Saturday 21 June 2008

Perisian P&P : Masih model tradisional

Sedang mencari bahan di Internet aku terjumpa dengan artikel ini.. terkenang sejenak rentetan sebuah artikel yang pernah diterbitkan di surat khabar tutor pada tahun 2004. Ketika itu kami 4 sahabat baik (kak ramlah, aku, mashi dan sikin) telah membentangkan tajuk ini di Persidangan antarabangsa UPSI-UPI

"Perisian P&P : Masih model tradisional"

Pernah juga menjadi kontroversi seketika.. rasanya aku masih simpan sisipan cetakan akhbar itu tetapi yang pasti di rumah di Malaysia.. namun sekurang-kurangnya.. capaian melalui internet masih ada..

Perisian P&P : Masih model tradisional
17/08/2004 12:05 p.m.

Oleh MARZITA ABDULLAH

Perisian pembelajaran yang dibangunkan untuk sekolah masih terikat dengan konsep model pengajaran dan pembelajaran (P&P) tradisional tanpa unsur-unsur kecerdikan.

Ini bertentangan dengan perkembangan pesat bidang kecerdasan buatan (AI) walaupun tidak digunakan secara meluas dalam bidang pendidikan.

Menurut pensyarah Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Ramlah Mallok, keupayaan AI tidak boleh dinafikan malah ia mampu menjadi alat bantu mengajar yang lebih berkesan.

``Memasukkan unsur kecerdikan dalam pembangunan sesuatu perisian sebenarnya dapat membantu pelajar mempelajari sesuatu dengan lebih mudah, cepat dan berkesan,'' katanya.

Ia juga menyediakan persekitaran yang lebih memberangsangkan iaitu sistem itu bertindak seperti seorang guru yang bukan sahaja mengajar malah memberi galakan, tunjuk ajar dan perhatian kepada pelajar.

Di samping itu, ia turut menambah keyakinan pelajar kerana mereka tahu tahap keintelektualan mereka yang sebenar semasa mempelajari pelajaran baru.

``Penggunaan perisian bestari juga membolehkan pelajar berdikari kerana ia secara tidak langsung memotivasikan pelajar sewaktu melayari kandungan perisian itu,'' katanya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja bertajuk Penggunaan Bidang Kecerdasan Buatan Dalam Koswer Pembelajaran di Malaysia: Satu Tinjauan.

Kertas kerja bersama rakan setugasnya Mashitoh Hashim, Norasikin Fabil dan Haslina Hassan dibentangkan pada Persidangan Antarabangsa Pertama UPSI-Universitas Pendidikan Indonesia (UPI) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam pada itu beliau berkata, sistem kecerdasan tutoran (ITS) merupakan aplikasi pertama yang diperkenalkan dalam dunia pendidikan yang mempunyai elemen AI.

Kelebihan ITS pula lebih menyerlah kerana ia mampu mengambil kira aspek pengetahuan pelajar, meningkatkan motivasi dan pencapaian pelajar dan seharusnya mendapat sambutan dalam kalangan pembangun-pembangun perisian.

Ramlah berkata, walaupun telah lama diperkenalkan, penghasilan ITS adalah kurang menggalakkan .

Ini dapat dilihat melalui penghasilan penggunaan komputer berbantukan arahan (CAI) yang masih banyak di pasaran terutama sejak galakan dan perubahan corak pendidikan ke arah pembelajaran bestari.

``Isu ini harus diteliti dengan sedalam-dalamnya supaya proses P&P di negara ini dapat berjalan seiring dengan arus pemodenan masa kini,'' katanya.

Namun beliau menegaskan, kewujudan perisian bestari bukan bertujuan untuk menggantikan guru tetapi ia lebih sesuai digunakan sebagai salah satu bahan bantu mengajar berteknologi moden untuk meningkatkan keberkesanan P&P.


Apa juga melihatkan artikel ini membuatkan aku jadi rindu dengan rakan-rakan lama.. dulu kami sering berbincang bersama untuk memperkaya ilmu pengetahuan dan sentiasa mencari bidang kajian baru dalam membantu sistem pendidikan di sekolah.. meneroka bidang dan ilmu baru. mengkaji ilmu dan teknologi terkini.. Insyallah.. apabila kita semua pulang dengan impian ijazah Phd.. penerokaan dan pencarian ilmu akan diteruskan lagi.. Insyallah..

No comments:

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin