Thursday, 31 December 2009

Awal yang bermula..


Hari ini hari terakhir tahun 2009. Kini tahun 2010 bakal menjelang dalam masa beberapa jam lagi.. Buat mereka di tanahair waktu ini aku percaya sudah mula masuk ke tahun 2010 dengan beza 8 jam terdahulu dari kami di sini.

Menulis entri ini aku teringat tarikh hari ini.. 31 Disember.. Setiap tahun pastinya ada yang menyambut hari ini dengan agenda istimewa.. Mungkin juga waktu ini masih ramai insan manusia di dataran merdeka atau dimana sahaja untuk menyambut datangnya tahun baru.. Walau dimana jua kita berada.. Semoga ia memberikan kekuatan seterusnya untuk kita hadapi nanti..

Sekejap sungguh masa berlalu.. Kini 3 tahun aku berkelana di bumi asing ini.. Laluan hidup masih panjang InsyAllah.. Kini tahun hadapan adalah tahun perjuangan seterusnya.. Harapan masih tebal untuk digapai.. Masih lagi kekal dengan impian dan azam yang sama seperti 3 tahun yang lalu.. Cuma kini mimpi lewat di tanahair sudah semakin menjadi igauan rindu yang tidak tertahan.. Cuma hati sahaja masih gagah meneruskan dengan menahan segala rasa yang terbelenggu di jiwa..


Buat Sahabat baik 'Tiny'
Selamat Hari Lahir buatmu.. Moga semua impian menjadi kenyataan..

31 Disember sentiasa dalam ingatan aku..
Ada pertemuan pada tarikh ini.. Kini sudah 5 tahun sejak pertemuan itu..

Selamat tahun baru 2010..
Yang penghujung kini bakal berakhir..
Yang awal kini bakal bermula..
Semoga ia memberikan sinar kekuatan dan kebahgiaan buat kita semua..

Monday, 28 December 2009

Paras rupa atau budi bahasa?


Beberapa hari ini aku ditanya dengan persoalan ini?? Tentang realiti kehidupan masa kini yang lebih mementingkan paras rupa dan kemewahan dunia.. atau mungkin dilihat juga pada budi bahasa dan sikap peribadi.. Yang mana lebih penting antara keduanya??..

Dari mata turun ke hati.. itu kata pujangga cinta.. cinta bermula dari mata.. lantas keindahannya dirasai meresapi ke hati.. Tapi benarkah begitu hakikatnya?? Ya kita melihat menggunakan deria penglihatan 'mata' yang dianugerahkan oleh Allah S.w.t tetapi selain dari deria mata yang kita ada.. kita juga melihat dengan mata hati.. dan di sinilah kadangkala kita mampu melihat lebih jauh seseorang itu.. yang tidak hanya terlihat secara fizikal.. tapi jua menerobosi jiwa dan peribadinya jua..

Pada aku tidak ada yang lebih penting dari 'kejujuran dan keikhlasan'. Paras rupa itu satu anugerah.. tapi tanpa kecantikan peribadi ia tidak membawa makna sama sekali.. biarlah ia cacat sekali pun.. Apa maknanya jika ia tidak mampu membuatkan aku selesa.. gembira.. tenang dan bahagia.. Apa ertinya punya banyak duit berjuta.. kemewahan dunia yang nyata.. kacak.. lawa dan bergaya tapi jauh di sudut hati.. peribadi yang terlihat amat keji.. ahh.. rasanya semua orang begitu pada pandangan aku.. tapi kadang ada juga yang mengaburi mata peribadi.. untuk semata terus gembira dengan deria mata paras rupa.. yang indah terlihat lebih nyata dari yang indah tersembunyi..

Aku kira setiap yang serba kekurangan dari segi fizikal mungkin mengandaikan dan menganggap semua manusia akan begitu.. memandang diri mereka dengan kecacatan yang ada.. menghina atau paling tidak bersimpati dengan apa yang mereka miliki.. Tapi sayang kadangkala mereka juga terlupa.. tidak semua manusia begitu.. tidak semua mereka yang bergelar sahabat begitu hina pemikirannya.. tidak semuanya melihat dengan hanya mata paras rupa.. adakalanya.. mereka juga melihat dengan mata hati.. melihat jauh ke dalam sifat peribadi.. Ya mungkin mereka tidak tahu.. dan mungkin juga mereka tidak mahu ambil tahu..

Bagaimana aku?? Rasanya aku tidak mahu menegaskan pendirian aku.. Aku tidak mahu memberikan satu janji.. Aku juga tidak mahu mengucapkan sesuatu hanya semata untuk menyedapkan hati.. Aku juga tidak mahu memujuk dengan berkata.. "Ya aku terima apa sahaja tentang dirimu."

Keikhlasan dan kejujuran itu kadangkala tidak perlu diucapkan.. kadang tidak perlu diperlihatkan.. tidak perlu ditonjolkan.. nilailah sendiri dari perbuatan dan tindakan.. kerana dari situ kita tahu yang mana benar dan yang mana palsu..

Antara paras rupa dan budi bahasa... Aku sentiasa ingat pesanan bonda.. "Tidak ada yang lebih penting dalam dunia ini.. Hanya sifat manusia yang mencerminkan peribadi.. walau semiskin dan sehina mana pun manusia itu.. Siapalah kita untuk menghina ciptaan Tuhan Yang Maha Kaya"

Semua kita punya kekurangan diri.. Ada yang terlihat secara fizikal.. Ada yang terlihat secara peribadi.. Ada juga yang terlihat tanpa disedari.. Ada juga terlihat dek sesuatu yang tidak dapat kita miliki.. Apa beza kita semua ini.. Setiap kita ada kelebihan dan kekurangan diri..

Saturday, 26 December 2009

Tik Tok


Tok.. Tok.. Tok..
Dia ketuk pintu hati
Tok.. Tok.. Tok..
Pintu hati terbuka sendiri
Tok.. Tok.. Tok..
Dia jengahkan mukanya sambil bersembunyi
Tok.. Tok.. Tok..
Dia pandang dengan mata yang sepi
Tok.. Tok.. Tok..
Dia merayu minta simpati
Tok.. Tok.. Tok..
Aku memandang dengan seribu rasa hati

Tik.. Tik.. Tik..
Kedengaran detik hati berbunyi sendu
Tik.. Tik.. Tik..
Ku pejam rapat kelopak mataku
Tik.. Tik.. Tik..
Fikiran melayang sepintas lalu
Tik.. Tik.. Tik..
Hati berkata aku rindu
Tik.. Tik.. Tik..
Airmata jatuh berlenangan pilu
Tik.. Tik.. Tik..
Layar fikiran menayang kisah dulu
Tik.. Tik.. Tik..
Cepatnya masa berlalu
Tik.. Tik.. Tik..
Ingin aku lalui detik itu
Tik.. Tik.. Tik..
Ya aku amat rindu.. terlalu..

Tik Tok.. Tik Tok..
Kedengaran bunyi masa
Tik Tok.. Tik Tok..
Perginya tanpa berhenti sesaat cuma
Tik Tok.. Tik Tok..
Hati hanya mampu merasa
Tik Tok.. Tik Tok..
Fikiran pula mampu teringat detiknya
Tik Tok.. Tik Tok..
Jiwa berkata perasaan menghiba
Tik Tok.. Tik Tok..
Rindu sayang dan cinta
Tik Tok.. Tik Tok..
Terlalu istimewa buatnya
Tik Tok.. Tik Tok..
Sahabat,teman, rakan dan kenalan yang ada
Tik Tok.. Tik Tok..
Menjadi anugerah terindah sentiasa
Tik Tok.. Tik Tok..
Hati lalu berkata

Tik Tok.. Tik Tok..
Aku rindu kalian semua
Aku rindu.. aku rindu
Aku sayang.. aku sayang
Aku cinta.. aku cinta
Dulu.. kini dan buat selamanya..

Tinggal beberapa hari sahaja menjelangnya tahun 2010..
Kini aku sudah di sini hampir 3 tahun lamanya..
Dulu datang dengan harapan..
Kini masih lagi menaruh harapan yang sama..
Dulu aku pegang tanah ini dengan janji setia..
Kini masih aku pegang tanah yang sama dengan janji yang sama..
Di sini juga aku temui pelbagai cerita..
Pelbagai kisah.. pelbagai ragam.. pelbagai rasa..
Kejujuran.. keikhlasan.. tipu muslihat.. fitnah dusta..
Itu adalah lumrah hidup sebagai manusia..
Aku terima dengan senyuman..
Kadangkala diterima dengan terbit airmata kecewa..
Tapi itukan namanya cabaran dan dugaan..
Di sinilah terbinanya kekuatan jiwa..
Di sini jua kecekalan hati dibawa..
Untuk aku.. dia.. mereka dan kita semua..

Wednesday, 23 December 2009

Bila sejuk bersalji bermula...

Dataran George Square yang dipenuhi salji
Selasa(22 Disember 2009)


Sebenarnya semenjak khamis minggu lepas lagi bumi Glasgow sudah mula dihujani kepingan salji.. tapi hujung minggu lepas kepingan salji yang turun lebih lebat dan kali ini mampu kekal lama hinggalah ke hari ini..

Semalam kepingan salji turun dengan lebatnya lagi.. kali ini hampir semua permukaan alam dipenuhi salji memutih.. lewat petang hinggalah membawa ke malam hari, kepingan salji itu masih turun perlahan-lahan..

Seronok!!! Sudah tentunya bila melihatkan kepingan salji yang turun dengan lebatnya.. dan putihnya alam bila kepingan itu saling bertindihan antara satu sama lain..

TAPI!!! yang tak seronok.. mengharungi kesejukan yang kini sudah melebihi takat beku.. jalan yang licin dengan ais yang keras.. kasut boot yang aku pakai sudah beberapa kali hampir membuatkan aku terlentang di jalan (tidak ada pilihan kasut lain sebab kasut itu yang tahan lasak menahan sejuk) dan entah berapa kali juga aku tergelincir.. Sakit kaki usah dikatalah sebab terpaksa menahan hentakan kaki yang lebih perlahan supaya setiap langkah yang dihayun lebih kemas dan berjaga-jaga..

Semalam adalah hari yang sungguh meletihkan.. Keluar dari CIS pada pukul 4.00 petang. Selepas singgah membeli sedikit makanan di Tesco.. Aku berjalan kaki menuju ke perhentian bas.. Jalanan kaki lima di sepanjang Argle Street mula basah dengan ais yang mencair dan ribuan tapak kaki manusia.. Di situ juga aku entah berapakali tergelincir.. rasa nak buka kasut pun ada masa tuh.. Berjalan dengan rasa nak tergelincir sepanjang masa adalah sungguh menakutkan.. bahu kanan menyandang beg sekolah.. tangan kiri pula memegang barangan yang baru dibeli.. Nasib juga aku tidak memegang payung di tangan kanan memandangkan waktu itu salji turun dengan amat lebatnya.. Risaukan andai aku tidak dapat mengimbangkan badan..

Menunggu bas sungguh menyeksakan.. Bas no 66 yang aku tunggu tiba selepas 20 minit menunggu tidak berhenti langsung di hentian bas itu. Bas itu sendat dan amat penuh dengan penumpang. Hampir kebanyakan bas tertangguh perjalanannya dek salji yang turun petang semalam.. Perkhidmatan keretapi juga tergendala hingga ramai pengguna terpaksa menggunakan perkhidmatan bas untuk pulang ke rumah.. Aku menunggu bas hampir sejam semalam.. badan dah mula mengigil menahan kesejukan.. kaki juga dah mula kebas beku..

Hampir setiap hentian bas penuh dengan manusia.. Bayangkan bila hampir sebahagian pengguna yang selama ini menggunakan keretapi turut sama menggunakan bas.. Sudah tentu bilangan pengguna bas bertambah.. hentian bas pun sudah sendat dan padat dengan manusia hingga beberapa meter daripada hentian bas itu sudah mula berderet dengan manusia.. Nak menjengah melihat no bas yang lalu pun susah.. kepala terpaksa ditinggikan.. itupun tak nampak-nampak juga..

Akhirnya setelah hampir sejam menunggu aku ambil keputusan untuk ke hentian bas yang lain untuk mengambil bas no 44.. Rezeki aku.. kerana sampai sahaja ke hentian bas tersebut.. terdapat 3 buah bas no 44.. manusia yang berebut nak naik pun amatlah ramai.. ketiga-tiga bas itu padat dan sendat dengan manusia.. Syukur aku berjaya juga mendapat tempat duduk di bahagian belakang bas.. berhimpit-himpit dengan orang lain di kiri dan kanan.. Jadilah.. setelah berdiri di bawah hujan salji selama 1 jam.. dapat duduk selesa sedikit pun dah kira baik..

Perjalanan yang selalunya mengambil hanya 10-15minit ke hentian bas berhampiran rumah semalam mengambil masa hampir 45 minit.. Jam jem teruk kerana banyak jalan yang terpaksa ditutup dan kebetulan juga waktu balik kerja.. Kaki juga dah mula kebas kerana terpaksa menahan himpitan orang di kanan dan hadapan.. Serik sekejap rasanya bila tergolong antara manusia yang terpaksa bersesakan semalam..

Harapnya hari ini.. kejadian semalam tidak terjadi lagi.. Apatah lagi petang ini aku bakal balik lewat lagi.. Salji memang indah.. tapi kesan dan akibatnya pada masa panjang amatlah menyeksakan...

Oh ya.. Hingga kini.. Sakit kaki aku masih terasa lagi..

Esok aku mula bercuti X'mas hingga awal tahun 2010..
Universiti tutup hampir 2 minggu.. ;)

Sunday, 20 December 2009

Salji Penghujung 2009

Salji turun lagi minggu ini..

Di penghujung bulan Disember 2009..

Indah dan mempersonakan..





Aku tukar photo header lagi..

Salji kini ada dimana-mana ;)

Rakaman gambar pada hari Ahad..
Pukul 10.45 pagi (20 December 2009)
Taman Permaisuri, Glasgow


Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin