di masa hadapan..

Semoga Allah berikan pada kita insan-insan yang baik sebagai sahabat.. dan jauhi mereka yang berniat buruk pada kita.. Sebab itu jangan kita sedih andai ada yang tidak mahu berkawan dengan kita.. Mungkin telah ditakdirkan untuk berjauhan dengan kita kerana mungkin dia ada niat buruk yang tidak kita ketahui.. Andai terbit juga cakap-cakap belakang.. fitnah atau umpatan.. biarlah.. kerana bukan mulut kita yang menyebutnya.. walaupun mungkin telinga kita yang panas membahang mendengarnya.. Bukankah itu perkara biasa.. Nabi Muhammad saw juga di fitnah.. apatah lagi kita ini yang hanya manusia biasa..

Enjoy life.. Gembirakan hati.. Lapangkan dada.. Tenangkan fikiran.. dan senyum selalu.. Aku tahu.. dalam ramai sahabat-sahabat aku.. pastinya ada yang terbaik di kalangan mereka.. dan aku bersyukur kerana ditemukan dengan mereka dalam hidup aku..

Terima kasih sahabat.. Semoga yang baik-baik sahaja akan terus kekal menjadi pegangan kehidupan..

Banyak-banyak nilai..
Aku suka Nilai 3 dan Nilai 1..
Boleh enjoy shopping barang dan kain baju..
Dokek yo ngan kampung halaman..
Ada sapa-sapa nak ikut??
Kita set janji lagi 1 tahun..
Hehehehe ;)

Monday, 9 November 2009

Keluarga kita keluarga orang 2

Dalam entri yang lepas aku ada ceritakan secara ringkas tentang rancangan realiti tv 'World's Strictest parents'. Kisah dimana 2 remaja dari UK, yang saling tidak mengenali satu sama lain akan dihantar keluar negara untuk tinggal di rumah sebuah keluarga angkat selama 8 hari.

Realiti tv ini menayangkan semua aktiviti harian remaja berkenaan semasa di UK, kebanyakan mereka ini tergolong daripada remaja yang liar, suka ke kelab malam, mabuk, menghisap marjuana, merokok dan segala aktiviti yang tidak bermoral.

Kebiasaannya keluarga remaja ini sudah putus harapan untuk mengubah corak hidup remaja ini dan menjadikan rancangan ini sebagai satu peluang untuk melihat anak-anak mereka itu berubah menjadi manusia yang baik dan berguna.

Bila menonton rancangan ini sebenarnya.. pada mulanya jiwa remaja itu sememangnya memberontak kerana keluarga-keluarga ini mempunyai peraturan di rumah yang ketat seperti tidak boleh merokok, minum arak, berpakaian tertib dan patuh serta hormat dengan ibu bapa. Di awal cerita biasanya remaja-remaja ini akan menjerit, meraung dan memaki hamun keluarga baru mereka kerana mereka tidak mahu mengikuti peraturan-peraturan yang telah diberikan itu. Hingga ada juga yang larikan diri.. tapi akhirnya mereka berpatah balik juga ke rumah keluarga itu semula (yelah bila dah tak tahu nak pergi mana? dan negara itu pun bukan negara mereka).

Selalunya pengakhir rancangan itu, sedikit sebanyak meninggalkan kesan perubahan pada 2 remaja ini. Mereka mula menghargai dan menghormati keluarga berkenaan, berfikiran positif dan mampu berkomunikasi dengan lebih baik.

Jika berminat boleh menonton di You Tube.. dan ikutilah part 1-6.




Buat mereka di UK

Boleh menonton di iplayer BBC3 di sini

Selamat menonton

Friday, 6 November 2009

Keluarga kita keluarga orang


Semalam aku menonton sebuah rancangan di BBC3. 'The world's strictest parents'. Sebenarnya rancangan ini telah memasuki siri kedua tahun ini. Siri pertama dimulakan pada tahun 2008 tapi baru 2 minggu ini aku mula mengikuti realiti TV ini secara dekat. Siri ini juga popular di US dan Australia.

Konsepnya mudah.. 2 remaja yang bermasalah dari United Kingdom yang terdiri daripada seorang lelaki dan perempuan akan dihantar ke luar negara untuk tinggal bersama sebuah keluarga angkat selama 8 hari. Mereka dikehendaki untuk mengikuti semua peraturan dan cara keluarga berkenaan mendidik anak-anak mereka. Sepanjang mereka tinggal bersama keluarga berkenaan, kedua-dua remaja ini akan menerima sepucuk surat daripada keluarga mereka di UK. Surat ini mengandungi luahan rasa mak atau ayah kedua remaja ini terhadap mereka selama ini. Selalunya bila remaja-remaja ini membaca surat berkenaan, sedikit sebanyak meninggalkan kesan pada perasaan mereka.

Rancangan realiti TV ini amat menarik untuk ditonton kerana secara tidak langsung ia turut membuka minda dan hati tentang cara dan corak didikan yang dipamerkan oleh keluarga-keluarga berkenaan. Perkara pokok yang paling utama yang sering dijadikan fokus adalah disiplin dan untuk membentuk disiplin perlu ada peraturan.. Kemudian perkara kedua yang diketengahkan adalah pendidikan.. Tanpa pendidikan seseorang itu tidak mampu untuk pergi jauh... tidak mampu untuk membina masa depan yang cemerlang atau mengapai impian serta cita-cita yang diingini.

Secara keseluruhannya, aku melihat cari didikan yang dipamerkan baik dimana sahaja.. Botswana, Utah US dan India. Semuanya menekankan 2 perkara yang aku sebutkan tadi.. Displin dan pendidikan, tanpa kedua perkara ini seseorang individu itu akan menjadi seorang yang memberontak.. tiada hala tuju.. malas.. tidak ada pendirian dan terus menjerumuskan diri dalam perkara-perkara yang lebih buruk seperti dadah, arak, seks dan lain-lain.

Menonton rancangan ini juga membuatkan aku teringatkan cara didikan masyarakat Malaysia. Teringat juga cara ayah mendidik aku dan adik-adik tentang kepentingan pelajaran dan disiplin. Ayah seorang ayah yang tegas.. sesuai dengan karektornya sebagai seorang guru sekolah dan merangkap guru besar. Sikapnya amat mengambil berat hal-hal yang berkaitan dengan pelajaran, termasuklah juga didikan agama. Tidak ketinggalan juga disiplin dan peraturan yang perlu kami ikuti. Tugasan kerja-kerja rumah yang perlu dibuat setiap hari..

Seawal umur aku 11 tahun lagi ayah sudah mula menyuruh mak mengajar aku ke dapur untuk membantu mak memasak dan menguruskan keperluan dapur. Aku mula belajar masak nasi pada umur 11 tahun.. Bila menginjak masuk ke tingkatan 1 & 2 aku mula tinggal di asrama sekolah dan di tingkatan 3 aku kembali tinggal bersama dengan keluarga. Semasa aku di tingkatan 3 inilah aku mula belajar memasak dengan mak. Bila menginjak masuk ke tingkatan 5 aku sudah mula diberikan kepercayaan oleh mak untuk menyediakan hidangan makan tengahari untuk keluarga selalunya pada hujung minggu kerana hari biasa aku sibuk dengan urusan sekolah dan kelas-kelas tusyen.

Yang paling utama kerana sikap ayah yang mengajar aku berdikari dalam banyak perkara. Banyak juga tanggungjawab yang perlu aku pikul semasa aku di bangku sekolah lagi. Pernah beberapa kali juga ayah pernah menyuruh aku melakukan sesuatu perkara buat pertama kalinya, mulanya aku sendiri pun agak was-was sama ada mampu melakukannya atau tidak. Tapi selalunya aku lakukan juga kerana sudah mendapat kepercayaan penuh dari ayah. Mungkin dari situ juga menyebabkan aku punya sifat sukakan cabaran, tapi cabaran yang bersesuaian dengan sifat dan kemampuan aku. Insiden begitulah banyak membentuk ciri-ciri berdikari yang amat tinggi pada aku.

Aku setuju setiap anak-anak seharusnya diberikan tugasan yang melibatkan kerja-kerja pembersihan di rumah. Ada giliran untuk setiap perkara bagi setiap anak. Bak kata salah seorang daripada anak keluarga angkat di Utah bila ditanyakan soalan "Mengapa seseorang anak itu perlu buat kerja rumah?" Jawapannya mudah "1. untuk memastikan rumah sentiasa bersih. 2. Dapat membiasakan diri dengan kerja-kerja berkenaan bila mereka meningkat dewasa nanti". Ada kebenaran akan perkara ini, kita lihat sahaja diri kita sendiri semasa kecil.. dek kerna kita sudah biasa melakukan kerja-kerja rumah dulu, bila meningkat dewasa, sedikit sebanyak kerja-kerja itu adalah sesuatu yang biasa untuk kita lakukan seperti membasuh baju, membersihkan rumah, mengemas, berkebun dan sebagainya. Ini menjadikan diri kita tidak kekok untuk bercampur dengan masyarakat bila ada urusan kenduri kendara, gotong royong dan lain-lain aktiviti kemasyarakatan.

Sejenak juga ingatan terbang pada beberapa keluarga angkat aku semasa mengikut program keluarga angkat anak-anak selangor semasa di UKM dulu. Aku ada 3 keluarga angkat di 3 daerah yang berbeza, satu di Sijangkang (merupakan seorang ADUN pada ketika itu), satu di Kuala Selangor dan satu di Ijok. Setiap keluarga angkat itu ada kenangan masing-masing.. Rasanya sudah agak lama juga terputus hubungan dengan mereka.. Namun kenangan bersama mereka masih kekal dalam ingatan aku.

Ya keluarga kita dan keluarga orang takkan sama.. tapi nilai-nilai yang utama dan penting itu.. tidak jauh berbeza.. walau dimana pelusuk dunia sekali pun.. walau miskin kaya pun status mereka.. Pastinya untuk menjadi individu yang berjaya dan cemerlang.. Pendidikan dan agama adalah formula utama dalam kehidupan seseorang itu.

Wednesday, 4 November 2009

Cukuplah


Buat renungan kita bersama (diterima daripada seorang rakan)

Cukuplah................

Ada seorang sedang mencari kerja. Ketika masuk ke bilik temuduga dia memungut sampah yang terdapat di lantai dan memasukkan ke dalam tong sampah. Penemuduga melihat perkara itu dan mengambilnya untuk bekerja.
Untuk memperoleh sesuatu bukanlah sukar, cukuplah..................... memelihara dan melaksanakan kebiasaan yang baik.

Ada seorang pemuda belajar membaiki basikal di sebuah kedai membaiki basikal. Suatu hari seorang lelaki menghantar basikal anaknya untuk diperbaiki di situ. Pemuda itu memperbaiki basikal tersebut, disamping itu dia juga membersihkan basikal itu hingga cantik berkilat. Pemuda itu ditertawakan oleh rakan-rakannya yang beranggapan membazirkan masa bekerja. Esoknya lelaki yang empunya basikal mengambil basikalnya, melihatkan keadaan basikalnya yang menjadi seperti baru. Akhirnya lelaki itu mengambil pemuda yang membaiki basikal anaknya itu bekerja di syarikatnya.
Ternyata untuk menjadi orang yang berjaya cukup mudah, cukuplah.............. dengan rugi sedikit sahaja.

Seorang anak berkata kepada ibunya: "Ibu hari ini sangat cantik".
Ibunya bertanya: "Mengapa?"
Si anak jawab: "Kerana hari ini ibu tidak marah marah".
Ternyata untuk memiliki kecantikan sangatlah mudah, cukuplah.................... hanya perlu tidak marah-marah.

Seorang petani menyuruh anaknya setiap hari bekerja keras di sawah, rakan-rakan petani itu berkata: "Tidak perlu menyuruh anak kamu bekerja keras, tanamanmu tetap akan tumbuh dengan subur".
Petani itu menjawab: "Aku bukan sedang membina tanamanku, tapi aku juga sedang membina anakku".
Ternyata membina seorang anak sangat mudah, cukuplah....................... dengan membiarkan dia rajin bekerja.

Ada sebuah kedai yang lampunya selalu terang-benderang, ada yang bertanya: "Lampu jenis apa yang dipakai sehingga begitu tahan lama?"
Pemilik kedai berkata: "Mentol lampu kami juga selalu terbakar, dan diganti."

Ternyata cara memelihara supaya kedai tetap terang sangat mudah,cukup......... selalu diganti mentol yang terbakar.

Katak yang tinggal di sawah berkata kepada katak yang tinggal di tepi jalan: "Tempatmu terlalu berbahaya, tinggallah denganku".
Katak di tepi jalan menjawab: "Aku sudah biasa, malas untuk pindah".
Beberapa hari kemudian katak "sawah" menjenguk katak "tepi jalan" dan menemukan si katak sudah mati dilanggar kenderaan yang lalu-lalang.

Ternyata sangat mudah menggenggam nasib kita sendiri, cukuplah................ hindari kemalasan.

Ada segerombolan orang yang berjalan di padang pasir, semua berjalan dengan berat, sangat menderita, hanya seorang yang berjalan dengan gembira.
Ada yang bertanya: "Mengapa engkau begitu gembira?"
Dia jawab sambil ketawa: "Kerana barang bawaan saya sedikit".

Ternyata sangat mudah untuk memperoleh kegembiraan, cukuplah............ tidak tamak, memiliki sedikit atau yang perlu saja.

Bagaimanakah sesuatu itu cukup untuk kita? Kebahagiaan, kesenangan, ketenangan, kegembiraan, kemewahan, keselesaan, kenikmatan, kejayaan, keseronokan dan segala perkara yang dilihat oleh manusia antara yang mahu dikecapi dalam kehidupan.

Cukuplah..... kesederhanaan, berilmu, beramal, berfikiran dan masih mampu berbuat kebaikan..

Cukuplah..... bagi anda pula bagaimana???

Monday, 2 November 2009

Dedaun itu


Kemarin aku kunjungi taman permaisuri yang terletak hanya beberapa meter dari rumah aku. Selalunya setiap kali musim berganti taman itu sering menjadi tumpuan untuk menyaksikan dan merakamkan panorama sekitarnya yang pelbagai gaya. Setiap musim itu mempamerkan keindahan yang berbeza-beza..

Kebiasaannya.. jika ada kelapangan aku suka untuk mengubah 'header' blog ini mengikut perubahan musim yang silih berganti.. Sekadar untuk menyemarakkan mood sendiri dan sebagai satu panduan bahawa musim itulah yang kami lalui.. Kadangkala juga gambar-gambar pemandangan sekitar bumi Scotland turut menjadi tatapan.. cuma kali ini kesempatan belum ada.. kerana aku tahu.. pemandangan musim gugur di sekitar bumi Scotland adalah amat menakjubkan ;)

Semasa sibuk berjalan di sekitar taman berkenaan.. Ingatan aku lantas singgah pada kenangan di zaman remaja di kampung. Teringatkan rumah yang ditinggalkan. Keliling rumah itu ada beberapa batang pokok rambutan dan setiap tahun pasti akan berbuah lebat. Seronok bila tiba musim buah.. aktiviti memanjat pokok (bukan aku ok), mengait buah menggunakan pemotong dahan.. mengutip buah rambutan yang gugur.. makan di bawah pokok.. apatah lagi bila rakan sekampung datang melepak di petang hari.. aktiviti begini sudah tentunya amat menyeronokkan.. tapi yang tak seronok adalah menyapu daun-daun yang gugur.. kalau tidak dibuat rasanya setiap pelusuk pokok rambutan itu pastinya penuh dengan daun-daun yang gugur.

Selalunya setiap petang ayah atau mak yang rajin menyapu daun-daun itu.. tapi kadangkala bila ada kesempatan dan bila aku mula bosan menelaah.. selalunya aku ambil kesempatan di petang hari untuk menyapu daun-daun rambutan di keliling rumah. Selalunya tidak dapat disiapkan 1 hari.. kadang 2 hari berturut-turut barulah daun-daun itu dapat dikumpulkan.. dan aktiviti yang paling menyeronokkan adalah aktiviti membakar daunan yang telah dikumpul. Ketika itu belum ada lagi larangan membakar sampah di tempat awam. Tapi rasanya kawasan kampung tidak termasuk dalam kawasan larangan kot.. hehehehe..

Seronok bila dikenangkan aktiviti petang hari di kampung.. itu belum lagi sesi menyiram pokok yang ditanam ayah di tepi tangga rumah.. Menutup tingkap dapur kayu setiap petang.. tingkap itu tidak boleh ditutup dari dalam.. perlu di tutup dengan menolak dari luar ke dalam. Kadang bila agak bosan terperap di rumah.. selalu juga aku dan rakan mula ronda-ronda di sekitar kampung atau kampung sebelah dengan menaiki motor.. Ini aktiviti wajib waktu petang.. kadang kami berhenti di rumah rakan di kampung sebelah untuk bertanya khabar.. kadang hanya sekadar meronda melihat-lihat kampung orang.. atau berbual-bual tentang kehidupan dan study sendiri..

Jika ada aktiviti belia di kampung, kami juga sering ikut serta dalam aktiviti-aktiviti yang dirancang oleh JKK kampung.. terutama yang melibatkan aktiviti belia.. seperti sukan.. majlis gotong royong.. keraian atau perkahwinan.. dan sebagainya.. Hanya selepas SPM setiap kami mula membawa diri keluar dari kampung.. ada yang bekerja di bandar-bandar besar seperti Klang, Shah Alam atau KL.. dan aku sendiri melanjutkan pelajaran ke universiti.

Sekali sekala bila pulang ke kampung dulu.. bila terlihat daun-daun rambutan yang berselerak di sekitar rumah.. Datang juga ingatan zaman remaja itu.. tapi kederat untuk menyapu daun seperti dulu dah berkurangan.. selalunya aku sering minta adik -adik aku untuk membantu mak atau ayah.. Kadang juga bila ada kesempatan.. bila mak mula sibuk menyapu sampah keliling rumah.. aku akan temankan mak membakar daun-daun kering sambil berbual kosong.

Itulah bezanya kehidupan bagi mereka yang tinggal di kampung aku rasa.. Aktiviti sebegini pada aku adalah perkara yang biasa buat mereka yang tinggal dalam persekitaran kampung berbanding mereka yang tinggal di bandar. Kadang bila melihat anak-anak zaman ini yang lebih suka melepak di rumah sambil bermain games atau mengadap komputer saban hari.. Amatlah jauh bezanya dengan zaman kecil yang telah kita lalui.. Sayang bila kenangan dan pengalaman sebegitu tidak pernah mereka lalui.. Namun kadang kita juga tidak ada pilihan.. dan persekitaran juga telah berubah..

Jika diberi pilihan.. Aku lebih suka tinggal di kampung berbanding di bandar yang serba serbi sesak dan sibuk. Sekurang-kurangnya petang hari.. banyak benda boleh dilakukan untuk mengisi masa lapang.. Terutama boleh bercucuk tanam apa sahaja di sekeliling rumah dengan mudah. Di samping menghirup udara pagi yang cukup nyaman sambil mendengar kicauan burung-burung yang cukup indah..

Tiba-tiba aku rindukan kampung halaman..

Friday, 30 October 2009

Di sebalik gugurnya dedaunan



Hati..
Ada apa pada rasa hati?
Adakah punya pelbagai rasa begitu begini?
Adakah menyimpan pelbagai citra tersendiri?
Adakah memendam pelbagai perasaan yang bercampur gaul sebati?
Adakah memiliki pelbagai rencah permainan duniawi?

Di sebalik gugurnya dedaunan
Mungkinkah ditemui jawapan
Kaki melangkah perlahan
Mata memandang ke hadapan
Terpesona menikmati alam ciptaan
Indah itu sentiasa kelihatan
Di sebalik rona roni warna jingga kekuningan

Aku tukar header sebagai tanda musim gugur kini sedang bermaharajalela dimana-mana..
Inilah yang aku rakamkan di taman permaisuri (Queens park) yang terletak tidak jauh dari rumah aku..


Tuesday, 27 October 2009

Nilai & Jasa


Semalam..

Putaran masa kenangan datang menjelma. Ada yang mahu dikenang dan ada yang mahu dilupa. Ada yang mampu membuatkan ketawa lucu terbit secara tak sengaja.. Ada jua yang mampu membuatkan hati membara dan terbit linangan airmata kecewa.. Namun walau cuba dilenyapkan semuanya.. sudah namanya kenangan dan ingatan pastinya ia kekal ada di kepala.. di fikiran letaknya.. Cuma bila kenangan itu tiba seketika.. Fikiran pula berkata-kata.. Untuk apa dikenang semuanya.. Untuk apa diingat yang duka lara.. Kenanglah yang gembira ceria.. Ingatlah yang indah sentiasa.. Tapi hati pula menjawab perlahan sahaja.. Ya itu benar dan nyata.. tapi yang duka kecewa walau selama mana cuba diabaikan sedetik cuma.. Kesannya hati ini yang merasa.. hati ini juga yang luka amatnya.. walau tidak ada setitik pun terbit merah darahnya.. Kesan luka itu masih kekal ada.. di situ.. berbekas kekal selamanya.. Adakah itu namanya dendam rasa? Adakah itu namanya pentingkan jiwa? Adakah itu kerana aku hanya seorang manusia biasa? Punya akal fikiran dan jiwa raga?

Hari ini..

Ya.. kini rasa-rasa itu aku biarkan berlalu pergi.. Seolah kini ia tidak lagi berbekas di hati ini.. Walaupun kadang ia datang singgah menyepi dan duduk di sebelah mohon menemani.. Aku hanya mampu memandang ia sepi dan pergi.. Cukuplah kata diri ini.. Aku sudah tidak mampu lagi menemani dan menanti.. Aku sudah tidak mampu jua berdiri dan berlari seiring selari.. Laluan kehidupan kini sudah berbeza langkah hari demi hari.. Tahun juga berganti.. dan terus berganti.. Cukuplah semua yang pernah dilalui.. Pasrah.. Redha.. itu sahaja yang ada di dalam rasa ini.. Tidak terdaya rasanya bahu menanggung bebanan itu dan ini.. Aku kini mahu terus berlari.. dan terus berlari.. dan kadangkala juga berhenti seketika menikmati indahnya alam yang ditinggalkan jauh di sana sini.. Merenung bezanya musim yang berganti.. Merakamkan keindahan yang tidak lama berdiri.. Mendengar keluhan yang merengus sedih sepi.. Memegang erat yang sentiasa setia mengabdi.. Memeluk rasa jiwa buat mereka yang sekadar bertanya khabar diri saban hari.. Senyum pada yang mengerti dan memahami..

Esok

Musim kini menghampiri kesejukan yang melampau beku.. Masih mampu ditahan rasa kebas sejuk walau tidak dibalut kemas sarung tangan yang benangnya kini bergumpal bulu.. Seluar tebal jeans biru kini juga tidak mampu lagi menghalang rasa dingin yang mengigit tulang temulang kaku.. Jaket tebal yang membaluti jua tidak mampu menahan angin lalu yang sejuk singgah di pipi lembut itu.. Batuk-batuk kecil mula berbunyi perlahan dan semakin kuat dengarnya di pagi yang sunyi kelabu.. Tekak mula terasa perit dek kering kerana bahang pemanas yang berfungsi ikut masa tertentu.. Semua itu kini bersatu mencipta satu semangat yang jitu. Kini aku mengerti akan semua itu.. Kenapa aku diminta menanti detik nan satu .. Rupanya ada sebab mengapa dipinta sebegitu..

Terjawablah segalanya.. Ku sangkakan panas hingga ke petang kekalnya.. tapi rupanya awal pagi lagi hujan telah turun dengan lebat sekali.. Dia tetap dia.. dan aku tetap aku.. Yang ada tidak akan berubah sifatnya.. Yang dimiliki tidak akan senang dibuang semata.. Yang terbentuk tidak akan mudah dibentuk semula sifatnya.. Aku akur akan kehendak alam dan sifat manusiawi.. Aku akur dengan erti mahu dan tidak.. Aku juga akur dengan makna sejati dan setia.. Aku juga akur dengan nilai budi manusia.. Aku juga mengerti budi baik tidak dapat dibalas semuanya.. Aku juga mengerti tidak semua yang pernah diberi baik.. akan dibalas baik jua.. Tapi aku akur andai yang terjadi sebaliknya.. Aku serahkan sahaja pada Dia untuk membalasnya... kerana balasan dari Dia.. Hanya Dia sahaja yang Maha Mengetahui.. Bila.. Dimana.. Bagaimana.. Mengapa.. Untuk apa.. Aku biarkan ketentuan hari esok itu di tangan Yang Maha Esa.. Cukuplah.. Aku biarkan Dia menjadi hakim untuk pengadilan nilai budi dan jasa. Aku percaya Dia Maha Adil dan Saksama..

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin