Thursday, 21 May 2009

Yang buruk itu kadangkala ada indahnya..


"Assalamualaikum" kedengaran salam diberikan.

"Waalaikumsalam" Jawabnya dengan perlahan lalu menoleh memandang ke arah suara yang memberikan salam itu. Suasana yang hingar bingar di stesen bas itu cukup menyesakkan dan cuaca yang panas juga membuatkannya sedikit gelisah.

Kelihatannya kelibat seorang jejaka yang berambut panjang hingga ke pinggang duduk di sebelahnya. Rambutnya berkerinting dan diikat kemas. Matanya bercelak. Berjaket kulit hitam dan berseluar hitam yang agak ketat. Kasutnya berkulit gelap berkilat. Dia sedikit terkejut dengan gaya jejaka itu.

"Mamat rockers mana pulak nie??" katanya dalam hati.

"Adik sorang je ke?" tanya jejaka itu..

Dia memandang wajah jejaka itu semula.. Teragak-agak untuk menjawab soalan itu.. Rupa parasnya seolah pernah dilihat sebelum ini tapi dia tidak begitu pasti di mana..

"Ahah soranglah" jawabnya dengan sedikit kasar.

"Adik nak balik mana?" tanya jejaka itu lagi..

"Balik rumahlah.." katanya lagi.

"Yelah rumah kat mana?" kata jejaka itu sambil ketawa kecil.

Dia sedikit tersenyum lantas memberitahu nama kampungnya.

Jawapan itu membuatkan jejaka itu sedikit terkejut dan memandangnya dengan renungan yang tajam. "Eh.. adik nie anak siapa?"

"Lah kenapa pulak?" dia memandang jejaka itu sambil mengerutkan dahinya.

"Yelah.. kita satu kampung rupanya" kata jejaka itu sambil tergelak..

"Patutlah macam pernah nampak jek" dia pun tergelak sama..

Perbualan antara mereka saling berlanjutan tentang diri masing-masing.. dan akhirnya diketahui siapakah orang tua mereka. Dimana mereka tinggal dan nama jalan ke rumah mereka.

Pertemuan itu sentiasa segar dalam ingatannya.. Gaya si jejaka yang rockers dan nampak kasar itu sentiasa diingatinya.. Setelah pertemuan pertama itu.. sering juga dia terserempak dengan jejaka itu.. Abang Din namanya.. Gayanya tidak jauh berbeza.. berseluar ketat dan berjaket kulit atau kadangkala kemeja.. Rambutnya tetap panjang kerinting begitu.. Jika dilihat dari jauh pastinya tidak ada sesiapa yang mahu menegurnya.. tapi padanya, dia tidak pernah rasa janggal menegur dan berbual mesra dengannya.

Suatu petang di stesen bas yang sama, dia bertemu Abang Din buat sekian kalinya. Ketika itu dia sedang duduk bersama rakan-rakannya. Sedang enak berbual mesra dengan mereka.. Kelibat abang Din tiba-tiba muncul di khalayak ramai dan tanpa ragu-ragu dia terus menegurnya dengan ramah. Rakan-rakannya mula menjeling benci memandang abang Din.. Perbualan itu hanya berlanjutan seketika sahaja kerana Abang Din seolah tidak selesa sama sekali dan dengan segera dia meminta diri.

Bila sahaja abang Din itu beredar dari situ.. bertalu-talulah soalan demi soalan singgah kepadanya.. Pelbagai soalan ditanyakan.. Mengapa berkawan dengan orang begitu.. tengoklah gayanya.. rambut panjang.. seluar ketat.. Terkejut sungguh dia dengan teguran mereka.. Namun setiap soalan itu dijawab dengan setenangnya.. "Jangan memandang orang dengan sifat luaran sahaja, kadangkala kita tidak tahu sifat diri yang sebenarnya"

Setiap hujah dan soalan-soalan itu sebenarnya mengundang pelbagai rasa untuk difikirkan. Secara umumnya manusia sememangnya akan mudah menjatuhkan satu tanggapan hanya berdasarkan pada penampilan secara fizikal. Apabila seseorang itu berpakaian kemas, segak, bersih dan bergaya. Dia dianggap sebagai seorang yang mempunyai pekerjaan yang tetap, baik tingkah lakunya, ada harta, ada masa depan dan pelbagai lagi anggapan yang baik. Manakala bila seseorang itu sebaliknya.. kotor, jijik, selekeh, busuk, memakai pakaian yang tidak berjenama, berselipar jepun dan sebagainya, begitu mudah juga tanggapan diberikan pada mereka juga. Malah ada pepatah berkata 'Don't judge book by it cover'. Mengapa ada ungkapan ini? kerana kadangkala yang terlihat indah dan molek itu tidak sentiasa indah di dalamnya.. tidak indah budi bahasanya dan tidak indah sopan santunnya jua.

Mengenali abang Din membuatkan dia sedikit kagum dengannya.. Sepanjang dia mengenalinya.. sering sahaja dia melontarkan beberapa potongan hadis berkaitan kehidupan. Siapa sangka seorang yang kelihatan begitu ganas dan brutal gayanya itu adalah seorang yang punya pengetahuan agama yang tidak kurangnya. Walaupun tidak berserban, berjanggut panjang dan berjubah labuh tetapi sedikit sebanyak hujah-hujah serta kata nasihatnya berkesan di hati. Setiap pertemuan pasti ada sahaja pesanan dan ingatan yang ditinggalkan untuknya. Lembut tutur katanya.. belum pernah lagi dia mendengarnya meninggikan suara.

Apatah lagi pada penghujung tahun 80an adalah tahun kegemilangan kumpulan-kumpulan rock ketika itu. Siapa yang tidak kenal kumpulan XPDC, BPR, febians, Damasutra, Blackrose, Dinamik, Ekamatra, CRK, Wings, May, Mega, Scarecrow, Bloodshed, Gamma, Gravity, Crossfire, Laksamana, Arrow, Junction dan banyak lagi. Pastinya gaya rocker dan GQ adalah gaya zaman itu. Berambut panjang dan berjaket kulit adalah imej yang biasa.. Tapi walaupun begitu masih ramai juga yang mempunyai pandangan yang berbeza tentang penampilan yang seharusnya..

Mengenali abang Din sebenarnya sedikit sebanyak mendewasakan zaman remajanya.. Banyak juga pengalaman yang dikutip sepanjang perkenalan itu. Mak dan ayah abang Din juga dikenali rapat.. malah semua adik beradiknya juga dikenali rapat. Malah nama panggilan 'adik ' cukup sinonim dalam keluarga itu. Dia sudah dianggap sebagai adik bongsu dalam keluarga besar itu. Sekali sekala singgah bertandang ke rumah mereka sudah seperti rumah sendiri. Namun hubungan rapat itu tidak lama kerana dia terpaksa melangkah menuju ke medan perjuangan ilmu di menara gading. Haluan hidupnya masih jauh dan masih banyak yang dilakukan untuk mencapai hasrat diri.

Pernah juga abang Din berkias untuk 'mengangkat' perhubungan itu menjadi lebih serius memandangkan dia sudah diterima dengan baik oleh keluarga abang Din. Namun hasrat itu terpaksa ditolak mentah-mentah kerana hubungan 'adik-abang' itu tidak mahu dirosakkan. Apatah lagi lambaian menara gading sudah semakin jelas kelihatannya. Merasakan diri masih terlalu muda untuk suatu hubungan yang terlalu serius maka hasrat itu ditolak dengan baik. Abang Din sedikit kecewa.. tapi cinta tidak boleh dipaksa..

2 tahun selepas itu Abang Din bertemu jodoh dengan gadis kampung seberang. Dia pernah menemani abang Din untuk berhari raya ke rumah gadis itu pada tahun-tahun sebelumnya. Dia diminta untuk menemani abang Din ke rumah itu. Sungguh lucu sekali jika diingat peristiwa bertandang itu. Gadis itu sedikit terkejut dengan kunjungan kami. Secara diam-diam juga dia merasakan gembira kerana merasakan bakal mendapat kakak ipar..

Sebenarnya banyak insiden yang berlaku sepanjang hubungan mereka.. Kakak itu sebenarnya sudah bertunang ketika kami datang bertandang ke rumah mereka. Yang paling mengejutkan.. selepas sahaja kunjungan kami.. kakak itu mengambil keputusan untuk memutuskan pertunangannya kerana merasakan kehadiran abang din itu seolah satu pertanda. Sejak kejadian itu, keluarga kakak itu telah memaksa abang Din untuk mengikat tali pertunangan dan abang Din jadi serba salah. Sebenarnya terlalu banyak insiden sedih yang berlaku sepanjang hubungan mereka.. malah semasa mereka mengikat tali pertunangan juga sudah ada titik-titik duka yang datang. Ketika itu dia sudah sibuk di universiti. Sesekali sekala menghubungi abang Din tidak banyak yang mahu diceritakan padanya..

Tidak lama mereka memutuskan untuk melangsungkan perkahwinan.. Sebenarnya seminggu sebelum majlis pernikahan mereka.. Dia telah diminta untuk meluangkan masa membantu abang Din untuk menguruskan majlis itu. Ketika itulah dia baru tahu tentang beberapa peristiwa yang terjadi sepanjang hubungan mereka itu. Itupun setelah diberitahu oleh kakak sulung abang Din kepadanya.. Itupun diberitahu sehari sebelum majlis pernikahan mereka. Berlinangan airmatanya pada ketika itu.. tidak dia sangka bahawa sebegitu hebat dugaan yang perlu dia hadapi.. namun tidak ada apa yang dapat dia lakukan untuk mereka.

Malam itu juga abang Din memintanya untuk mendengar semua luahan hati.. Buat pertama kalinya dia terpaksa berdepan dengan semua luahan demi luahan yang selama ini dia elak untuk mendengarnya. Malam itu juga dia ditanya tentang perasaan.. Jika dia katakan 'Ya' pastinya majlis pernikahan esok akan dibatalkan. Sampai begitu sekali permintaannya. Namun dia juga masih tahu membezakan fikiran yang waras dan sewajarnya. Seperti mana dulu.. hatinya masih tidak pernah ada rasa cinta.. hubungan 'adik-abang' masih dipelihara sepertimana dulu.. dia tidak mampu memenuhi hasrat abang Din.. dan malam itu juga menyaksikan abang Din menitiskan airmata kecewanya.. dan malam itu juga menyaksikan dia meminta abang Din untuk terus mencintai kakak itu.. membahgiakan dia.. mengembirakan dia.. walaupun hatinya berbelah bahagi.. Malam itu juga dia menyenaraikan segala keburukan dan kebaikan kakak itu.. Nyatanya.. Senarai kebaikan itu lebih banyak dari keburukannya.. Nah.. akhirnya abang Din mengalah untuk meneruskan majlis itu.

Majlis pernikahan berjalan dengan lancar dan selamatnya di sebuah masjid dikampung seberang itu. Dia masih ingat hari itu.. bagaimana suramnya wajah abang din sepanjang hari tersebut.. Tidak ada sedikit pun senyuman menguntum di bibirnya.. walaupun puluhan pancaran kamera singgah ke wajah mereka. Yang pasti sepanjang majlis itu juga.. pandangan abang Din tidak pernah lepas dari memandangnya.. Satu pandangan sayu yang tidak dapat dizahirkan.. Hingga kini masih jelas terbayang pandangan itu.. Dia tahu mengapa... dan atas sebab itu jugalah dia tidak mahu berada lama di situ.. selesai sahaja majlis pernikahan dan jamuan ringan.. dia terus berangkat untuk pulang ke rumah.

Majlis persandingan mereka pada esok harinya tidak dihadiri kerana perlu menghadiri majlis persandingan adik angkatnya pula.. Kebetulan mereka memilih hari pernikahan dan persandingan pada hari yang sama.. Kedua-dua mereka meminta dia untuk hadir ke hari yang penting itu. Dia terpaksa berangkat ke majlis persandingan di kampung berlainan untuk menyaksikan majlis persandingan itu. Abang Din sebenarnya amat kecewa dan marah kerana dia tidak dapat datang menyaksikan majlis persandingannya. Namun dia tidak mampu menolak permintaan adik angkat kesayangannya.. Kedua mereka adalah orang yang dia sayang.. dan badan juga terpaksa dibahagi dua.

Entah mengapa dia teringatkan kenangan masa itu. Kali terakhir mereka bertemu semasa hari pernikahannya. Hingga kini dia tidak pernah bertemu dengannya.. Hanya kadangkala kenangan dan ingatan itu datang bertandang. Dimana agaknya mereka.. dan sudah berapakah bilangan anak mereka agaknya.. Pastinya anak sulungnya juga sudah menghampiri 15 atau 16 tahun kini.. sudah remaja.. sudah dibangku sekolah menengah..

Yang pasti rumah mak dan ayah abang Din itu masih di jalan itu.. sebuah jalan yang tidak jauh dari dewan orang ramai di kampung itu.. Masih dia ingat bentuk rumahnya itu.. Deretan pokok-pokok pinang di hadapan rumahnya.. entah masih adakah semua itu.. ya mungkin.. dan dia juga tidak pernah berhasrat untuk singgah ke situ lagi.. Hidup seharusnya diteruskan.. Mengapa ya.. Dia teringatkan abang Din secara tiba-tiba??

Ah.. ia hanya sebuah kenangan lama.. Memetik kata-kata blog si Julietchun..

"Hidup tidak selalunya indah, tapi yang indah tetap hidup dalam kenangan"

Aku pinjam kejap kata-kata ini tau ;)

Ini hanya sebuah coretan terhadap ingatan lama pada mereka yang pernah dianggap abang sendiri..
Abang angkat.. adik angkat.. kakak angkat.. hahahaha.. hingga pernah ada kata-kata.. 'mula-mula berangkat.. lama-lama terangkat' heheheheh


4 comments:

SRISUFI said...

Salam kakak...

BENAR kak...sri merasa sekarang...hidup tak selalunya indah...namun yang indah selalu hidup...

indah bila kenal akak...pendorong semangat.

Cikgooden said...

kenapa nama dia din?...sama macam aku lak rasa...aku juga rockers dulu...ha ha ha dulu la, dulu...(yang cukup anti dengan budak mat diskang!)

julietchun said...

kalo pinjam tu jgn lupa pulangkan balik beserta dengan intersetnya,kekekeke.

skang ni ada lagi ke trend berangkat2 ni?

iina said...

Sri

Sama-sama sis.. moga happy and senyum selalu

Cikgooden

hahaha.. rockers juga ke?? rasanya biasa kot tahun2 tuh.. mat diskang?? wakakakah.. yelah zaman tuh semua mat rock je..

Juliet

Interest?? amboi sejak bila ko jadik along nieh?? xtau ler kot ada lagik trend angkat terangkat nie.. ada kot.. yg nyata aku takde sapa nak angkat dah.. udah berat wakakakah

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin