Friday 6 November 2009

Keluarga kita keluarga orang


Semalam aku menonton sebuah rancangan di BBC3. 'The world's strictest parents'. Sebenarnya rancangan ini telah memasuki siri kedua tahun ini. Siri pertama dimulakan pada tahun 2008 tapi baru 2 minggu ini aku mula mengikuti realiti TV ini secara dekat. Siri ini juga popular di US dan Australia.

Konsepnya mudah.. 2 remaja yang bermasalah dari United Kingdom yang terdiri daripada seorang lelaki dan perempuan akan dihantar ke luar negara untuk tinggal bersama sebuah keluarga angkat selama 8 hari. Mereka dikehendaki untuk mengikuti semua peraturan dan cara keluarga berkenaan mendidik anak-anak mereka. Sepanjang mereka tinggal bersama keluarga berkenaan, kedua-dua remaja ini akan menerima sepucuk surat daripada keluarga mereka di UK. Surat ini mengandungi luahan rasa mak atau ayah kedua remaja ini terhadap mereka selama ini. Selalunya bila remaja-remaja ini membaca surat berkenaan, sedikit sebanyak meninggalkan kesan pada perasaan mereka.

Rancangan realiti TV ini amat menarik untuk ditonton kerana secara tidak langsung ia turut membuka minda dan hati tentang cara dan corak didikan yang dipamerkan oleh keluarga-keluarga berkenaan. Perkara pokok yang paling utama yang sering dijadikan fokus adalah disiplin dan untuk membentuk disiplin perlu ada peraturan.. Kemudian perkara kedua yang diketengahkan adalah pendidikan.. Tanpa pendidikan seseorang itu tidak mampu untuk pergi jauh... tidak mampu untuk membina masa depan yang cemerlang atau mengapai impian serta cita-cita yang diingini.

Secara keseluruhannya, aku melihat cari didikan yang dipamerkan baik dimana sahaja.. Botswana, Utah US dan India. Semuanya menekankan 2 perkara yang aku sebutkan tadi.. Displin dan pendidikan, tanpa kedua perkara ini seseorang individu itu akan menjadi seorang yang memberontak.. tiada hala tuju.. malas.. tidak ada pendirian dan terus menjerumuskan diri dalam perkara-perkara yang lebih buruk seperti dadah, arak, seks dan lain-lain.

Menonton rancangan ini juga membuatkan aku teringatkan cara didikan masyarakat Malaysia. Teringat juga cara ayah mendidik aku dan adik-adik tentang kepentingan pelajaran dan disiplin. Ayah seorang ayah yang tegas.. sesuai dengan karektornya sebagai seorang guru sekolah dan merangkap guru besar. Sikapnya amat mengambil berat hal-hal yang berkaitan dengan pelajaran, termasuklah juga didikan agama. Tidak ketinggalan juga disiplin dan peraturan yang perlu kami ikuti. Tugasan kerja-kerja rumah yang perlu dibuat setiap hari..

Seawal umur aku 11 tahun lagi ayah sudah mula menyuruh mak mengajar aku ke dapur untuk membantu mak memasak dan menguruskan keperluan dapur. Aku mula belajar masak nasi pada umur 11 tahun.. Bila menginjak masuk ke tingkatan 1 & 2 aku mula tinggal di asrama sekolah dan di tingkatan 3 aku kembali tinggal bersama dengan keluarga. Semasa aku di tingkatan 3 inilah aku mula belajar memasak dengan mak. Bila menginjak masuk ke tingkatan 5 aku sudah mula diberikan kepercayaan oleh mak untuk menyediakan hidangan makan tengahari untuk keluarga selalunya pada hujung minggu kerana hari biasa aku sibuk dengan urusan sekolah dan kelas-kelas tusyen.

Yang paling utama kerana sikap ayah yang mengajar aku berdikari dalam banyak perkara. Banyak juga tanggungjawab yang perlu aku pikul semasa aku di bangku sekolah lagi. Pernah beberapa kali juga ayah pernah menyuruh aku melakukan sesuatu perkara buat pertama kalinya, mulanya aku sendiri pun agak was-was sama ada mampu melakukannya atau tidak. Tapi selalunya aku lakukan juga kerana sudah mendapat kepercayaan penuh dari ayah. Mungkin dari situ juga menyebabkan aku punya sifat sukakan cabaran, tapi cabaran yang bersesuaian dengan sifat dan kemampuan aku. Insiden begitulah banyak membentuk ciri-ciri berdikari yang amat tinggi pada aku.

Aku setuju setiap anak-anak seharusnya diberikan tugasan yang melibatkan kerja-kerja pembersihan di rumah. Ada giliran untuk setiap perkara bagi setiap anak. Bak kata salah seorang daripada anak keluarga angkat di Utah bila ditanyakan soalan "Mengapa seseorang anak itu perlu buat kerja rumah?" Jawapannya mudah "1. untuk memastikan rumah sentiasa bersih. 2. Dapat membiasakan diri dengan kerja-kerja berkenaan bila mereka meningkat dewasa nanti". Ada kebenaran akan perkara ini, kita lihat sahaja diri kita sendiri semasa kecil.. dek kerna kita sudah biasa melakukan kerja-kerja rumah dulu, bila meningkat dewasa, sedikit sebanyak kerja-kerja itu adalah sesuatu yang biasa untuk kita lakukan seperti membasuh baju, membersihkan rumah, mengemas, berkebun dan sebagainya. Ini menjadikan diri kita tidak kekok untuk bercampur dengan masyarakat bila ada urusan kenduri kendara, gotong royong dan lain-lain aktiviti kemasyarakatan.

Sejenak juga ingatan terbang pada beberapa keluarga angkat aku semasa mengikut program keluarga angkat anak-anak selangor semasa di UKM dulu. Aku ada 3 keluarga angkat di 3 daerah yang berbeza, satu di Sijangkang (merupakan seorang ADUN pada ketika itu), satu di Kuala Selangor dan satu di Ijok. Setiap keluarga angkat itu ada kenangan masing-masing.. Rasanya sudah agak lama juga terputus hubungan dengan mereka.. Namun kenangan bersama mereka masih kekal dalam ingatan aku.

Ya keluarga kita dan keluarga orang takkan sama.. tapi nilai-nilai yang utama dan penting itu.. tidak jauh berbeza.. walau dimana pelusuk dunia sekali pun.. walau miskin kaya pun status mereka.. Pastinya untuk menjadi individu yang berjaya dan cemerlang.. Pendidikan dan agama adalah formula utama dalam kehidupan seseorang itu.

7 comments:

Anonymous said...

salam ina,
saya kembali dgn blog baru...

aNIe said...

iina...bagus jugak rancangan tu ye...macam menarik...

Rasanya dalam sesebuah masyarakat itu patut juga diterapkan rasa hormat menghormati lebih2 lagi pada mereka yang lebih tua terutama ibubapa...kerana akak tengok budaya barat anak2 sudah tidak pandai menghormati ibu bapa mereka...

Lady of Leisure said...

dulu masa sekolah i tak penah duduk hostel..duduk umah n semua mom buatkan.. bila dah kawin ni, memula susah jugak bila keje2 rumah kene buat sdiri..
like what u said, ada baiknya kalau didik anak dari awal, so when it comes to the real situation takde lah terkial2 mcm i hihi..

anjang said...

tanpa didikan anak-anak tidak akan ada ilmu, apabila tiada ilmu maka mereka juga tiada hala tuju. Disiplin adalah pelengkap kepada pendidikan. Namun Disiplin perlu berteraskan nilai keagamaan. insyaalah akan melahirkan insan yang kami.

Mesti best rancangan tu kan

Kaktiny said...

ye ye.. itu semua memang penting..
yang lagi penting.. aku sayang keluarga aku dan lebih penting keluarga aku sayang aku.. hihihi

DUN Behrang 2020 said...

Rasanya program realiti cam gini lebih berfaedah drp program realiti nyanyian yg berlambak2 tu....

iina said...

fa10

Nanti saya singgah ;)

Kak Anie,

memang menarik lupa pula saya nak letakkan link.. nnti saya update. Betul tuh isu hormat pun perkara pokok juga.. ;)

Lady

Walaupun camtu.. dimana ada kemahuan di situ ada jalan.. kalau kita tak tahu pun xsalah kita belajar dan perbaiki kekurangan yang ada tuh kan ;)

Anjang

memang menarik sebab sedikit sebanyak benda2 yg ditegaskan itu sama jek walau dimana pun didikan itu diberikan di seluruh dunia ;) nnati saya cuba up kan link berkenaan

Tiny

Air dicincang takkan putus.. darah daging manakan dapat berpisah.. :)

Dun

setuju sememangnya lebih memberi manafaat dan membuka minda ;)

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin