Friday, 30 October 2009

Di sebalik gugurnya dedaunan



Hati..
Ada apa pada rasa hati?
Adakah punya pelbagai rasa begitu begini?
Adakah menyimpan pelbagai citra tersendiri?
Adakah memendam pelbagai perasaan yang bercampur gaul sebati?
Adakah memiliki pelbagai rencah permainan duniawi?

Di sebalik gugurnya dedaunan
Mungkinkah ditemui jawapan
Kaki melangkah perlahan
Mata memandang ke hadapan
Terpesona menikmati alam ciptaan
Indah itu sentiasa kelihatan
Di sebalik rona roni warna jingga kekuningan

Aku tukar header sebagai tanda musim gugur kini sedang bermaharajalela dimana-mana..
Inilah yang aku rakamkan di taman permaisuri (Queens park) yang terletak tidak jauh dari rumah aku..


Tuesday, 27 October 2009

Nilai & Jasa


Semalam..

Putaran masa kenangan datang menjelma. Ada yang mahu dikenang dan ada yang mahu dilupa. Ada yang mampu membuatkan ketawa lucu terbit secara tak sengaja.. Ada jua yang mampu membuatkan hati membara dan terbit linangan airmata kecewa.. Namun walau cuba dilenyapkan semuanya.. sudah namanya kenangan dan ingatan pastinya ia kekal ada di kepala.. di fikiran letaknya.. Cuma bila kenangan itu tiba seketika.. Fikiran pula berkata-kata.. Untuk apa dikenang semuanya.. Untuk apa diingat yang duka lara.. Kenanglah yang gembira ceria.. Ingatlah yang indah sentiasa.. Tapi hati pula menjawab perlahan sahaja.. Ya itu benar dan nyata.. tapi yang duka kecewa walau selama mana cuba diabaikan sedetik cuma.. Kesannya hati ini yang merasa.. hati ini juga yang luka amatnya.. walau tidak ada setitik pun terbit merah darahnya.. Kesan luka itu masih kekal ada.. di situ.. berbekas kekal selamanya.. Adakah itu namanya dendam rasa? Adakah itu namanya pentingkan jiwa? Adakah itu kerana aku hanya seorang manusia biasa? Punya akal fikiran dan jiwa raga?

Hari ini..

Ya.. kini rasa-rasa itu aku biarkan berlalu pergi.. Seolah kini ia tidak lagi berbekas di hati ini.. Walaupun kadang ia datang singgah menyepi dan duduk di sebelah mohon menemani.. Aku hanya mampu memandang ia sepi dan pergi.. Cukuplah kata diri ini.. Aku sudah tidak mampu lagi menemani dan menanti.. Aku sudah tidak mampu jua berdiri dan berlari seiring selari.. Laluan kehidupan kini sudah berbeza langkah hari demi hari.. Tahun juga berganti.. dan terus berganti.. Cukuplah semua yang pernah dilalui.. Pasrah.. Redha.. itu sahaja yang ada di dalam rasa ini.. Tidak terdaya rasanya bahu menanggung bebanan itu dan ini.. Aku kini mahu terus berlari.. dan terus berlari.. dan kadangkala juga berhenti seketika menikmati indahnya alam yang ditinggalkan jauh di sana sini.. Merenung bezanya musim yang berganti.. Merakamkan keindahan yang tidak lama berdiri.. Mendengar keluhan yang merengus sedih sepi.. Memegang erat yang sentiasa setia mengabdi.. Memeluk rasa jiwa buat mereka yang sekadar bertanya khabar diri saban hari.. Senyum pada yang mengerti dan memahami..

Esok

Musim kini menghampiri kesejukan yang melampau beku.. Masih mampu ditahan rasa kebas sejuk walau tidak dibalut kemas sarung tangan yang benangnya kini bergumpal bulu.. Seluar tebal jeans biru kini juga tidak mampu lagi menghalang rasa dingin yang mengigit tulang temulang kaku.. Jaket tebal yang membaluti jua tidak mampu menahan angin lalu yang sejuk singgah di pipi lembut itu.. Batuk-batuk kecil mula berbunyi perlahan dan semakin kuat dengarnya di pagi yang sunyi kelabu.. Tekak mula terasa perit dek kering kerana bahang pemanas yang berfungsi ikut masa tertentu.. Semua itu kini bersatu mencipta satu semangat yang jitu. Kini aku mengerti akan semua itu.. Kenapa aku diminta menanti detik nan satu .. Rupanya ada sebab mengapa dipinta sebegitu..

Terjawablah segalanya.. Ku sangkakan panas hingga ke petang kekalnya.. tapi rupanya awal pagi lagi hujan telah turun dengan lebat sekali.. Dia tetap dia.. dan aku tetap aku.. Yang ada tidak akan berubah sifatnya.. Yang dimiliki tidak akan senang dibuang semata.. Yang terbentuk tidak akan mudah dibentuk semula sifatnya.. Aku akur akan kehendak alam dan sifat manusiawi.. Aku akur dengan erti mahu dan tidak.. Aku juga akur dengan makna sejati dan setia.. Aku juga akur dengan nilai budi manusia.. Aku juga mengerti budi baik tidak dapat dibalas semuanya.. Aku juga mengerti tidak semua yang pernah diberi baik.. akan dibalas baik jua.. Tapi aku akur andai yang terjadi sebaliknya.. Aku serahkan sahaja pada Dia untuk membalasnya... kerana balasan dari Dia.. Hanya Dia sahaja yang Maha Mengetahui.. Bila.. Dimana.. Bagaimana.. Mengapa.. Untuk apa.. Aku biarkan ketentuan hari esok itu di tangan Yang Maha Esa.. Cukuplah.. Aku biarkan Dia menjadi hakim untuk pengadilan nilai budi dan jasa. Aku percaya Dia Maha Adil dan Saksama..

Monday, 26 October 2009

Waktu yang dilambatkan

Senja di Dataran George Square, Glasgow
(23 Oktober 2009-Jumaat yang sejuk malap)


Semalam.. waktu dilambatkan sejam.. Menandakan waktu musim panas British (BST) telah pun tamat. Setiap tahun kami di sini akan melambatkan jam semasa masuk musim sejuk dan akan mempercepatkan jam bila masuk ke musim panas. Kini perbezaan masa antara Malaysia dan UK menjadi 8 jam berbanding 7 jam sebelum ini. Terasa sedikit janggal pada mulanya kerana aku sedar akan perubahan itu ketika waktu menghampiri ke pukul 11 pagi.. sedangkan waktu itu baru pukul 10 pagi.

Yang membuatkan aku sedikit seronok kerana solat subuh kini lewat sejam dari kebiasaannya. Selalunya aku pasti terkejar-terkejar untuk solat subuh pada pukul 5.55 pagi sebelum berjalan kaki ke perhentian bas untuk menaiki bas pukul 6.03 setiap hari bekerja..

Kini warna senja juga sudah semakin awal menjelmanya.. lewat pukul 5petang sudah hampir gelap.. dan menghampiri ke pukul 8pagi pula baru nak terang benderang.. Terasa berbeza bila perubahan musim datang waktu begini.. Malam menjadi panjang.. Rutin solat pun berubah.. Belum lagi masa puncak musim sejuk yang beza Zohor dan Asar yang hanya 1 jam sahaja di antaranya.. Waktu ini... kami semua solat 2 waktu dalam masa yang berhampiran.. kerana perbezaan yang amat dekat waktunya..

Masa ini juga.. tabiat untuk makan dan makan lagi juga semakin bertambah.. dengan rasa sejuk yang semakin ketara.. Perut juga semakin berbunyi riang.. Rasa lapar juga mula singgah dengan lebih kerap.. Berat badan juga semakin bertambah naik.. Banyak yang perlu dikawal dan dijaga.. tapi setiap musim itu ada keunikannya.. Cuma agak terasa berat bila terpaksa mengharungi sejuk dan beku saban hari.. apatah buat aku dan rakan-rakan yang terpaksa keluar seawal 6 pagi..


Adakah salji akan turun awal musim sejuk ini??

Kita nantikan sahaja kepingan putih salju itu..

Tiba-tiba hati tak sabar untuk mengelongsor salji di puncak gunung yang memutih..

Secara rasminya.. Musim sejuk bakal tiba tak lama lagi..
Autumn kini sedang bermaharajela di mana-mana

Masih belum berkesempatan untuk mengambil gambar di Queens Park..
Harapnya esok lusa ruang masa itu akan diperolehi jua..


Wednesday, 21 October 2009

Teh


Ketika menikmati air teh lady grey yang bercitarasa citrus. Ingatan sejenak terbang pada satu kenangan lewat masa kecil dulu. Kenangan berada dan berjalan di celah-celah pepohon teh yang rendang mengamit ingatan pada indahnya zaman anak-anak.

Mungkin ramai yang pernah melawat ladang teh yang terkenal di Cameron Highland. Tapi kenanganku buat pertama kalinya ke ladang teh bukanlah di Cameron Highland itu tapi di ladang teh milik syarikat Boh yang terletak lebih kurang 2km dari rumah mak di kampung. Ramai tidak tahu akan fakta ini. Walaupun dulunya pernah beberapa kali rancangan Majalah 3 terbitan TV3 pernah membuat dokumentari tentang penanaman teh di Malaysia dan cerita tentang ladang teh di bukit cheding itu turut dimuatkan bersama.

Ladang teh itu berjenis tanah rendah. Kedudukan bentuk muka bumi yang agak tinggi sedikit menyebabkan kawasan itu sesuai dijadikan kawasan penanaman teh yang aku sendiri tidak pasti sejak tahun bila.. Mungkin ada sejarah secara bertulis yang dicatatkan sejak bila ladang teh itu berada di situ. Rasanya sudah puluhan tahun ia ada di situ.. Siapakah yang memulakan? Semua itu mungkin ada jawapannya.. Mungkin penduduk asal.. dan warga penduduk berbangsa india yang menjadi penghuni estet di situ dan pemetik daun teh dapat memberikan jawapannya.. Adakah ia pernah dicatatkan secara bertulis?? atau mungkin juga aku yang tidak tahu..

Dulu semasa masih di bangku sekolah rendah kami sering ke situ sebenarnya.. melawat kawasan ladang teh itu.. dan berjalan di celah-celah pokok teh yang agak rendah dan rendang itu.. Sebenarnya tujuan kami ke kawasan itu untuk mandi di sebuah tasik yang cukup jernih airnya.. kawasan tasik itu berhampiran dengan lombong bijih timah.. ya selain daripada ladang teh.. di situ juga terdapat lombong bijih timah.. Semasa zaman sekolah rendah.. ramai rakan aku yang tinggal di kawasan perumahan untuk pekerja lombong bijih timah itu.. Malah penghentian terakhir bas yang masuk ke kampung aku itu juga berakhir di situ.

Itu kisah dulu.. Aku sendiri juga tidak pasti sama ada lombong itu masih diusahakan.. yang pasti ladang teh itu masih wujud seperti dulu tapi kini lebih dikemas kini.. berbanding dulu yang lebih terbuka dan deretan rumah-rumah estet kelihatan di kiri kanannya.. Itu belum lagi kawasan rumah-rumah kayu dan buluh bagi penduduk orang asli.. yang aku masih ingat terletak tidak jauh dari kawasan estet itu juga.. Kini.. semuanya telah berubah.. perumahan baru untuk penduduk orang asli juga telah dibuat oleh kerajaan beberapa tahun yang lalu.. Tidak ada lagi rumah kayu buluh seperti dulu..

Rasanya banyak kisah sejarah yang berlegar di sekitar kampung aku.. Yang aku sendiri pun tidak tahu akan bila mulanya.. bagaimana.. dan apa kesudahannya.. Jarang sekali diambil tahu sebenarnya.. Zaman remaja dulu aku sering juga bertanya-tanya pada orang tua di kampung.. apatah lagi arwah tok adalah peneroka awal kampung itu.. Sayang rasanya kerana kebanyakan kisah sejarah itu selalu disampaikan ke generasi seterusnya melalui lisan.. dan aku sendiri tidak pasti adakah kerajaan selangor sendiri ada mencatatkan setiap sudut kisah sejarah itu.

Aku jumpa info ini di laman web rasmi majlis daerah Kuala Langat

Ladang Teh Boh, Sri Cheeding telah dibuka pada tahun 1927 dengan keluasan 210 ekar dan dan dikendalikan oleh BOH Plantations serta terkenal dengan ladang teh tanah rendah.

Menariknya, teh di ladang ini ditanam di bawah pkok kelapa sawit secara berselang seli dan ia merupakan yang pertama di dunia.

Di ladang ini juga terdapat sebuah kilang yang beroperasi untuk memproses dan membungkus teh. Oleh itu, ladang ini mempunyai daya tarikan yang tersendiri terutamanya bagi mereka yang ingin melihat teh tanah rendah dan juga mengetahui cara teh diproses dan dibungkus.

Untuk maklumat lanjut:

Boh Plantation Sdn. Bhd.
Bukit Cheeding Packing Factory
Batu 6, Jln. Kg. Seri Cheeding
42700 Banting
Selangor
Tel : 03-31874704



Daerah Kuala Langat punyai banyak kisah sejarahnya sebenarnya.. Dari Sijangkang.. ke Jenjarum.. ke Sri Cheeding.. ke Sg Sedu.. Ke Sg Manggis.. ke Telok Dato.. Ke Pekan Banting.. Ke Bukit Jugra.. ke Kanchong Darat dan terus ke Morib.. Tg Sepat.. (banyak lagi nama kampung & tempat di sepanjang laluan itu)..

Mungkin ada.. Mungkin tidak.. Jika tidak ada.. pastinya ia menarik dijadikan kajian dan dicatatkan buat bacaan dan pengetahuan generasi akan datang..

Tuesday, 20 October 2009

Lont.. I miss you



No more word can say..
How I really miss you..
Since the 1st day of Eid..
Finally..
Kau masuk juga ke dalam mulut & perutku..
Wahai lontong kesayanganku..
;)


Raya kali ini aku miss banyak benda..
Akibat demam teruk.. batuk.. asthma.. selera makan turut hilang bersama..
Dah abis syawal.. teringin kali ini bagai diminta-minta..
Kepala terbayang-bayang.. Mata terlihat-lihat
Dan mulut mula terkumat kamit..
Dengan gagah perkasanya.. Semalam operasi segala..
Nasi impit.. Kuah kacang.. rendang ayam dan masak lodeh..
Aku tak kira walau dah abis raya.. Makan tetap makan juga..
Jemput open house lagi??
Postpone raya tahun depan jelah ya ;)

Related Posts Widget for Blogs by LinkWithin