Friday 30 October 2009

Di sebalik gugurnya dedaunan



Hati..
Ada apa pada rasa hati?
Adakah punya pelbagai rasa begitu begini?
Adakah menyimpan pelbagai citra tersendiri?
Adakah memendam pelbagai perasaan yang bercampur gaul sebati?
Adakah memiliki pelbagai rencah permainan duniawi?

Di sebalik gugurnya dedaunan
Mungkinkah ditemui jawapan
Kaki melangkah perlahan
Mata memandang ke hadapan
Terpesona menikmati alam ciptaan
Indah itu sentiasa kelihatan
Di sebalik rona roni warna jingga kekuningan

Aku tukar header sebagai tanda musim gugur kini sedang bermaharajalela dimana-mana..
Inilah yang aku rakamkan di taman permaisuri (Queens park) yang terletak tidak jauh dari rumah aku..


Tuesday 27 October 2009

Nilai & Jasa


Semalam..

Putaran masa kenangan datang menjelma. Ada yang mahu dikenang dan ada yang mahu dilupa. Ada yang mampu membuatkan ketawa lucu terbit secara tak sengaja.. Ada jua yang mampu membuatkan hati membara dan terbit linangan airmata kecewa.. Namun walau cuba dilenyapkan semuanya.. sudah namanya kenangan dan ingatan pastinya ia kekal ada di kepala.. di fikiran letaknya.. Cuma bila kenangan itu tiba seketika.. Fikiran pula berkata-kata.. Untuk apa dikenang semuanya.. Untuk apa diingat yang duka lara.. Kenanglah yang gembira ceria.. Ingatlah yang indah sentiasa.. Tapi hati pula menjawab perlahan sahaja.. Ya itu benar dan nyata.. tapi yang duka kecewa walau selama mana cuba diabaikan sedetik cuma.. Kesannya hati ini yang merasa.. hati ini juga yang luka amatnya.. walau tidak ada setitik pun terbit merah darahnya.. Kesan luka itu masih kekal ada.. di situ.. berbekas kekal selamanya.. Adakah itu namanya dendam rasa? Adakah itu namanya pentingkan jiwa? Adakah itu kerana aku hanya seorang manusia biasa? Punya akal fikiran dan jiwa raga?

Hari ini..

Ya.. kini rasa-rasa itu aku biarkan berlalu pergi.. Seolah kini ia tidak lagi berbekas di hati ini.. Walaupun kadang ia datang singgah menyepi dan duduk di sebelah mohon menemani.. Aku hanya mampu memandang ia sepi dan pergi.. Cukuplah kata diri ini.. Aku sudah tidak mampu lagi menemani dan menanti.. Aku sudah tidak mampu jua berdiri dan berlari seiring selari.. Laluan kehidupan kini sudah berbeza langkah hari demi hari.. Tahun juga berganti.. dan terus berganti.. Cukuplah semua yang pernah dilalui.. Pasrah.. Redha.. itu sahaja yang ada di dalam rasa ini.. Tidak terdaya rasanya bahu menanggung bebanan itu dan ini.. Aku kini mahu terus berlari.. dan terus berlari.. dan kadangkala juga berhenti seketika menikmati indahnya alam yang ditinggalkan jauh di sana sini.. Merenung bezanya musim yang berganti.. Merakamkan keindahan yang tidak lama berdiri.. Mendengar keluhan yang merengus sedih sepi.. Memegang erat yang sentiasa setia mengabdi.. Memeluk rasa jiwa buat mereka yang sekadar bertanya khabar diri saban hari.. Senyum pada yang mengerti dan memahami..

Esok

Musim kini menghampiri kesejukan yang melampau beku.. Masih mampu ditahan rasa kebas sejuk walau tidak dibalut kemas sarung tangan yang benangnya kini bergumpal bulu.. Seluar tebal jeans biru kini juga tidak mampu lagi menghalang rasa dingin yang mengigit tulang temulang kaku.. Jaket tebal yang membaluti jua tidak mampu menahan angin lalu yang sejuk singgah di pipi lembut itu.. Batuk-batuk kecil mula berbunyi perlahan dan semakin kuat dengarnya di pagi yang sunyi kelabu.. Tekak mula terasa perit dek kering kerana bahang pemanas yang berfungsi ikut masa tertentu.. Semua itu kini bersatu mencipta satu semangat yang jitu. Kini aku mengerti akan semua itu.. Kenapa aku diminta menanti detik nan satu .. Rupanya ada sebab mengapa dipinta sebegitu..

Terjawablah segalanya.. Ku sangkakan panas hingga ke petang kekalnya.. tapi rupanya awal pagi lagi hujan telah turun dengan lebat sekali.. Dia tetap dia.. dan aku tetap aku.. Yang ada tidak akan berubah sifatnya.. Yang dimiliki tidak akan senang dibuang semata.. Yang terbentuk tidak akan mudah dibentuk semula sifatnya.. Aku akur akan kehendak alam dan sifat manusiawi.. Aku akur dengan erti mahu dan tidak.. Aku juga akur dengan makna sejati dan setia.. Aku juga akur dengan nilai budi manusia.. Aku juga mengerti budi baik tidak dapat dibalas semuanya.. Aku juga mengerti tidak semua yang pernah diberi baik.. akan dibalas baik jua.. Tapi aku akur andai yang terjadi sebaliknya.. Aku serahkan sahaja pada Dia untuk membalasnya... kerana balasan dari Dia.. Hanya Dia sahaja yang Maha Mengetahui.. Bila.. Dimana.. Bagaimana.. Mengapa.. Untuk apa.. Aku biarkan ketentuan hari esok itu di tangan Yang Maha Esa.. Cukuplah.. Aku biarkan Dia menjadi hakim untuk pengadilan nilai budi dan jasa. Aku percaya Dia Maha Adil dan Saksama..

Monday 26 October 2009

Waktu yang dilambatkan

Senja di Dataran George Square, Glasgow
(23 Oktober 2009-Jumaat yang sejuk malap)


Semalam.. waktu dilambatkan sejam.. Menandakan waktu musim panas British (BST) telah pun tamat. Setiap tahun kami di sini akan melambatkan jam semasa masuk musim sejuk dan akan mempercepatkan jam bila masuk ke musim panas. Kini perbezaan masa antara Malaysia dan UK menjadi 8 jam berbanding 7 jam sebelum ini. Terasa sedikit janggal pada mulanya kerana aku sedar akan perubahan itu ketika waktu menghampiri ke pukul 11 pagi.. sedangkan waktu itu baru pukul 10 pagi.

Yang membuatkan aku sedikit seronok kerana solat subuh kini lewat sejam dari kebiasaannya. Selalunya aku pasti terkejar-terkejar untuk solat subuh pada pukul 5.55 pagi sebelum berjalan kaki ke perhentian bas untuk menaiki bas pukul 6.03 setiap hari bekerja..

Kini warna senja juga sudah semakin awal menjelmanya.. lewat pukul 5petang sudah hampir gelap.. dan menghampiri ke pukul 8pagi pula baru nak terang benderang.. Terasa berbeza bila perubahan musim datang waktu begini.. Malam menjadi panjang.. Rutin solat pun berubah.. Belum lagi masa puncak musim sejuk yang beza Zohor dan Asar yang hanya 1 jam sahaja di antaranya.. Waktu ini... kami semua solat 2 waktu dalam masa yang berhampiran.. kerana perbezaan yang amat dekat waktunya..

Masa ini juga.. tabiat untuk makan dan makan lagi juga semakin bertambah.. dengan rasa sejuk yang semakin ketara.. Perut juga semakin berbunyi riang.. Rasa lapar juga mula singgah dengan lebih kerap.. Berat badan juga semakin bertambah naik.. Banyak yang perlu dikawal dan dijaga.. tapi setiap musim itu ada keunikannya.. Cuma agak terasa berat bila terpaksa mengharungi sejuk dan beku saban hari.. apatah buat aku dan rakan-rakan yang terpaksa keluar seawal 6 pagi..


Adakah salji akan turun awal musim sejuk ini??

Kita nantikan sahaja kepingan putih salju itu..

Tiba-tiba hati tak sabar untuk mengelongsor salji di puncak gunung yang memutih..

Secara rasminya.. Musim sejuk bakal tiba tak lama lagi..
Autumn kini sedang bermaharajela di mana-mana

Masih belum berkesempatan untuk mengambil gambar di Queens Park..
Harapnya esok lusa ruang masa itu akan diperolehi jua..


Wednesday 21 October 2009

Teh


Ketika menikmati air teh lady grey yang bercitarasa citrus. Ingatan sejenak terbang pada satu kenangan lewat masa kecil dulu. Kenangan berada dan berjalan di celah-celah pepohon teh yang rendang mengamit ingatan pada indahnya zaman anak-anak.

Mungkin ramai yang pernah melawat ladang teh yang terkenal di Cameron Highland. Tapi kenanganku buat pertama kalinya ke ladang teh bukanlah di Cameron Highland itu tapi di ladang teh milik syarikat Boh yang terletak lebih kurang 2km dari rumah mak di kampung. Ramai tidak tahu akan fakta ini. Walaupun dulunya pernah beberapa kali rancangan Majalah 3 terbitan TV3 pernah membuat dokumentari tentang penanaman teh di Malaysia dan cerita tentang ladang teh di bukit cheding itu turut dimuatkan bersama.

Ladang teh itu berjenis tanah rendah. Kedudukan bentuk muka bumi yang agak tinggi sedikit menyebabkan kawasan itu sesuai dijadikan kawasan penanaman teh yang aku sendiri tidak pasti sejak tahun bila.. Mungkin ada sejarah secara bertulis yang dicatatkan sejak bila ladang teh itu berada di situ. Rasanya sudah puluhan tahun ia ada di situ.. Siapakah yang memulakan? Semua itu mungkin ada jawapannya.. Mungkin penduduk asal.. dan warga penduduk berbangsa india yang menjadi penghuni estet di situ dan pemetik daun teh dapat memberikan jawapannya.. Adakah ia pernah dicatatkan secara bertulis?? atau mungkin juga aku yang tidak tahu..

Dulu semasa masih di bangku sekolah rendah kami sering ke situ sebenarnya.. melawat kawasan ladang teh itu.. dan berjalan di celah-celah pokok teh yang agak rendah dan rendang itu.. Sebenarnya tujuan kami ke kawasan itu untuk mandi di sebuah tasik yang cukup jernih airnya.. kawasan tasik itu berhampiran dengan lombong bijih timah.. ya selain daripada ladang teh.. di situ juga terdapat lombong bijih timah.. Semasa zaman sekolah rendah.. ramai rakan aku yang tinggal di kawasan perumahan untuk pekerja lombong bijih timah itu.. Malah penghentian terakhir bas yang masuk ke kampung aku itu juga berakhir di situ.

Itu kisah dulu.. Aku sendiri juga tidak pasti sama ada lombong itu masih diusahakan.. yang pasti ladang teh itu masih wujud seperti dulu tapi kini lebih dikemas kini.. berbanding dulu yang lebih terbuka dan deretan rumah-rumah estet kelihatan di kiri kanannya.. Itu belum lagi kawasan rumah-rumah kayu dan buluh bagi penduduk orang asli.. yang aku masih ingat terletak tidak jauh dari kawasan estet itu juga.. Kini.. semuanya telah berubah.. perumahan baru untuk penduduk orang asli juga telah dibuat oleh kerajaan beberapa tahun yang lalu.. Tidak ada lagi rumah kayu buluh seperti dulu..

Rasanya banyak kisah sejarah yang berlegar di sekitar kampung aku.. Yang aku sendiri pun tidak tahu akan bila mulanya.. bagaimana.. dan apa kesudahannya.. Jarang sekali diambil tahu sebenarnya.. Zaman remaja dulu aku sering juga bertanya-tanya pada orang tua di kampung.. apatah lagi arwah tok adalah peneroka awal kampung itu.. Sayang rasanya kerana kebanyakan kisah sejarah itu selalu disampaikan ke generasi seterusnya melalui lisan.. dan aku sendiri tidak pasti adakah kerajaan selangor sendiri ada mencatatkan setiap sudut kisah sejarah itu.

Aku jumpa info ini di laman web rasmi majlis daerah Kuala Langat

Ladang Teh Boh, Sri Cheeding telah dibuka pada tahun 1927 dengan keluasan 210 ekar dan dan dikendalikan oleh BOH Plantations serta terkenal dengan ladang teh tanah rendah.

Menariknya, teh di ladang ini ditanam di bawah pkok kelapa sawit secara berselang seli dan ia merupakan yang pertama di dunia.

Di ladang ini juga terdapat sebuah kilang yang beroperasi untuk memproses dan membungkus teh. Oleh itu, ladang ini mempunyai daya tarikan yang tersendiri terutamanya bagi mereka yang ingin melihat teh tanah rendah dan juga mengetahui cara teh diproses dan dibungkus.

Untuk maklumat lanjut:

Boh Plantation Sdn. Bhd.
Bukit Cheeding Packing Factory
Batu 6, Jln. Kg. Seri Cheeding
42700 Banting
Selangor
Tel : 03-31874704



Daerah Kuala Langat punyai banyak kisah sejarahnya sebenarnya.. Dari Sijangkang.. ke Jenjarum.. ke Sri Cheeding.. ke Sg Sedu.. Ke Sg Manggis.. ke Telok Dato.. Ke Pekan Banting.. Ke Bukit Jugra.. ke Kanchong Darat dan terus ke Morib.. Tg Sepat.. (banyak lagi nama kampung & tempat di sepanjang laluan itu)..

Mungkin ada.. Mungkin tidak.. Jika tidak ada.. pastinya ia menarik dijadikan kajian dan dicatatkan buat bacaan dan pengetahuan generasi akan datang..

Tuesday 20 October 2009

Lont.. I miss you



No more word can say..
How I really miss you..
Since the 1st day of Eid..
Finally..
Kau masuk juga ke dalam mulut & perutku..
Wahai lontong kesayanganku..
;)


Raya kali ini aku miss banyak benda..
Akibat demam teruk.. batuk.. asthma.. selera makan turut hilang bersama..
Dah abis syawal.. teringin kali ini bagai diminta-minta..
Kepala terbayang-bayang.. Mata terlihat-lihat
Dan mulut mula terkumat kamit..
Dengan gagah perkasanya.. Semalam operasi segala..
Nasi impit.. Kuah kacang.. rendang ayam dan masak lodeh..
Aku tak kira walau dah abis raya.. Makan tetap makan juga..
Jemput open house lagi??
Postpone raya tahun depan jelah ya ;)

Friday 16 October 2009

Untung nasib



Kadangkala dalam mengharungi kehidupan harian kita pernah juga terfikir tentang untung nasib diri.. kadang terlintas juga tentang untung nasib orang lain.. Paling tidak pun terfikirkan untung nasib mereka yang rapat dengan kita..

Mengharungi perjuangan ini semalam berlaku sedikit perbincangan tentang kerisauan yang jelas menjadi agenda utama dalam mengharungi perjuangan ini.. Risau apakah output yang akan kita dapat diakhir perjuangan ini.. Apakah untung nasibnya.. untungkah.. rugikah.. berjayakah.. gagalkah.. Semua itu sedikit sebanyak pernah dan sedang menjadi persoalan dan senantiasa berlegar-legar dalam ruangan fikiran..

Semalam kerisauan yang sedikit sebanyak bersarang di hati.. Disebut oleh rakan dengan istilah takut.. Takut akan semua yang telah diusahakan tidak cukup lagi usahanya.. Takut nanti yang dicari dikatakan perlu dicari lagi.. Takut nanti yang telah dibuat perlu dibuat lagi.. Takut nanti yang disiapkan belum tentu lagi boleh dikatakan siap.. Ahh.. semua rasa-rasa yang biasa buat kami.. dan pastinya persoalan demi persoalan tentang status masa depan itu.. Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui..

Mungkin juga kerana perjuangan ini mempunyai akibat yang perlu ditanggung di penghujungnya yang menyebabkan sedikit sebanyak kerisauan itu turut terus bersarang.. Pelbagai perkara menjadi fikiran satu demi satu.. Persoalan kehidupan juga turut perlu difikirkan dan dipersiapkan.. Andai itu.. dan andai ini terjadi.. Semua itu perlu siap sedia.. duit.. harta.. keperluan.. kemampuan.. keinginan.. kehendak.. tanggungjawab.. kepentingan.. semua perlu diambil kira.. Mana yang perlu diutamakan.. Mana yang tidak diketepikan buat sementara waktu..

Yang pasti.. Teruskan berusaha.. Teruskan perjuangan.. Jangan putus asa.. Harapan sentiasa ada.. lulus atau gagal.. kita serahkan pada yang kuasa.. Insyallah..

Thursday 15 October 2009

Indah itu tidak terucap..


Venice..



Switzerland

Serasa masih berada di sana..

Mimpi sekian lama..

Kini sudah menjadi nyata..

Tuesday 6 October 2009

Frankfurt, Luxembourg & Brussels

Di Frankfurt

Bandar Frankfurt

Di hadapan central station Frankfurt.
(Muka tak larat time nie.. Paksa diri tahan demam panas sejuk)



Luxembourg



Brussels

Shopping Belgian chocolate (Coklat tuh belum habis lagik..)

Dataran Grand Place

Aku sendiri pun tak tau camna gambar nie leh sesat.. Diorg kata tersesat masuk ke jalan 'Red light District Brussels'.. Tak jumpa Red light District kat Amsterdam.. Jumpa pulak kat Brussels.. ahaks.. rezeki korang ler malam tuh.. (Masa diorg buat operasi ronda-ronda nie.. aku sedang tidur tak lena di hotel)

Airport Brussels Charleroi Selamat Tinggal Brussels



Selamat Pulang ke bumi Glasgow.. Home Sweat Home..


Atas permintaan seorang rakan.. Aku hasilkan sebuah travelblog..
Satu Perjalanan..

Mulai esok.. Aku akan berhibernasi buat seketika..
Blog ini akan sepi buat sementara waktu ;)


Sunday 4 October 2009

Batuk tak best!!


Ada ke batuk yang best?? Ini aku muskil sikit.. kot-kot ada pula yang mengatakan batuk-batuk itu best.. mungkin cara batuk orang kaya itu yang paling best.. tapi kalau namanya batuk sakit.. rasanya leh buat kajian berapa yang nak kata best..

Batuk dan aku.. aku rasa buat masa nie.. dia mahu berdampingan dengan aku buat sementara waktu.. Nak tidur.. bangun tidur.. buat apa sahaja.. pastinya kokolan batuk itu sekali sekala akan kedengaran.. dan pastinya.. makin batuk.. makin bersemangat aku meneguk air sejuk.. ini dah memang tabiat aku.. sepanjang minggu ini dalam kepala aku hanya mahukan air sejuk 2 perisa sahaja.. susu coklat dan summer fruit (oasis atau robinson)..

Ini memang perangai aku sejak dulu.. bila sahaja badan kebah dari demam.. keinginan aku untuk minum susu coklat memang tidak boleh ditahan-tahan.. aku sudah terbiasa sejak zaman sekolah.. setiap kali sahaja demam aku baik.. pastinya dalam seminggu dua itu susu coklat mesti ada dalam simpanan peti ais.. tak dapat tidak mesti aku rasa untuk hilangkan rasa teringin yang amat sangat.. yelah mulut dan tekak masih pahit sebenarnya.. menelan banyak makanan yang pelbagai perisa membuatkan deria rasa aku masih kelat dan payau.. Cuma aku lebih kerap memakan sesuatu yang manis kerana hanya itu yang lebih mudah lalu dan diterima oleh tekak.. kurma madu.. coklat lindt.. mangga manis kering.. itu sahaja yang sering menjadi santapan tekak aku.. selebihnya barulah aku telan nasi goreng.. bihun goreng.. kadang telur goreng kicap & roti.. cukuplah buat isi perut aku sepanjang sehari itu.. jarang sangat aku mengulang makan.. sekali aku dah makan baik pagi atau tengahari.. cukuplah.. aku hanya akan mengulang memakan sesuatu yang manis seperti kurma atau coklat.. selebihnya aku akan minum lebih banyak air.. mungkin untuk menganti semula semua air dalam badan yang hilang sepanjang aku demam teruk 4 hari itu..

Sejenak juga kepala teringatkan kampung halaman.. saat baik dari demam begini pastinya aku sudah memandu pulang ke kampung.. minta mak bawa ke rumah wak untuk mengurut satu badan.. apatah lagi batuk-batuk yang aku alami ini.. sudah cukup membuatkan urat kepala.. bahu.. pinggang dan punggung semuanya tegang-tegang belaka.. badan yang menahan rasa batuk sudah cukup menyebabkan kepala aku beberapa hari ini seolah hilang imbangan badan.. berdiri lama terasa seolah tidak seimbang dan mahu tumbang.. kepala kadang rasa seolah tidak dapat berfikir dengan pantas seperti selalu.. andai ada sesuatu yang cuba menyerabutkan kepala aku.. terus aku tepis sebab aku malas mahu menambah beban di kepala ini.. Kalau mereka itu masih tak faham kondisi diri aku ini.. aku tak tahulah.. agaknya mahu rasa banyak bagaimana aku rasa untuk lebih memahami kot.. takpe.. kejap lagi sampailah rasa itu.. ;) best jek bila boleh transfer sakit camnie kan.. kot boleh lah.. kot-kot boleh..

Ya batuk adalah sesuatu yang cukup tak best.. Kalau best mesti semua orang suka batuk-batuk kan.. ;) Apa juga kena jaga kesihatan.. Masih ada perkara yang perlu aku selesaikan minggu hadapan.. Perlukan kekuatan mental dan fizikal.. Harapannya.. ia mampu aku lalui dengan kekuatan dan kesabaran..

Thursday 1 October 2009

Sebuah perjalanan: Belgium ke Netherland

Bermula di Brussels menuju ke Antwerpen

Singgah sebentar di Rotterdam


Dari Warder ke Volendam


Di Zaanse Schans

Di Amsterdams..

Senja di Volendam.. Dalam perjalanan balik ke hotel.. Malamnya... aku jatuh demam teruk


Antara gambar-gambar hasil tangan sendiri sebelum tumbang demam teruk malam hari kedua..
(Lepas rentetan gambar-gambar ini, gambar seterusnya dah tak best sangat.. pakwe maleh nak ambik.. tensen!!!)

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin