Monday, 29 November 2010

Aku dan dia

Aku dan dia
Semoga cinta senantiasa
Kekal bersemi di hati

Taman Permaisuri
Glasgow


Saturday, 27 November 2010

Salji Pertama Winter Sonata 2010

Salji pertama di musim sejuk 2010
Queens Park, Glasgow
-27 Nov 2010-

(Tengahari Sabtu)

Sejak pukul 11 malam tadi..
Kepingan salji turun dengan lebatnya..
Hari ini..
Seluruh bumi Glasgow..
Diselimuti salju putih bersih..

Thursday, 25 November 2010

Kalau dah teringat..

Stesen bas di pekan Banting waktu itu sibuk seperti biasa. Aku memandang jam di tangan kiri. Hampir pukul 5.30petang. Mata mula melilau mencari bas untuk pulang ke kampung. Masih belum nampak bayangnya. Perut sudah mula lapar. Sejak tengahari lagi perut hanya diisi dengan pisang goreng sebelum ke pusat tusyen di Institut Harapan. Selesai kelas tusyen tadi, aku mula bergegas menunggu bas untuk pulang ke rumah.

Ramai sungguh orang di stesen bas, kelihatan ramai pelajar-pelajar sekolah yang menunggu bas bersama aku. Sebahagiannya adalah rakan-rakan sekelas tadi. Ada juga beberapa orang dari sekolah yang berhampiran. Stesen bas itu sudah tidak asing padaku.. Sudah 2 tahun aku menjadi pengunjung setia tiapkali pulang dari sekolah. Seawal pukul 6.30 pagi aku dah keluar rumah ke sekolah di Klang. Selesai waktu sekolah, kadangkala aku terus mengambil bas ke Banting untuk kelas tusyen di sana pula. Hanya bila pukul 6 petang barulah aku sampai ke rumah semula. Laluan Klang-Banting itu sudah tidak asing lagi pada aku.

Dari jauh aku melihat kelibat seorang jejaka. Tersenyum aku memandang dia. Seperti biasa gayanya tidak banyak berubah. Berambut panjang berkerinting hingga ke pinggang. Berjaket kulit, berbaju t shirt gelap dan berseluar jean agak ketat. Kasut hitam kulitnya kelihatan sedikit berkilat. Dia tak nampak aku, tapi aku teruja nak menegurnya.

Aku bingkas bangun menuju ke arahnya. Mulanya dia tak perasan kehadiranku. Aku tersenyum mendekatinya.

Aku beri salam, "Assalamualaikum bang"

Dia menoleh dengan sedikit terkejut. Dia pandang muka aku. Terbit senyuman di wajahnya.

"Waalaikumsalam.. oh adik.. dari mana nie"

"Baru lepas kelas tusyen.. Tgh tunggu bas nak balik. Abang nak kemana nie?"

"Oh.. abang nak ke KL. Ada hal"

Aku senyum memandang dia. Tak lama datang seorang perempuan muda. Dia kenalkan pada aku sebagai adik bongsunya. Kami saling bersalaman. Agak seksi juga gayanya dengan seluar ketat warna hitam dan skrit jeans biru muda dan berjaket dari kain yang sama. Beberapa orang rakan yang aku kenali memandang aku dengan pandangan yang menjengkelkan. Ada yang menoleh beberapa kali.

Selepas berbual sebentar. Mereka berdua akhirnya menaiki bas express ke Kuala Lumpur. Aku berlalu pula ke tempat duduk yang lain untuk menunggu bas untuk pulang ke kampung. Tidak lama seorang rakan yang sama kelas tusyenku menegurku.

"Siapa lelaki yang berambut panjang tuh??"

"Oh.. dia abang angkat aku.. Satu kampung. Kenapa??"

"Emm.. gaya macam tuh jadi abang angkat ko?? Emmm.. rambut panjang camtu.. eee" Dia berkata sambil mencebikkan bibirnya.

Aku terdiam. Malas aku nak bertekak dan berdebat soal penampilan dengan dia. Siapa pun dia nak menilai orang. Tapi aku pasti pandangan begitu adalah biasa pada sesiapa sahaja. Sekilas pandang pasti sesiapa sahaja akan memandang dengan pandangan yang serong. Terpulang. Aku tidak mahu menilai orang dengan hanya satu pandangan sahaja.

Sejak hari itu, aku belajar tentang satu perkara. Tidak semua yang kita lihat itu sahih dan ternyata begitu juga kebenarannya. Kadangkala yang kita lihat jelek.. tidak semestinya jelek kesemuanya.. Tidak semua yang indah kita pandang.. itu indah juga semuanya..


Sekali lagik.. aku malas nak sambung cite nie.. hehehehe ;)
Publish juga sebab dah taip beberapa hari yang lepas..

Monday, 22 November 2010

Walau secanggih manapun juadahnya..

Sabtu..

Rumah terbuka Aidiladha..

Dari 10pagi hingga 10malam..

Tetamu datang tak berhenti.. Alhamdullilah...

Makanan semuanya secukupnya.. Seronok..

Dari Soto.. Nasi kerabu.. Karipap.. Pecal.. Kek Pisang.. Kek Batik..

Ke menu petang

Mee udang.. Popia goreng.. Rojak Buah..

Akhirnya.. Menu terakhir.. Pada pukul 8lebih malam..

Ikan masin.. Telur dadar.. Cili kicap..

Ini juga yang paling best...

Terima kasih pada semua rakan yang hadir...

Kenangan ini akan sentiasa bersemadi dalam ingatan..

Friday, 19 November 2010

Bila ada 2 chef handalan..

Masuk dapur..

Ambik 2 periuk besar.. isi air agak-agak penuh...

Ambik ketupat segera.. masukkan dalam periuk.. bahagikan sama rata..

Agak-agak nanti bila kembang takdelah padat sangat periuknya..

Tiba-tiba...

"Eh.. abang nak buat inti karipap nie"

"Alah.. org nak rebus ketupat nie.. buat malam karang ler.."

"Mana de masa dah.."

Aku pandang periuk besar yang dijerang.. tutup 1 periuk..

Pindah ketupat segera tuh dalam periuk nasi letrik..

Rela dalam paksa... huhuhu..

Inilah jadinya bila ada 2 chef handalan di rumah.. nak guna dapur pun berebut..

Terpaksalah mengalah.. nanti derhaka lak hehehehe...

Kepala masih duk fikir benda-benda yang nak kena masak malam nie...

Esok openhouse.. Jemputlah datang ye... ;)

Pakwe tengah masak inti karipapnya..
Aku jeling-jeling jelah..
Bila dia nak siap nie..
Aku nak masak pulak.. huhuhu..

Monday, 15 November 2010

Salam Aidiladha

Ketupat ayaman tangan mak..
Malam Raya Aidilfitri 2010


Walau dimana anda berada..
Walau jarak ribuan batu memisahkan kita..
Walau kemana juga kita berkelana..
Walau berapa lama jua waktu yang membezakan kita..

Salam Aidiladha buat semua..
Semoga hari-hari mendatang kan terus ceria..
Kemaafan dihulur dengan seikhlas rasa..
Semoga kita sentiasa dalam Rahmat-Nya..


Rendang daging dah siap masak..
Permintaan pakwe tercinta..
Bila masak rendang nie..
Teringat kawan baik aku di ChristChurch NZ..
Dia cukup suka rendang nie..

Aidiladha di Glasgow di sambut pada hari esok : Selasa
Buat rakan di tanahair.. Salam Aidiladha..
Aku beraya dulu ye..


Friday, 12 November 2010

Aku teringat.. sebab dia teringatkah?

Kata kawan aku.. "kalau kita duk teringat sesuatu.. maknanya memang sesuatu itu duk teringat kita.. termasuklah kalau teringat sup tulang ke.. kari ayam ke.. cekodok pisang ke.. cucur udang ke.. silalah intai-intai ke dapur sendiri.. kalau tak malu ke dapur orang ye" Tapi kalau teringat seseorang macam kes aku nie... Maka hanya cerita sahaja yang mampu aku tulis ;)


Kring... kringg.. kringg.. telefon berbunyi menghampiri ke pukul 7.00 petang. Pelik!!! Siapa pulak yang menelefon hampir waktu maghrib nie. Aku lantas bingkas bangun mengangkat gagang telefon.

"Hello" suaraku kedengarannya sedikit serius (perasan nieh).

"Boleh cakap dengan adik Lina" kedengaran suara garau seorang lelaki.

Aku lantas tersenyum. Aku tahu empunya suara itu. Aku jawab sambil gelak-gelak..
"Adiklah nie.. Nape bang"

"Adik free tak malam nie.. ada ke mana-mana ke?"

Aku mula sedikit pelik "Takde kemana-mana.. nape nak ajak adik dating ke?"

Dia pula yang gelak "Ahah nak ajak dating pergi rumah awek"

"Hah?? Awek?? Wah.. dediam jek abang ada awek ye" kataku sedikit pelik..

"Orang kampung sebelah.. Abang segan nak pergi sorang.. Nak beraya umah dia.. Adik temankan abang boleh?"

Aku tersenyum sambil gelak-gelak "Wah.. ini bakal kakak ipar nie.. Ok jek. Pukul berapa nak ambik adik nie?"

"Abang datang pukul 8.00 malam, adik siap-siaplah. Nanti bagitau mak" kata dia lagi.

"Ok. Nanti adik tunggu depan rumah" kataku masih dalam nada gelak-gelak.

"Assalamualaikum.. Jgn lupa tau" dia berkata mengingatkan aku.

"Waalaikumsalam.. Ok.. jgn risau ler" kataku mengakhiri perbualan.

Aku lantas memberitahu mak yang aku nak pergi beraya ke kampung sebelah dengan dia. Mak sudah sedia maklum dengan hubungan baik kami.

Aku masih punya banyak tanda tanya tentang kakak yang akan aku jumpa nanti. Selama ini tak pernah sekali pun dia menceritakan padaku tentang kakak itu. Nak kata serius, tak pernah sekalipun dia sebut nama kakak tuh depan aku. Walhal dulu sering aku usik dia berkali-kali. Bertanyakan bila agaknya aku nak merasa nasi minyak dia. Selalu juga dia mengelak menjawab soalan aku itu. Rasa pelik semakin bersarang dalam kepala aku.

Tepat pukul 8.00malam, dia sampai ke rumah. Aku beritahu mak yang aku akan pulang sebelum pukul 10.00malam. Masuk dalam perut kereta, aku tenung wajah dia sambil senyum-senyum. Dia awal lagi dah sengih-sengih pandang aku. Banyak soalan dalam kepala aku. 'Camna kenal?? Dah lama kenal ke? Kenapa tiba-tiba nak pergi rumah dia? Lawa ke orangnya? Berapa umurnya?' Semua itu duk bermain-main dalam kepala aku. Tak tahu yang mana satu akan ditanyakan dulu.

Aku tengok dia cam tak senang duduk jek. Seketika ada riak gelisah di wajahnya. Aku turut mengajak seorang lagi adik angkat aku yang tinggal di lorong berhampiran. Setelah mengambil 'Ain' di rumahnya. Kami bertiga bergerak menuju ke kampung sebelah. Rumah papan beranda tinggi itu menjadi tempat tujuan kami. Sepanjang perjalanan, bertalu-talu soalan aku lontarkan. Semuanya dijawab serba ringkas oleh dia. Aku masih tidak puas hati seolah ada sesuatu yang dirahsiakan dari aku. Gerak hati aku mengatakan ada sesuatu yang dia tak mahu ceritakan. Takpelah lambat laun nanti pasti aku tahu juga. Aku dah faham sangat dengan perangai abang aku sorang nie.

Kami akhirnya sampai ke rumah itu. Kedatangan kami disambut mesra oleh kakak itu. Kecil molek orangnya. Manis juga orangnya. Sepanjang kami di rumah itu. Aku lihat senyuman di wajah kakak itu tak pernah padam. Seolah kedatangan kami ini cukup mengembirakannya. Cuma yang aku sedikit pelik adalah riaksi wajahnya. Dia kelihatan agak serius dan gelisah sahaja. Aku tak pasti apa yang ada dalam fikirannya. Tapi aku pasti ada cerita di sebalik semua itu. Nantilah akan aku tanya kemudian. Mungkin bukan malam ini, tapi akan aku tanyakan bila ada peluang bersembang nanti.

Aku dan Ain dikenalkan sebagai adik. Aku lihat Ain cukup rajin melayan kakak itu bersembang, malah cukup rajin juga melayan sembang dengan mak kakak itu. Kebetulan mak kakak itu ada kena-mengena sedara pulak. Aku lebih banyak menjadi pemerhati. Aku pandang wajah kakak itu dan pada masa yang sama aku juga pandang bahasa tubuh dia. Seolah ada sesuatu sahaja di situ. Tapi seperti aku katakan tadi. Riak wajahnya sedikit berbeza daripada selalu yang aku pernah lihat. Semakin banyaklah tanda tanya wujud dalam diri aku.

Kami beraya tak lama. Aku rasa lebih kurang sejam kot. Tak lama kami meminta diri untuk pulang ke rumah. Setelah menghantar Ain pulang. Dalam perjalanan ke rumahku, dia pandang wajah aku, lalu berkata..

"Dik.. rasa camna ngan kakak tuh?"

"Ok jek adik tengok.. lawa orangnya.. Asyik senyum jek tengok abang dari tadi"

Dia terdiam. Seolah ada sesuatu yang difikirkan dalam-dalam.

"Adik suka tak?"

"Lah tanya adik lak.. Abang tuh.. yang kena tanya diri sendiri.. suka ke tak?? Kalau adik ok jek.. tapi pada abang tak ok.. tak ok gak kan.. Abang kenalah kenal betul-betul.. Jangan takat tangkap muat jek"

"Emm.. memanglah.. sebab itu abang bawak adik sama nie.. sebab abang nak adik tengok dan nilaikan untuk abang"

"Susahlah sikit sebab adik baru jumpa dia sekali. Kalau dari gambaran pertama.. so far so good.. tapi adik masih tak kenal dia.. dan abang pun tak pernah beritahu adik pasal dia. Kenapa tiba-tiba jek malam nie abang nak jumpa dia??"

Dia terdiam lagi.. Soalanku tidak dijawab. Aku tahu ada sesuatu yang dia tak mahu ceritakan padaku.

"Takpelah dik.. nanti lainkali abang cerita pada adik ok.. Dah lewat nie.. Abang hantar adik balik dulu ya"

Dia hantar aku ke rumah. Setelah mengucapkan terima kasih dan menunggunya berlalu pergi dari pandanganku. Kepala aku masih lagi penuh dengan pelbagai persoalan.

Itulah kali pertama aku berjumpa dengan Kak Ija.. Selepas pertemuan di rumahnya itu, aku kembali sibuk dengan urusan pengajian matrikulasi tahun 1 di KL. Kesempatan untuk berjumpa dengan 'Abang Din' agak jarang kerana bila tiba cuti semester, masa aku lebih banyak dihabiskan dengan keluarga. Hanya sekali sekala sahaja aku sempat menjengah dia di kampung, itu pun tak dapat lama..

Memang benarlah.. Ada kisah yang dia sembunyikan dari aku selepas malam itu.. tapi akhirnya aku tahu juga setelah diceritakan oleh kakak sulung Abang Din pada satu malam. Panjang lebar dia menceritakan semuanya. Setiap kali teringatkan kisah itu, aku pasti sedih. Hingga kini pun bila teringat aku masih menyimpan rasa sedih itu. Aku tahu hatinya cukup tulus dan ikhlas.. dan biarlah aku simpan rahsia itu sampai bila-bila...

Kita hanya mampu merancang.. tapi Allah jua yang menentukan.. Kenangan malam itu aku takkan lupa sampai bila-bila.. kerana pertemuan pada malam itu.. menjadi titik tolak pada satu keputusan penting dalam hidupnya.. Sebagai seorang adik.. aku sentiasa mendoakan yang terbaik.. ;)

Ya aku teringat lagi..  
Oh ya kakak itu rupanya rakan sekelas sepupu rapatku yang bersekolah di kampung sebelah..
Aku tahu ini bila mereka berjumpa di hari perkahwinanku..
Kalau aku tahu.. Mesti dah lama aku risik-risik perangai kakak tuh dari sepupu aku.. hehehe



Aku sambung kisah teringat aku ini memandangkan ramai yang frust aku tak sambung cerita dulu tuh..
Kali nie rajin sikit ye.. ;)

Wednesday, 10 November 2010

Teringat.. maknanya??

Kata orang "Bila kita asyik teringat seseorang itu.. Maknanya orang itu tengah ingatkan kamu". Betul ke?? Boleh percaya ke 'statement' tuh??

"Dik.. Sekarang pukul berapa?" Suara seorang jejaka berambut panjang dan berseluar kulit ketat menegur aku. Dia lantas duduk di kerusi bersebelahan.

Aku pandang wajahnya. Mukaku mula berkerut, lantas aku memandang jam di tangan dan dengan perlahan aku bersuara "Pukul 6.00 petang". Aku pandang semula muka jejaka itu. Dia sedikit tersenyum. Bas bergegar seketika. Badan ikut bergoyang mengikut rentak bas.

Dia melihat aku dengan seribu pertanyaan. Ada rasa hairan di wajahnya. Aku pandang ke hadapan. Kelihatan konduktor bas sedang duduk berbual dengan pemandu bas. Aku mula rasa serba-salah, lalu terdengar jejaka itu bersuara lagi.

"Adik nie anak siapa?"

Aku pandang wajah jejaka itu. Sedikit terkejut. Hati mula berkira-kira untuk menjawab soalan itu. Tapi aku tahu jejaka itu pastinya tinggal sekampung dengan aku. Bas yang kami naiki destinasinya hanya satu. Sesiapa yang naik bas ini pastinya orang kampung aku juga.

Aku kerutkan muka aku. Bibir mula sedikit tersenyum. Aku pandang wajahnya semula dan menjawab dengan perlahan "Saya anak cikgu H..".

Muka jejaka itu pula berkerut. Dia seolah sedang berfikir jauh mungkin mencari-cari atau mengenalpasti nama yang aku sebutkan. Aku tak pasti sama ada dia kenal atau tidak ayah aku, tapi wajahnya seolah masih sedikit keliru dengan jawapan aku.

Dia bertanya lagi "Adik duduk jalan mana?".

Aku tersenyum. Sahlah dia mungkin tak kenal ayah aku. Aku jawab lagi "Jalan rajawali".

Dia berkerut lagi. Kali ini mungkin cuba memikirkan siapa agaknya aku ini. Aku tersenyum lagi. Agak gelihati hati sebenarnya, lalu aku pun berkata "Saya cucu tok Ibot"

Aku lihat ada senyum terukir di wajah jejaka itu. Seolah jawapan yang aku berikan tadi menjawab soalannya. Dengan manisnya dia tersenyum.

"Oh.. Tok Ibot ya.. Abang selalu ke rumah dia dulu"

Aku agak terkejut. Atas urusan apa dia selalu ke rumah atok aku tuh ye. Tapi hasrat untuk bertanya lagi aku matikan.

Dia sambung lagi kata-katanya "Abang kadang minta dia urut atau kadang datang bersembang dengan dia" kata dia sambil tersenyum lagi.

Di situlah perkenalan kami bermula dan seluruh keluarganya menjadi keluarga angkat aku.. Nama aku cukup sinonim dengan panggilan 'Adik'. Mak dan ayahnya sudah aku anggap seperti mak dan ayahku sendiri.

Kisah ini rentetan kenangan awal tahun 90an..
Ketika aku masih di bangku sekolah menengah lagi..
Kini arwah tok pun dah lama meninggal dunia..

Dulu aku kenali jejaka itu zaman rock kapak..
Berambut panjang kerinting hingga ke pinggang..
Berjaket  dan berseluar kulit ketat..
Masa tuh memang agak terkejut juga bila kenal dia..
Tapi aku tidak mudah menghukum orang dengan hanya penampilan diri..
Memandangkan dia kenal rapat dengan arwah tok aku..
Maka aku beranggapan dia mesti orang yang baik-baik..
Tapi benarlah.. dia memang orang yang baik..
Walaupun penampilan cukup brutal..

Jejaka itu pun dah lama berkahwin dan anak-anaknya pastinya sudah belasan tahun..
Oh ya dia berubah penampilan bila berkahwin dengan orang kampung sebelah..
Yang juga aku kenal dan anggap seperti kakakku sendiri..
Malah majlis penikahan dia turut aku hadiri ketika itu..
Lebih 10 tahun aku tidak pernah berjumpa dengannya lagi..
Walaupun kami sekampung..

Dulu mak pernah berkali-kali menyampaikan kiriman salam mak jejaka (mak angkat aku) itu.. Jika mak singgah ke gerainya (dia berniaga di kantin sekolah kampungku) pastinya juadah yang dibeli mak dilebihkan.. Selalu juga mak pesan padaku untuk singgah ke rumahnya.. cuma dek kesibukan masa dan urusan lain, aku sudah tidak ke sana lagi..

Tiba-tiba aku teringat jejaka itu..
Satu-satunya abang angkat yang pernah wujud dalam usia belasan tahunku..
Yang aku kenal seluruh keluarganya..
dan melayan aku seperti anak dan adik mereka sendiri..
Semoga dia dan seisi keluarganya sihat-sihat sahaja..

dan tiba-tiba aku jadi malas nak sambung cerita nie..
Sorry ekk!! ..  ;)


Monday, 8 November 2010

Laluan ke Istana..



-Royal Mile, Edinburgh-
30 October 2010

Laluan berbatu berbukit menuju ke Istana Edinburgh..
Jalan ini adalah jalan asal ratusan tahun dulu..
Bayangkan kereta berkuda dan pejalan kaki melewati jalan ini ketika hendak ke istana itu..


Di pintu masuk Edinburgh Castle..
Bersama Abg Zali sekeluarga (Abah Najwa)
Tiny.. Sila jeles ok ;)


Aku dah masuk ke sini 3 kali..
2 percuma dan sekali berbayar..

Thursday, 4 November 2010

Malam ini aku mahu berbicara

Malam ini aku mahu berbicara..
Setelah sekian lama..
Kita teralpa..
Dek tugasan hidup dan kerja..
Tuntutan tanggungjawab saban masa..

Malam ini aku mahu berbicara..
Menatap wajahmu yang bercahaya..
Mendengar suaramu yang merdu mempesona..
Menikmati indahnya gelak ketawa..
Merenung kumismu yang kemas sentiasa..
Mengenggam jemarimu yang kasar rasanya..
Menghayati denyutan jantungmu satu demi satu bunyinya..

Malam ini aku mahu berbicara..
Tapi siang tadi telah aku berkata..
Karpet yang berdebu di vakum-sedut jangan lupa..
Tong sampah yang penuh masih begitu gayanya?..
Lauk pauk malam ini apa agaknya?..
Sudahkah dibayar bulanan duit sewa?..
Meter elektrik itu masih ada bakinya?..

Malam ini aku mahu berbicara..
Ku takuti nanti aku jadi lupa..
Mahu berbicara aku terlena pula..
Takut nanti aku berkata dalam mimpi semata..
Jangan nanti igauan adanya..
Dengkuran pastinya takkan tercipta..

Malam ini aku mahu berbicara..
Biar masa mengubati rasa..
Biar diam menenangkan jiwa..
Biar senyuman mengungkapkan segalanya..
Biar sepi menjawab maksud kata..
Biar mulut terus membebel-bebel diam-diam sahaja..

Wahai kekanda.. Ingatlah pesanan dinda sebelum turun bas tadi..

Kalau cenggini ler gaya bebelan aku.. aku rasa dia mesti tak terbuat pesanan aku tuh..
Sorry ler.. Mula-mula rasa nak jiwang terus tak jadi..
Terbebel ler pulak ;)


Tuesday, 2 November 2010

Gugurnya dedaunan..


Gugurnya dedaunan..
Tanda tibanya musim tona warna warni..
Di sana sini langkah berbunyi..
Gema bunyi seretan daunan di jalanan itu..
Gemersik bunyi di pijak manusia pintas lalu..
Mata melihat teralpa seketika..
Mulut tersenyum melihat indahnya alam dunia..
Fikiran melayang mengenang masa yang ditinggalkan..
Hati lantas sayu teringat indahnya kenangan..
Mungkin ini terakhir kali..
Laluan begini dilewati..
Musim kan terus berganti..
Hati pantas akan merindui..
Nikmatilah agar kekal bertapak di hati nurani..


Glasgow Green..
Di tengah kota Glasgow..
-Pertengahan Oktober 2010-

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin