Friday 20 November 2009

Semai kasih sayang bersama kebijaksanaan


Di suatu petang yang teduh, seorang anak muda sedang berihat di bawah pohon, tidak jauh dari tebing sebatang sungai.

Saat sedang khusyuk berfikir sambil menutup matanya, tiba-tiba perhatiannya itu terganggu apabila terdengar percikan air yang sungguh kuat berkali-kali.

Perlahan-lahan, dia membuka matanya.

Pemuda itu segera mengalihkan pandangannya ke arah tepi sungai di mana bunyi percikan itu kedengaran kuat.

Pandangannya terhenti pada seekor ketam yang sedang berusaha keras mengerahkan seluruh kemampuannya untuk memegang tebing sungai agar tidak hanyut dibawa arus sungai yang deras.

Melihat kejadian itu, hati pemuda itu merasa amat kasihan.

Dengan segera dia bingkas berdiri dan berjalan dengan pantas ke arah tebing sungai itu dan segera mengulurkan tangannya ke arah sepit ketam itu dengan tujuan untuk membantunya.

Melihat tangan yang terjulur, dengan pantas si ketam menyepit jari si pemuda itu.

Meskipun jari pemuda itu terluka karena sepitan ketam yang amat kuat, dia merasakan satu kepuasan karena mampu menyelamatkan si ketam.

Kemudian, dia pun menyambung semula waktu rehatnya di bawah pokok yang sama.

Belum lama duduk berehat dan memejamkan mata, terdengar lagi bunyi percikan air yang sama dari arah tepi sungai.

Ternyata ketam tadi mengalami kejadian yang sama.

Maka, si pemuda kembali mengulurkan tangannya dan membiarkan jarinya disepit oleh ketam demi untuk membantunya.

Selesai membantu untuk kali kedua, ketam itu terseret arus lagi.

Pemuda itu menolongnya kembali sehingga jari tangannya makin membengkak karena terkena sepitan ketam.

Melihat kejadian itu, seorang tua datang menghampiri dan menegur si pemuda itu.
"Anak muda, perbuatanmu yang suka menolong adalah cermin hatimu yang baik. Tetapi, mengapa demi menolong seekor ketam engkau membiarkan sepit ketam itu melukaimu hingga bengkak seperti itu?"

"Pakcik, seekor ketam memang menggunakan sepitnya untuk memegang benda. Saya sedang melatih mengembangkan rasa belas kasih. Pada saya tidak ada salahnya jika jari tangan ini terluka asalkan dapat menolong nyawa makhluk lain, walaupun itu hanya seekor ketam" jawab si pemuda dengan kepuasan hati karena telah melatih sikap belas kasihnya dengan baik.

Mendengar jawapan si pemuda itu, orang tua itu terus memungut sebatang ranting.

Dia lantas menghulurkan ranting itu ke arah ketam yang sedang memaut tebing melawan arus sungai.

Dengan Segera, si ketam menangkap ranting itu dengan sepitnya.

"Lihat Anak Muda. Melatih mengembangkan sikap belas kasih memang baik, tetapi harus pula disertai dengan kebijaksanaan. Bila tujuan kita baik, yakni untuk menolong makhluk lain, bukanlah dengan cara mengorbankan diri sendiri. Ranting pun boleh kita manfaatkan, betul kan ?"

Seketika itu, si pemuda tersedar.

"Terima kasih, Pakcik. Hari ini saya belajar sesuatu. Mengembangkan cinta kasih harus disertai dengan kebijaksanaan. Di kemudian hari, saya akan selalu ingat kebijaksanaan yang Pakcik ajarkan."



Adakalanya, kita sering menghulurkan bantuan pada sesiapa sahaja baik keluarga, sanak saudara, rakan-rakan atau mereka yang tidak dikenali, namun tidak menyedari pengorbanan yang kita lakukan dalam proses untuk membantu mereka itu turut menyebabkan kita terluka dan makin menyulitkan keadaan.

Biarlah dalam membantu seseorang itu.. walaupun niat asalnya benar-benar ikhlas dan jujur.. pastinya cara bantuan itu seharusnya dilakukan dengan kebijaksanaan. Adakalanya bila membantu tidak seharusnya dibantu sepenuhnya hingga menyebabkan ruang untuk dia berdikari dan bertanggungjawab tidak ada langsung.

Kadang kerana kita merasakan terlalu kesian dengan melihat kesusahan dan kemiskinan seseorang itu.. kita bantu dengan cara memberikan dia sejumlah wang yang banyak dengan harapan itu sudah cukup untuk mengeluarkan dia dari kesulitan itu. Ya, mungkin semasa kali pertama atau kedua dia susah.. bila kita berikan bantuan itu, dia terima dengan kesyukuran tetapi tidakkah kita terfikir bila terlalu kerap bantuan yang sama diberikan, si penerima mungkin mengambil kesempatan dari kebaikan hati kita dan mula berfikir untuk terus meminta dan terus meminta. Bukankah lebih baik jika kita membantu dengan mencarikan dia pekerjaan yang tetap atau memberikan jalan serta sokongan yang dapat mengubah cara kehidupannya. Dengan itu, bukan sahaja dia mampu keluar dari kesusahan tetap juga dapat membina kehidupan yang lebih baik dengan berusaha menggunakan kemampuan dirinya dan tidak semata-mata bergantung pada pemberian dan belas kasihan orang.

Dalam mendidik anak-anak juga sama, sering kita dengar keluhan ibu bapa yang mengatakan telah banyak bantuan dan sokongan yang diberikan pada mereka terutama melibatkan wang ringgit, keperluan sekolah dan sebagainya, tetapi terdapat sebilangan anak-anak yang langsung tidak menghargai sedikitpun pengorbanan yang dilakukan. Ini kerana mereka merasakan apa juga kehendak mereka akan sentiasa dipenuhi oleh kedua ibubapa mereka. Lantas apa yang terjadi?? Mereka menjadi manja, malas, endah tak endah, tidak bermotivasi dan segala perkara yang mampu menjerumuskan mereka pada aktiviti yang tidak sihat. Masih ingat cerita arahan Tan Sri P Ramlee.. Anakku sazali?? pastinya ramai masih ingat iktibar yang boleh diperolehi dari filem itu kan..

Begitu jugalah dalam mendidik pelajar sama ada di sekolah atau di institusi pendidikan tinggi. Adakala bila pelajar terlalu sering diberikan dengan segala nota-nota dan bahan pembelajaran yang banyak. Masih ada pelajar yang mengambil kesempatan dari apa yang diberikan. Mereka merasakan tidak perlu untuk menelaah dan mencari ilmu tambahan kerana cukuplah dengan apa yang diberikan oleh pensyarah berkenaan. Pernah dengar istilah "spoon feeding?", kita bagi semuanya.. tapi hasilnya masih tidak seberapa. Bukankah lebih baik turut diselitkan dengan kaedah pengajaran yang juga bercorak kendiri.. berfikir secara kritis.. kreatif.. mengaplikasikan apa yang telah dipelajari dengan tugasan yang diluar persekitaran universiti atau sekolah?

Itu belum lagi bila pensyarah itu kelihatannya begitu ramah, baik hati, boleh dipujuk rayu.. Maka ada pelajar yang mengambil kesempatan dengan meminta markah kasihan hingga sanggup untuk berbuat apa sahaja, asalkan markah atau gred yang diperolehi lulus walaupun hakikatnya mereka itu selayaknya gagal atau diberhentikan pengajian.

Ohh kisah begini banyak sekali.. baik dari pengalaman aku sendiri yang telah mengajar selama 10 tahun.. dari mengajar di peringkat sijil dan diploma hinggalah ke peringkat sarjana.. Ada sahaja kerenah pelajar yang begini. Pujuk rayu itu sudah terlalu biasa.. teringat kisah sahabat aku dulu.. Ada pelajar merayu untuk lulus hingga sanggup untuk membersihkan dan mengemas bilik kawan aku itu semata-mata untuk tujuan itu. Ya, jika kita ini berniat baik dan kasihan pastinya penyelesaian segera dan mudah untuk itu adalah dengan memberikan markah lulus dan kita mendapat apa yang kita mahukan daripada pelajar itu. Tapi?? Adakah itu tindakan yang wajar??

Prinsip aku dari dulu.. Kita mengajar bukan untuk memberikan dia kesenangan dan keselesaan.. tapi mengajar kerana mahukan mereka terdidik dengan sifat yang baik serta berilmu bijaksana.. Seandainya dia tidak layak menerima sesuatu gred kerana kemampuannya yang tidak mencapai tahap sepatutnya, adakah kita harus memberikannya semata-mata kerana belas kasihan?? Pastinya jawapan untuk persoalan ini punya banyak perpekstif dan caranya.. terpulang pada kita untuk mencorak dan menyelesaikannya.

Aku masih ingat seorang pelajar pernah datang berjumpa dengan aku. Tujuan dia datang berjumpa denganku untuk meminta markah kasihan. Dia turut melahirkan rasa kesalnya kerana dia tidak berminat untuk menjadi seorang guru. Katanya dia mengikuti pengajian itu semata-mata kerana mahu mengikuti kehendak ibu bapanya sedangkan minatnya pada bidang yang berlainan menyebabkan banyak subjek yang dia ikuti sering mendapat gred gagal. Mungkin pada pelajar berkenaan, caranya menceritakan delimanya pada aku adalah dengan harapan dapat meraih markah kasihan berkenaan.. tetapi malangnya aku tidak berpandangan begitu sama sekali. Dalam memberikan dia nasihat.. aku hanya berikan 2 pilihan sahaja. Berhenti terus dari mengikuti pengajian itu atau teruskan juga pengajian dengan menukar pada bidang atau subjek yang dia minati. Aku tidak akan semudah itu untuk memberikan dia markah kasihan semata-mata kerana itu.

Aku tidak mahu nanti bila dia habis pengajian dan dihantar untuk menjadi seorang guru kursus berkenaan.. pengajaran dibuat dengan sambil lewa dan menyusahkan orang lain. Jika tidak minat mengajar adalah lebih baik berhenti daripada menyeksa hati dan perasaan sendiri dan kelak di masa depan menyeksa dan menyusahkan mereka di persekitaran.. Apatah lagi dia bakal menjadi seorang guru.. bayangkan nasib anak muridnya apabila mendapat guru sebegini?? Itu adalah antara isu yang aku perjelaskan pada pelajar berkenaan. Dia akhirnya akur untuk bertukar kursus pada bidang yang dia minati.. Aku tak nafikan.. kursus yang sedang diikutinya melibatkan banyak subjek-subjek yang memerlukan kemahiran matematik dan pengaturcaraan. Mungkin atas sebab itu dia merasakan ketakmampuannya dalam meneruskan pengajian itu. Aku sendiri tak pasti apa jadi dengan nasib pelajar berkenaan.. Yang pastinya mungkin dia telah pun menjadi seorang guru di salah sebuah sekolah di tanahair.. Harapanku.. biarlah dia terbina menjadi seorang guru yang baik.

Dengan adanya niat dan tindakan untuk berbuat baik, seharusnya dilakukan dengan cara yang tepat dan bijak. Supaya dengan bantuan yang diberikan tidak hanya terlihat positif bagi yang dibantu, tetapi turut membahagiakan dan memberikan kebaikan kepada kita yang membantu.

5 comments:

Kaktiny said...

aku belajar sesuatu dari kisah pemuda, ketam dan pak cik tua itu.. sangat2..
(pastinya ko pun kan kan kan... let 'it' be)..

dan.. betul.. buat apa paksa diri buat mende yg tak minat...
aku bersyukur kerana aku tak jadi PEGUAM walaupun dari kecil itu kononnya cita-cita aku.. aku tahu aku lebih senang dan 'tenang' di sini dan begini.. (at least.. setakat hari ni la kan kan kan...)

Cikgooden said...

salam cikgu:

dah lama tak ke sini..sekali datang..kesah pemuda dan ketam...sungguh... aku terfikir sejenak....


mmg kena batang idung kediri.....aku menolong org..tak kira sanak saudara atau seiapa, kekadang diri sendiri balik tension...ikhlas?..mmg ikhlas...tapi..terlintas jugak rasa tension...akhirnya, meranapkan keikhlasan yg mula tadi..timbul pulak tak ikhlas...

betul cakap cikgu..aku sokong sungguh2....menolong ada had..dan kebijaksanaan!..

tq ....kerana share...

iina said...

Tiny

Yup.. bila aku baca kisah itu aku pun tersedar gak.. actually dah lama tersimpan dalam kotak email aku kiriman seorang rakan ;).. kita berkasih sayang pun harus ada kebijaksaannya ;)

Cikgooden

;) Harap dapat jadikan ikhtibar dan ingatan buat diri sendiri kan.. kdg2 kita tak sedar.. setidak2 boleh buat muhasabah diri ;)

anjang said...

tak tau nak komen apa, amat menesankan jiwa

faqir said...

aku nk jadi cam ketam laah kak ehhehehe

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin