Thursday 31 December 2009

Awal yang bermula..


Hari ini hari terakhir tahun 2009. Kini tahun 2010 bakal menjelang dalam masa beberapa jam lagi.. Buat mereka di tanahair waktu ini aku percaya sudah mula masuk ke tahun 2010 dengan beza 8 jam terdahulu dari kami di sini.

Menulis entri ini aku teringat tarikh hari ini.. 31 Disember.. Setiap tahun pastinya ada yang menyambut hari ini dengan agenda istimewa.. Mungkin juga waktu ini masih ramai insan manusia di dataran merdeka atau dimana sahaja untuk menyambut datangnya tahun baru.. Walau dimana jua kita berada.. Semoga ia memberikan kekuatan seterusnya untuk kita hadapi nanti..

Sekejap sungguh masa berlalu.. Kini 3 tahun aku berkelana di bumi asing ini.. Laluan hidup masih panjang InsyAllah.. Kini tahun hadapan adalah tahun perjuangan seterusnya.. Harapan masih tebal untuk digapai.. Masih lagi kekal dengan impian dan azam yang sama seperti 3 tahun yang lalu.. Cuma kini mimpi lewat di tanahair sudah semakin menjadi igauan rindu yang tidak tertahan.. Cuma hati sahaja masih gagah meneruskan dengan menahan segala rasa yang terbelenggu di jiwa..


Buat Sahabat baik 'Tiny'
Selamat Hari Lahir buatmu.. Moga semua impian menjadi kenyataan..

31 Disember sentiasa dalam ingatan aku..
Ada pertemuan pada tarikh ini.. Kini sudah 5 tahun sejak pertemuan itu..

Selamat tahun baru 2010..
Yang penghujung kini bakal berakhir..
Yang awal kini bakal bermula..
Semoga ia memberikan sinar kekuatan dan kebahgiaan buat kita semua..

Monday 28 December 2009

Paras rupa atau budi bahasa?


Beberapa hari ini aku ditanya dengan persoalan ini?? Tentang realiti kehidupan masa kini yang lebih mementingkan paras rupa dan kemewahan dunia.. atau mungkin dilihat juga pada budi bahasa dan sikap peribadi.. Yang mana lebih penting antara keduanya??..

Dari mata turun ke hati.. itu kata pujangga cinta.. cinta bermula dari mata.. lantas keindahannya dirasai meresapi ke hati.. Tapi benarkah begitu hakikatnya?? Ya kita melihat menggunakan deria penglihatan 'mata' yang dianugerahkan oleh Allah S.w.t tetapi selain dari deria mata yang kita ada.. kita juga melihat dengan mata hati.. dan di sinilah kadangkala kita mampu melihat lebih jauh seseorang itu.. yang tidak hanya terlihat secara fizikal.. tapi jua menerobosi jiwa dan peribadinya jua..

Pada aku tidak ada yang lebih penting dari 'kejujuran dan keikhlasan'. Paras rupa itu satu anugerah.. tapi tanpa kecantikan peribadi ia tidak membawa makna sama sekali.. biarlah ia cacat sekali pun.. Apa maknanya jika ia tidak mampu membuatkan aku selesa.. gembira.. tenang dan bahagia.. Apa ertinya punya banyak duit berjuta.. kemewahan dunia yang nyata.. kacak.. lawa dan bergaya tapi jauh di sudut hati.. peribadi yang terlihat amat keji.. ahh.. rasanya semua orang begitu pada pandangan aku.. tapi kadang ada juga yang mengaburi mata peribadi.. untuk semata terus gembira dengan deria mata paras rupa.. yang indah terlihat lebih nyata dari yang indah tersembunyi..

Aku kira setiap yang serba kekurangan dari segi fizikal mungkin mengandaikan dan menganggap semua manusia akan begitu.. memandang diri mereka dengan kecacatan yang ada.. menghina atau paling tidak bersimpati dengan apa yang mereka miliki.. Tapi sayang kadangkala mereka juga terlupa.. tidak semua manusia begitu.. tidak semua mereka yang bergelar sahabat begitu hina pemikirannya.. tidak semuanya melihat dengan hanya mata paras rupa.. adakalanya.. mereka juga melihat dengan mata hati.. melihat jauh ke dalam sifat peribadi.. Ya mungkin mereka tidak tahu.. dan mungkin juga mereka tidak mahu ambil tahu..

Bagaimana aku?? Rasanya aku tidak mahu menegaskan pendirian aku.. Aku tidak mahu memberikan satu janji.. Aku juga tidak mahu mengucapkan sesuatu hanya semata untuk menyedapkan hati.. Aku juga tidak mahu memujuk dengan berkata.. "Ya aku terima apa sahaja tentang dirimu."

Keikhlasan dan kejujuran itu kadangkala tidak perlu diucapkan.. kadang tidak perlu diperlihatkan.. tidak perlu ditonjolkan.. nilailah sendiri dari perbuatan dan tindakan.. kerana dari situ kita tahu yang mana benar dan yang mana palsu..

Antara paras rupa dan budi bahasa... Aku sentiasa ingat pesanan bonda.. "Tidak ada yang lebih penting dalam dunia ini.. Hanya sifat manusia yang mencerminkan peribadi.. walau semiskin dan sehina mana pun manusia itu.. Siapalah kita untuk menghina ciptaan Tuhan Yang Maha Kaya"

Semua kita punya kekurangan diri.. Ada yang terlihat secara fizikal.. Ada yang terlihat secara peribadi.. Ada juga yang terlihat tanpa disedari.. Ada juga terlihat dek sesuatu yang tidak dapat kita miliki.. Apa beza kita semua ini.. Setiap kita ada kelebihan dan kekurangan diri..

Saturday 26 December 2009

Tik Tok


Tok.. Tok.. Tok..
Dia ketuk pintu hati
Tok.. Tok.. Tok..
Pintu hati terbuka sendiri
Tok.. Tok.. Tok..
Dia jengahkan mukanya sambil bersembunyi
Tok.. Tok.. Tok..
Dia pandang dengan mata yang sepi
Tok.. Tok.. Tok..
Dia merayu minta simpati
Tok.. Tok.. Tok..
Aku memandang dengan seribu rasa hati

Tik.. Tik.. Tik..
Kedengaran detik hati berbunyi sendu
Tik.. Tik.. Tik..
Ku pejam rapat kelopak mataku
Tik.. Tik.. Tik..
Fikiran melayang sepintas lalu
Tik.. Tik.. Tik..
Hati berkata aku rindu
Tik.. Tik.. Tik..
Airmata jatuh berlenangan pilu
Tik.. Tik.. Tik..
Layar fikiran menayang kisah dulu
Tik.. Tik.. Tik..
Cepatnya masa berlalu
Tik.. Tik.. Tik..
Ingin aku lalui detik itu
Tik.. Tik.. Tik..
Ya aku amat rindu.. terlalu..

Tik Tok.. Tik Tok..
Kedengaran bunyi masa
Tik Tok.. Tik Tok..
Perginya tanpa berhenti sesaat cuma
Tik Tok.. Tik Tok..
Hati hanya mampu merasa
Tik Tok.. Tik Tok..
Fikiran pula mampu teringat detiknya
Tik Tok.. Tik Tok..
Jiwa berkata perasaan menghiba
Tik Tok.. Tik Tok..
Rindu sayang dan cinta
Tik Tok.. Tik Tok..
Terlalu istimewa buatnya
Tik Tok.. Tik Tok..
Sahabat,teman, rakan dan kenalan yang ada
Tik Tok.. Tik Tok..
Menjadi anugerah terindah sentiasa
Tik Tok.. Tik Tok..
Hati lalu berkata

Tik Tok.. Tik Tok..
Aku rindu kalian semua
Aku rindu.. aku rindu
Aku sayang.. aku sayang
Aku cinta.. aku cinta
Dulu.. kini dan buat selamanya..

Tinggal beberapa hari sahaja menjelangnya tahun 2010..
Kini aku sudah di sini hampir 3 tahun lamanya..
Dulu datang dengan harapan..
Kini masih lagi menaruh harapan yang sama..
Dulu aku pegang tanah ini dengan janji setia..
Kini masih aku pegang tanah yang sama dengan janji yang sama..
Di sini juga aku temui pelbagai cerita..
Pelbagai kisah.. pelbagai ragam.. pelbagai rasa..
Kejujuran.. keikhlasan.. tipu muslihat.. fitnah dusta..
Itu adalah lumrah hidup sebagai manusia..
Aku terima dengan senyuman..
Kadangkala diterima dengan terbit airmata kecewa..
Tapi itukan namanya cabaran dan dugaan..
Di sinilah terbinanya kekuatan jiwa..
Di sini jua kecekalan hati dibawa..
Untuk aku.. dia.. mereka dan kita semua..

Wednesday 23 December 2009

Bila sejuk bersalji bermula...

Dataran George Square yang dipenuhi salji
Selasa(22 Disember 2009)


Sebenarnya semenjak khamis minggu lepas lagi bumi Glasgow sudah mula dihujani kepingan salji.. tapi hujung minggu lepas kepingan salji yang turun lebih lebat dan kali ini mampu kekal lama hinggalah ke hari ini..

Semalam kepingan salji turun dengan lebatnya lagi.. kali ini hampir semua permukaan alam dipenuhi salji memutih.. lewat petang hinggalah membawa ke malam hari, kepingan salji itu masih turun perlahan-lahan..

Seronok!!! Sudah tentunya bila melihatkan kepingan salji yang turun dengan lebatnya.. dan putihnya alam bila kepingan itu saling bertindihan antara satu sama lain..

TAPI!!! yang tak seronok.. mengharungi kesejukan yang kini sudah melebihi takat beku.. jalan yang licin dengan ais yang keras.. kasut boot yang aku pakai sudah beberapa kali hampir membuatkan aku terlentang di jalan (tidak ada pilihan kasut lain sebab kasut itu yang tahan lasak menahan sejuk) dan entah berapa kali juga aku tergelincir.. Sakit kaki usah dikatalah sebab terpaksa menahan hentakan kaki yang lebih perlahan supaya setiap langkah yang dihayun lebih kemas dan berjaga-jaga..

Semalam adalah hari yang sungguh meletihkan.. Keluar dari CIS pada pukul 4.00 petang. Selepas singgah membeli sedikit makanan di Tesco.. Aku berjalan kaki menuju ke perhentian bas.. Jalanan kaki lima di sepanjang Argle Street mula basah dengan ais yang mencair dan ribuan tapak kaki manusia.. Di situ juga aku entah berapakali tergelincir.. rasa nak buka kasut pun ada masa tuh.. Berjalan dengan rasa nak tergelincir sepanjang masa adalah sungguh menakutkan.. bahu kanan menyandang beg sekolah.. tangan kiri pula memegang barangan yang baru dibeli.. Nasib juga aku tidak memegang payung di tangan kanan memandangkan waktu itu salji turun dengan amat lebatnya.. Risaukan andai aku tidak dapat mengimbangkan badan..

Menunggu bas sungguh menyeksakan.. Bas no 66 yang aku tunggu tiba selepas 20 minit menunggu tidak berhenti langsung di hentian bas itu. Bas itu sendat dan amat penuh dengan penumpang. Hampir kebanyakan bas tertangguh perjalanannya dek salji yang turun petang semalam.. Perkhidmatan keretapi juga tergendala hingga ramai pengguna terpaksa menggunakan perkhidmatan bas untuk pulang ke rumah.. Aku menunggu bas hampir sejam semalam.. badan dah mula mengigil menahan kesejukan.. kaki juga dah mula kebas beku..

Hampir setiap hentian bas penuh dengan manusia.. Bayangkan bila hampir sebahagian pengguna yang selama ini menggunakan keretapi turut sama menggunakan bas.. Sudah tentu bilangan pengguna bas bertambah.. hentian bas pun sudah sendat dan padat dengan manusia hingga beberapa meter daripada hentian bas itu sudah mula berderet dengan manusia.. Nak menjengah melihat no bas yang lalu pun susah.. kepala terpaksa ditinggikan.. itupun tak nampak-nampak juga..

Akhirnya setelah hampir sejam menunggu aku ambil keputusan untuk ke hentian bas yang lain untuk mengambil bas no 44.. Rezeki aku.. kerana sampai sahaja ke hentian bas tersebut.. terdapat 3 buah bas no 44.. manusia yang berebut nak naik pun amatlah ramai.. ketiga-tiga bas itu padat dan sendat dengan manusia.. Syukur aku berjaya juga mendapat tempat duduk di bahagian belakang bas.. berhimpit-himpit dengan orang lain di kiri dan kanan.. Jadilah.. setelah berdiri di bawah hujan salji selama 1 jam.. dapat duduk selesa sedikit pun dah kira baik..

Perjalanan yang selalunya mengambil hanya 10-15minit ke hentian bas berhampiran rumah semalam mengambil masa hampir 45 minit.. Jam jem teruk kerana banyak jalan yang terpaksa ditutup dan kebetulan juga waktu balik kerja.. Kaki juga dah mula kebas kerana terpaksa menahan himpitan orang di kanan dan hadapan.. Serik sekejap rasanya bila tergolong antara manusia yang terpaksa bersesakan semalam..

Harapnya hari ini.. kejadian semalam tidak terjadi lagi.. Apatah lagi petang ini aku bakal balik lewat lagi.. Salji memang indah.. tapi kesan dan akibatnya pada masa panjang amatlah menyeksakan...

Oh ya.. Hingga kini.. Sakit kaki aku masih terasa lagi..

Esok aku mula bercuti X'mas hingga awal tahun 2010..
Universiti tutup hampir 2 minggu.. ;)

Sunday 20 December 2009

Salji Penghujung 2009

Salji turun lagi minggu ini..

Di penghujung bulan Disember 2009..

Indah dan mempersonakan..





Aku tukar photo header lagi..

Salji kini ada dimana-mana ;)

Rakaman gambar pada hari Ahad..
Pukul 10.45 pagi (20 December 2009)
Taman Permaisuri, Glasgow


Monday 14 December 2009

Dewasa


Kedewasaan.. Kematangan.. Ketuaan..

Sering ia dikaitkan dengan usia dan pengalaman.. selalunya yang muda belia dilihat sebagai masih mentah dan tidak tahu apa.. Benarkah begitu?? Tidak semestinya.. kematangan itu tidak hanya terhasil dari pertambahan usia.. atau kedutan di muka.. Kematangan terhasil dek pengalaman yang pernah dilalui.. pemikiran yang terbit dalam laluan pengalaman itu.. Matang.. itu suatu yang tidak hanya seiring dengan usia semata..

Dewasa.. ya ramai yang mengatakan kedewasaan juga terhasil dari pertambahan usia.. makin bertambah umur manusia.. maka makin dewasalah dia.. Ya itu teori pembesaran yang diberikan makna.. Budak-budak menjadi orang dewasa.. orang dewasa.. lama-lama jadi orang tua.. emmm.. kedewasaan.. juga hadir semasa usia muda

Semua itu bermula dengan pengalaman yang ada.. ada mereka yang terpaksa melalui pengalaman pahit kehidupan seawal usia 2 tahun lagi.. dan ini menjadikan mereka lebih matang dan dewasa yang tidak sepadan dengan usia.. ada yang sudah pun 30an usianya.. tapi kematangan kehidupan masih agak jauh dari dilihat di kepala mereka.. Pada mereka tindakan mereka itu sudah cukup dewasa.. ya dewasa dari segi tingkahlaku.. tapi masih budak-budak pada pemikiran yang matang..

Apa sebenarnya yang hendak dikaitkan??? Dewasa.. matang.. tua?? semuanya saling berangkai bersimpul berbelit bertali arus kadangkala..

Muda tidak semestinya budak-budak dan mentah..

Tua juga tidak semestinya matang dan dewasa..

Matang tidak semestinya tua dewasa..

Dewasa tidak semestinya untuk mereka yang tua usianya..

Pengalaman dan pemikiran.. pengukur segalanya..

Selalunya pemikiran melambangkan diri dan perbuatan..

Cara bertutur.. cara berkata.. cara gaya bahasa.. gaya tubuh badan..

Cukup untuk menyatakan.. kedewasaan dan kematangan..

Wednesday 9 December 2009

Degupan itu..


Aku letakkan tanganku di tengah dadanya.. Terdengar dengan perlahan degupan jantungnya.. berdegup mengikut saat.. dup dup.. Telapak tanganku sengaja dibiarkan di situ buat beberapa ketika.. Selama ini aku tidak pernah pun ambil peduli dengan bunyi degupan itu walau entah berapa ribu kali pernah aku letakkan tanganku di situ... Cuma malam ini aku mahu mendengarnya sendiri dengan deria rasa yang aku ada.. Ya dengupan itu masih ada.. turun naik nafasnya juga masih terasa.. matanya sudah lama dipejamkan.. lena tidurnya juga sudah agak lama.

Aku gerakkan sedikit telapak tangan itu.. sekadar meninggikan jari jemari dan mengusap perlahan dadanya.. Halus dan lembut kulitnya.. Kembali aku luruskan tapak tangan itu.. Aku mahu mendengar kembali bunyi degupan itu... ya masih berdegup perlahan.. indah sungguh bunyi dengupan jantungnya.. Ya sijantung hati.. bak bait lagu-lagu yang pernah berkumandang dulu..

Terfikir sejenak.. andai satu hari dengupan itu tidak lagi berbunyi seperti ini.. Dapatkah aku menerima hakikat itu.. Mati.. itu sudah tentunya suatu yang cukup pasti dan akan dilalui.. Hanya masa sahaja yang tidak kita ketahui.. Aku matikan fikiranku tentang mati itu.. Aku tidak mahu memikirkannya.. Biarlah aku nikmati bunyi degupan jantung ini.. ibarat laguan istimewa dari dia untuk aku.. Akan aku ingati bunyi degupan satu per satu itu.. Indah.. ya sungguh indah.. Istimewa.. ya amat istimewa.. Sayang.. ya aku sayangi dia.. Cinta.. ya aku cintai dia..

Hati.. ada apa pada hati kita?? Di situ letak segalanya.. pelbagai rasa mampu berkumpul di hati.. terluka hati dek emosi dan perasaan lebih pedih dari terluka hati secara fizikal.. Terasa hati dek perbuatan dan sikap manusia.. juga amat pedih sekali.. ibarat ditusuk sembilu yang paling tajam berduri..

Namun bila hati dibuai dengan rasa gembira.. tenang dan bahagia.. serasa dunia ini dipijak dengan kemewahan dan kenikmatan yang tiada tolok bandingnya dengan dunia yang sedia ada.. Bila kegembiraan memenuhi ruangan hati.. rasa tidak ada apa yang mampu merobek dan merosakkan hati itu.. Ya siapa yang tidak suka dengan gembira.. siapa juga yang suka sentiasa sedih dan berduka..

Semoga hati dan jantung itu akan terus berdegup dengan irama yang senada.. Semoga kita juga diberikan kesihatan diri yang baik untuk terus mengharungi kehidupan.. Semoga hati kita juga akan sentiasa gembira dan berbahgia.. Walau sehebat mana dugaan dan cabaran yang perlu dilalui.. baik perit.. pahit.. sakit.. duka.. laluilah dengan hati yang penuh rasa redha.. tenang dan tawakal..

Buat mereka yang tidak pernah mendengar dengupan jantung si dia yang disayangi.. lakukanlah.. bunyi itu sungguh istimewa.. ;)

Monday 7 December 2009

Sayang, ciuman dan kerinduan..


Aku diminta untuk memakai selendang yang cantik.. Berwarna keemasan yang bersulam indah dan berkilauan.

Bila aku lilitkan selendang itu sekemasnya, selendang itu terletak indah di kepala.. Seolah aku bakal menghadiri satu majlis istimewa.. Aku pula berjalan diiringi sekumpulan manusia.. tua.. muda dan anak-anak.. Tidak ada seorangpun daripada mereka aku kenali..

Aku dibawa ke sebuah dewan kecil yang dikelilingi oleh golongan lelaki dan wanita.. Ada si anak-anak kecil.. ada makcik-makcik tua.. ada pakcik tua jua..

Di tanganku ada sebekas tabung tembaga.. Aku pegang erat entah mengapa dan tidak aku tahu darimana aku perolehinya.. dan untuk apa..

Wanita pertama yang aku temui dalam dewan itu mendekatiku dan berkata dengan lemah lembutnya padaku.. "Sayang.. Sayang" lantas dengan perlahan mengucupi pipi kiri dan kananku.. Aku sambut dengan senyuman dan ciuman kecil kembali.. Lantas dia masukkan kepingan duit siling ke dalam bekas tembaga yang aku pegang..

Aku masih terpinga-pinga di situ.. Apa sebenarnya yang terjadi ini?? Kakiku masih lagi melangkah perlahan ke hadapan.. menyusuri barisan manusia yang berdiri seolah seperti menunggu giliran.. Laluan jalanan berkapet merah di dewan itu terasa amat panjang sekali.. Sekali lagi aku disapa seorang lagi makcik tua yang lain di sebelah kananku.. seperti makcik yang pertama tadi.. dia juga berkata "Sayang.. sayang" dan mengucupi pipiku kiri dan kanan.. Aku terima ciuman itu dengan senyuman kecil.. Dia juga memasukkan kepingan siling ke dalam tabung tembaga yang dipegang erat di tangan.

Pakcik tua yang berdiri di sebelah kiri laluan itu pula tersenyum manis.. terlihat kepingan siling di tangan mereka.. ketika aku lalu menghampiri mereka.. mereka turut memasukkan kepingan duit siling itu ke dalam bekas tembaga yang masih aku pegang erat dengan kedua-dua tanganku.. cuma mereka tidak mencium pipiku seperti makcik-makcik tua tadi.. sekadar menguntumkan senyuman manis tanpa berkata apa-apa.. Aku bertemu lagi seorang lagi pakcik tua.. Dia seolah menunduk hormat padaku dengan sebuah senyuman manis.. di tangannya juga ada kepingan duit siling.. menanti untuk dimasukkan ke dalam bekas tembaga di tanganku..

Entah berapa kali agaknya pipi aku ini dicium oleh makcik-makcik tua (seingat aku dalam lingkungan umur 50 dan 60an). Malah anak-anak kecil turut mencium pipiku dan memasukkan duit siling ke dalam bekas tembaga itu..

Bila aku menghampiri penghujung barisan manusia itu.. aku jadi semakin hairan atas yang terjadi sebenarnya.. Untuk apa majlis ini?? Untuk akukah?? Untuk majlis apa?? Kelihatannya seolah seperti sebuah majlis perkahwinan.. Aku bakal dinikahi?? Dengan siapa?? Siapa suamiku?? Aku kenalkah dia??

Entah dari mana aku ditanya oleh seseorang tentang bakal suamiku.. Yang hairannya aku menjawab aku sendiri tidak tahu.. Hanya aku ketahui ianya anak kenalan rapat ayahandaku.. Rakan baiknya.. Aku tidak pasti bagaimanakah rupanya.. dan yang mana satukah orangnya??

Aku terhenti pada seorang wanita tua yang cukup aku kenali.. Dia duduk menyandar di atas sebuah kerusi.. Berbaju kurung berpetak hitam putih dan berselendang putih.. Tubuhnya agak kurus sedikit.. Matanya tertutup rapat.. tapi tangannya mula terkapai-kapai cuba untuk memegang bahuku.. Kelihatannya dia juga mahu mencium pipiku dan memelukku... Aku cium pipi nenek itu dengan penuh kasih sayang.. Aku peluk erat tubuh badannya berulangkali.. Aku menangis dengan penuh linangan airmata.. Nenek!!! Ya Allah.. Nenek!!! Hanya itu yang keluar dari mulutku.. Sudah lama aku tidak bertemu dengannya... Aku jerit namanya.. Kali ini serasa aku benar-benar rindu padanya.. Aku peluknya dengan luahan kerinduan yang tidak dapat aku ungkapan dengan kata-kata.. Hanya linangan airmata sahaja yang menjadi sedu sedan aku..

Tiba-tiba jantungku berdebar dengan kencang sekali.. Seolah aku bakal menghadapi satu peristiwa yang mencemaskan.. Realitikah ini?? Mimpikah?? Mainan apakah??

Seolah tidak masuk diakal akan semua ini..

Aku terjaga dengan penuh tanda tanya.. Otak aku kembali memikirkan mimpi itu dengan terperinci, seolah detik-detik cemas tadi benar-benar terjadi kerana dadaku sememangnya berdebar dengan kencang.. Ciuman dan linangan airmata tadi jua terasa masih hangat lagi.. Adakah aku bertemu dengan arwah nenek tadi?? Ini masih menjadi tanda tanya aku...

Menoleh ke kanan.. Terlihat dia sedang tidur dengan lena.. Aku bangun dari tidur menuju ke bilik air untuk persediaan menunaikan solat subuh..

Ingatan pada mimpi itu masih jelas gambarannya..

Wednesday 2 December 2009

Berempat lebih baik..


Andai waktu begini sentiasa dilalui setiap hari..
Pastinya gelak ketawa takkan habis kedengaran nadanya..

"When true friends meet in adverse hour;
'Tis like a sunbeam through a shower.
A watery way an instant seen,
The darkly closing clouds between."

- Sir Walter Scott

Game, Kanako, Aku dan Suthanya..
30 November 2009-Princess Garden Edinburgh


Tuesday 1 December 2009

Makan-makan Aidiladha




Walaupun jauh di rantau orang..

Bila berkumpul begini..

Terasa meriahnya..

Rumah Terbuka 15 Albert Road, 28 November 2009 (Sabtu- 11 Zulhijjah 1430)

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin